![]() |
Mohd. Hilmi Mohd. Noor (tengah) dan timbalannya, Ab. Ghani Harun (kanan) menunjukkan baju bercetak karekator Upin dan Ipin yang dirampas di Kuala Terengganu, semalam. – BERNA
|
KUALA TERENGGANU 14 Mei (Utusan Malaysia) – Sejumlah 434 pasang baju-T yang menggunakan karakter kartun Upin dan Ipin dirampas dari 13 gerai di Pasar Besar Kedai Payang dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam satu serbuan semalam.
Ketika serbuan oleh penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu yang diketuai Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor, peniaga berkenaan tidak sempat menyorok barangan itu kerana gerai masing-masing merupakan sasaran yang telah dikenalpasti.
Menurut Mohd. Hilmi, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu dan setelah mengenal pasti kedai terlibat, serbuan semalam terus menjurus ke gerai berkenaan.
‘‘Seramai 30 pegawai yang terlibat dalam serbuan ini dipecahkan kepada kumpulan kecil dua orang dan mereka terus ke gerai ditetapkan untuk membuat pemeriksaan.
‘‘Serbuan dijalankan di bawah Akta Hakcipta 1987 kerana gambar Upin dan Ipin adalah sebuah karya seni yang merupakan harta intelek dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau memberitahu, nilai rampasan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 3 petang itu adalah RM5,967.
Menurutnya, risikan yang akan disusuli dengan pemeriksaan akan diteruskan di seluruh Terengganu bagi mengesan pengedar barangan yang menggunakan karakter Upin dan Ipin.
‘‘Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti pengedar barangan ini sama ada dari Terengganu, Kuala Lumpur atau tempat lain,” ujarnya.
Beliau seterusnya menasihatkan peniaga supaya peka terhadap peruntukan undang-undang dalam menjalankan perniagaan masing-masing agar tidak dikenakan tindakan.
Jelasnya, menurut peruntukan Seksyen 41(1)(b) Akta Hakcipta 1987, adalah menjadi kesalahan untuk menjual, menyewakan atau secara dagangan mendedahkan atau menawarkan apa-apa salinan langgaran.
Katanya, mereka yang melanggar seksyen tersebut boleh didenda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara maksimum lima tahun.
Leave a Reply