
IBU Pejabat Felda Wilayah Timur pemangkin kepada perkembangan pembangunan Pekan Tepuh. |
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pekan Tepuh yang terletak di laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bahru dan sering dianggap sebagai pekan tanpa penghuni, bakal berubah wajah dan menjadi pusat pertumbuhan baru kesan limpahan daripada pembangunan pesat di bandar raya ini.
Sebagai persediaan awal, pelbagai projek pembangunan dan penyusunan semula pekan Tepuh yang terletak berhampiran susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) II sedang dirangka Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta agensi kerajaan Pusat.
Berdasarkan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tepuh dan Pekan Batu Enam, projek pembangunan itu akan dilaksanakan oleh kerajaan dan swasta.
Secara keseluruhannya, kawasan guna tanah pekan Tepuh yang didiami lebih 35,000 orang meliputi keluasan 27.7 hektar iaitu membabitkan 23.86 peratus daripada keluasan keseluruhan RKK.
Antara strategi yang akan dilaksanakan dalam perancangan lapan tahun pembangunan pekan Tepuh ialah mengoptimumkan akses ke kawasan itu bagi memastikan cadangan pembangunan dilaksanakan mampu mewujudkan bandar yang benar-benar `hidup’.
 |
PONDOK Polis Tepuh dinaik taraf jadi balai sejak 1 Mei lalu atas permintaan penduduk setempat. |
Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, berkata projek pembangunan yang akan dilaksanakan tidak akan mengabaikan pembinaan prasarana kemudahan asas penduduk setempat.
Katanya, walaupun penyusunan pekan Tepuh akan dilaksanakan dalam tempoh lapan tahun, tetapi roh perubahan pembangunan sudah pun dirasai, apabila penduduk termasuk yang memiliki tanah sendiri sudah membuat pelaburan besar dengan membina rumah kedai.
“Perubahan mula ketara apabila Felda mendirikan ibu pejabat Wilayah Pantai Timur dan projek pembesaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong bermula daripada Felda Belara ke Kampung Sungai Ikan membabitkan peruntukan sebanyak RM42 juta yang sedang giat dilaksanakan.
“Bagi memastikan penduduk setempat tidak diabaikan daripada arus perdana pembangunan, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara (SPN) dan Lembaga Amanah Tabung Negeri (LATN) memajukan kawasan seluas 17.6 hektar untuk membina 307 unit kediaman, termasuk rumah kos rendah mampu milik di pekan berkenaan,” katanya.
Muhammad Ramli, berkata kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan awal kira-kira RM1.9 juta bagi membina gelanggang futsal dan dewan serbaguna untuk kemudahan penduduk.
Katanya, bagi memastikan pelbagai projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual, tanah milik kerajaan di pekan itu akan disusun termasuk menyediakan rizab untuk pembinaan masjid.
“Penduduk setempat sudah bersedia menerima pelbagai perubahan pembangunan dan mereka berpendapat setiap perancangan pembangunan dirancang kerajaan akan memberi manfaat jangka panjang kepada mereka.
“Ketika draf pembangunan RKK dipamerkan, tiada seorangpun penduduk pekan Tepuh membuat bantahan, melainkan mencadangkan supaya pondok polis di pekan itu dinaikkan taraf sebagai balai polis,” katanya.
Muhammad Ramli berkata, hasil perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, pondok polis yang sebelum ini hanya mempunyai dua anggota dinaikkan taraf sebagai balai mulai 1 Mei lalu.
Sebagai penghargaan masyarakat setempat kepada PDRM, Muhammad Ramli menyampaikan sumbangan sebuah komputer untuk kemudahan anggota.
Sumbangan itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Halim Ishak disaksikan lebih 15 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di bawah pentadbiran Balai Polis Tepuh.
Muhammad Ramli, berkata pekan Tepuh yang sebelum ini hanya dijadikan laluan utama pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu akan berubah wajah menjelang tahun 2015.
“Dengan pembangunan pesat yang sedang giat dilakukan termasuk jalan susur LPT II, ekonomi penduduk setempat juga akan bertambah makmur,” katanya.