Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri mahu melaksanakan konsep Masjid Hadhari secara meluas di seluruh negeri ini dengan masjid tidak hanya dijadikan tempat beribadat semata-mata.
Beliau berkata, kebanyakan masjid di seluruh negeri ini mempunyai kawasan lapang yang boleh menempatkan penjaja kecil menjalankan aktiviti perniagaan, selain aktiviti riadah ringan bagi memaksimumkan penggunaan persekitaran masjid.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dan prihatin dalam menyediakan ruang niaga untuk peniaga kecil dan menarik usahawan baru khususnya di kalangan generasi muda, sekali gus melonjakkan kedudukan ekonomi negeri.
“Kerajaan negeri bercadang menjadikan persekitaran masjid sebagai tempat perniagaan buat penjaja kecil. Langkah ini bukan saja memberi peluang kepada golongan peniaga menambah pendapatan seharian, malah mampu menarik lebih ramai pengunjung ke masjid untuk mengerjakan ibadat.
“Sebenarnya banyak aktiviti riadah ringan yang boleh dibuat di masjid. Umpamanya mengadakan ceramah, aktiviti komuniti dan sosial berkeluarga yang tidak keterlaluan. Dengan ini, persekitaran masjid tidak terbiar begitu saja dan secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai jemaah beribadat di masjid, ” katanya.
Bagaimanapun, Mohamed berkata, setiap aktiviti dan perniagaan yang dijalankan perlu mematuhi syarat ditetapkan bagi memastikan kesucian dan institusi masjid tidak terjejas dengan program dijalankan.
“Kita akan tetapkan peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi supaya kedudukan masjid sebagai tempat beribadat tidak tercemar oleh aktiviti diadakan di persekitarannya.
“Kita juga akan pastikan kebersihan masjid sentiasa terjaga. Oleh itu, untuk permulaan, kita akan mulakan projek ini di masjid besar dulu, kemudian baru diperluaskan ke masjid seluruh negeri. Kita yakin, konsep ini akan memberi manfaat kepada banyak pihak termasuk penduduk setempat, pengunjung masjid dan orang awam,” katanya.