Feeds:
Posts
Comments

Archive for May 26th, 2009

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) — Terengganu mencipta sejarah baru dalam bidang pendidikan negara apabila kerajaan negeri Selasa menukar sistem pendidikan yang selama ini menggunakan buku teks kepada buku elektronik yang dikenali sebagai e-Book.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri yakin prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut membangunkan minda serta sahsiah pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran global.

“Sebagai langkah pertama, kerajaan menyediakan 25,000 unit e-Book iaitu mini laptop yang dilengkapi pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan oleh semua pelajar Tahun Lima di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan e-Book sekolah-sekolah negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini Selasa.

Ahmad berkata semua pelajar di negeri ini akan diberi e-Book secara percuma bermula dengan murid Tahun Lima dan akan diagihkan melalui Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing, mulai hari ini.

“Ini bermakna murid Tahun lima akan dapat mengunakan e-Book apabila penggal persekolahan dibuka semula pada pertengahan bulan depan (Jun),” katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan sebanyak 15,000 unit e-Book akan diagihkan secara berperingkat kepada murid-murid berkenaan.

Ahmad berkata kerajaan negeri membelanjakan lebih RM15 juta untuk menyediakan kesemua e-Book berkenaan.

“Walaupun kosnya tinggi, kami melihat program ini sebagai satu pelaburan jangka panjang dan hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer dari seawal bangku sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata pemberian e-Book ini sama seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) iaitu murid-murid Tahun Lima akan memulangkannya semula kepada pihak sekolah pada penghujung tahun.

“Kita mahu mengagihkan e-Book secara berperingkat. Selepas murid Tahun lima, tahun depan kepada murid Tahun empat pula dan seterusnya sehingga murid Tahun satu pada tahun akan datang,” katanya.

— BERNAMA

****************

Artikel berkaitan sebelum ini:

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Masalah kesesakan dialami pengguna jalan raya selepas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan laluan sehala di beberapa jalan utama di bandar raya ini adalah kesulitan sementara berikutan projek yang sedang berjalan ketika ini baru di peringkat fasa pertama. peta trafik KT - AA 12 Jalan Bandar KT

Pegawai Perhubungan Awam MBKT, Noor Laila Ariffin, berkata pihaknya akur dengan beberapa masalah dan kesesakan trafik yang semakin buruk dengan pelaksanaan laluan sehala itu, bagaimanapun memberi jaminan masalah itu akan selesai selepas semua projek terbabit selesai sepenuhnya kelak.

Beliau berkata, MBKT diperuntukkan sejumlah RM43 juta untuk melaksanakan pembinaan jalan sehala dan pengubahsuaian geometrik jalan terutama di persimpangan jalan di seluruh bandar raya ini untuk kemudahan pengguna jalan raya.

“Kos RM43 juta ini termasuk untuk menggantikan sistem lampu isyarat kepada sistem berpusat di mana lampu isyarat dapat dikawal di bilik kawalan, menyediakan tempat pejalan kaki melintas dan membina laluan khas untuk pejalan kaki.

“Semua ini adalah untuk kemudahan pengguna jalan raya dan pejalan kaki khususnya di beberapa jalan utama di bandar raya ini. Setakat ini, projek fasa pertama sedang berjalan dan kita akui kesesakan yang berlaku memang tidak dapat dielakkan buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, apabila projek ini siap sepenuhnya kelak, kita yakin semua masalah kesesakan ini akan berakhir dan sistem jalan raya di bandar raya ini juga lebih teratur dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Noor Laila berkata, apa saja projek yang dirancang dan sedang dijalankan adalah untuk kebaikan orang ramai, justeru semua pihak diharap bersabar dan cuba mengadaptasi diri kepada perubahan positif terutama sebagai warga Kuala Terengganu yang berstatus bandar raya.

**************

Artkel berkaitan sebelum ini:

Laluan sehala gagal atasi kesesakan di bandar raya

Peta Laluan Trafik Kuala Terengganu

MBKT kuat kuasa laluan selorong di bandar raya

MBKT Perlu RM43 Juta Untuk Laksana Jalan Sehala

Aliran trafik pusat bandar raya diubah

Read Full Post »

CHUKAI (Sinar Harian) – Kewujudan hentian bas lama di Bandar Chukai menimbulkan tanda tanya kerana ada penduduk menyokong hentian bas itu dirobohkan, dan ada juga pembaca membantah kerana ia dikatakan mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Sinar Harian pernah menyiarkan berita ini akhir tahun lalu dan reaksi yang diterima daripada orang ramai amat memberangsangkan.

Seorang pengguna bas di kawasan ini, Junaida Jusoh, 29, berkata, sudah tiba masanya Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mengubah wajah hentian bas berkenaan bagi menarik perhatian pelancong luar.

“MPK boleh bina hentian bas dua tingkat supaya semua operasi membabitkan bas tertumpu di sini.

“Ini bagi mengelakkan kekeliruan pengguna berikutan di sini terdapat satu lagi hentian bas iaitu di Geliga,” katanya.

Menurut Junaida, pemandangan di kawasan hentian bas itu bagaikan bandar lama kerana bangunan di hadapannya juga adalah bangunan lama.

“Kawasan hentian ini wajar dibangunkan semula kerana jalan sekitarnya sering menjadi tumpuan pelancong luar yang menginap di beberapa buah hotel di sini,” katanya.

Namun, seorang warga emas, Teh Awang, 65, membantah cadangan pengubahsuaian hentian bas itu kerana kawasan berkenaan mempunyai nostalgia menarik untuk dikenang generasi akan datang.

“Saya hidup pada era pembangunan Kemaman sekitar tahun 1960.

“Ketika itu, kawasan hentian ini menjadi lokasi tumpuan walaupun peredaran masa menyaksikan banyak tempat sudah diubahsuai,” katanya.

Teh berharap Hentian Bas Chukai tidak dirobohkan untuk membina kawasan hentian baru kerana apa yang penting adalah pengubahsuaian bukan dimusnahkan.

“Bagi orang lama seperti saya, tempat itu banyak sejarahnya, dan bangunan lama di hadapan hentian bas ini sudah wujud sejak zaman Jepun memerintah Tanah Melayu pada 1942.

“Saya harap bangunan itu tidak dirobohkan kerana nilai sejarahnya amat tinggi kepada masyarakat hari ini,” katanya.

Read Full Post »

KUALA NERUS (Sinar Harian) – Lokasi Bukit Jong dilihat mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai kawasan tumpuan kepada penggemar pendaki bukit, selain membuka peluang kepada masyarakat setempat memanfaatkan produk yang ada di situ.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, penduduk setempat perlu bijak mengambil peluang menggunakan kreativiti sendiri untuk menjana pendapatan tambahan.

“Produk kita sudah ada (Bukit Jong), di mana lokasi ini telah dikenali sejak lama dahulu. Namun dengan kepesatan pembangunan di kawasan lain, bukit yang sememangnya dikenali ini semakin dilupakan. Oleh itu, saya harap penduduk dapat merebut peluang untuk ‘menaikkan’ kembali nama Bukit Jong.

“Saya juga melihat kawasan ini (Bukit Jong) turut mempunyai nilai yang sangat tinggi untuk mewujudkan enap desa (homestay). Apa yang paling penting adalah kerjasama dan sokongan daripada masyarakat setempat,” ka-tanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Prog-ram Ekspedisi Bukit Jong Rakan Muda Peringkat Daerah Kuala Terengganu yang berlangsung di Balai Raya Kampung Gemuroh, di sini.

Menurut Mohd Nasir, masyarakat khususnya penduduk luar bandar perlu bijak mengambil kesem-patan menambah pendapa-tan ekonomi masing-masing dengan memanfaatkan -peluang yang ada di sekeliling mereka dengan sebaiknya.

Sementara itu, ekspedisi yang berlangsung selama dua hari yang disertai seramai 43 anggota Kelab Rakan Muda itu turut mendedahkan kepada peserta mengenai pentingnya nilai kerjasama dan penjagaan alam sekitar.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 25 Mei (Utusan Malaysia) – Ibu bapa diminta memantau aktiviti anak di kafe siber ekoran penangkapan seorang pemilik kafe dipercayai membuat salinan dan menjual filem lucah kepada pengunjungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di kafe siber di Bukit Payong, Marang pada 6 Mei lalu.

Ekoran itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pekerja kafe siber tersebut turut ditahan.

Menurut beliau, serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam.

“Pemilik kafe itu ditahan membuat salinan filem lucah ke cakera padat di kafe siber berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas tujuh cakera keras mudah alih, beberapa peralatan komputer dan satu cakera padat dalam serbuan tersebut.

“Berdasarkan siasatan, pemilik kafe siber berkenaan menjual filem lucah kepada para pengunjung kafe tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

“Filem-filem lucah yang disalin ke cakera padat itu dijual dengan harga RM5 setiap satu,” katanya.

Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5 (1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

“Polis juga kini menjalankan siasatan ke atas kafe siber lain bagi membendung kegiatan jenayah tersebut,” katanya.

Justeru, katanya, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak mereka ke kafe siber bagi mengelak terjebak dalam kegiatan membeli filem lucah.

Read Full Post »