Feeds:
Posts
Comments

Archive for May 25th, 2009

Pendapatan bagi suku pertama tahun ini RM2.12 juta

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini, terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Terengganu dan ia terbukti dengan catatan seramai 233,295 pengunjung setakat tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi TTI Management Sdn Bhd, Datuk Zakaria Awang, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 35 peratus adalah pengunjung tempatan, manakala 50 peratus ialah pelancong dari luar Terengganu dan 15 peratus lagi terdiri daripada pelancong asing seperti Singapura dan Timur Tengah.

Beliau berkata, dengan jumlah pengunjung seramai 233,295 setakat suku pertama tahun ini, TTI mencatatkan pendapatan keseluruhan bernilai RM2.12 juta dengan kadar keuntungan bersih RM111,000 dan pihaknya yakin jumlah itu akan terus meningkat melalui pelbagai usaha pihak pengurusan menambah tarikan pengunjung ke TTI.

Katanya, berdasarkan prestasi membanggakan TTI sebagai salah satu destinasi pelancongan utama Terengganu mendorong pihak pengurusan menambah baik kemudahan dan menyediakan tarikan termasuk menempatkan lima ekor unta dan memperkenalkan makanan Arab bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Alhamdulillah, selepas genap setahun PMINT mengambil alih pengurusan TTI kedatangan pelancong amat menggalakkan. Ini terbukti apabila TTI mencatatkan seramai 182,739 pengunjung dan 50,566 pelawat Taman Monumen dari Januari hingga Mac lalu. Jadi, sempena menyambut ulang tahun TTI ini, kita menawarkan beberapa program dan tarikan baru untuk pelancong yang datang ke sini.

“Menu nasi Arab bersama aneka lauk seperti kambing panggang segar, bebola daging kufta, humus dan ayam boleh dinikmati oleh pelancong di kafeteria B’beting pada harga berpatutan. Nasi Arab ini juga akan dimasukkan sebagai menu dalam pakej disediakan untuk mana-mana syarikat atau organisasi yang menyewa dewan di sini untuk mengadakan seminar, mesyuarat atau persidangan.

“Kita juga akan menempatkan lima ekor unta jinak di taman ini yang dijangka tiba akhir bulan ini. Kita berharap tarikan baru ini dapat meningkatkan lagi kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara ke TTI,” katanya pada sidang media ulang tahun pertama TTI di sini.

Beliau berkata, sepanjang Februari hingga Disember tahun lalu, sejumlah 2.02 juta pengunjung melawat TTI, termasuk 20 peratus pelancong asing.

Katanya, pihaknya tidak menetapkan sasaran tinggi berbanding tahun lalu kerana jumlah 2.02 juta pengunjung itu sebahagian besarnya daripada penganjuran beberapa acara besar di TTI, termasuk Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Perkampungan Hadhari.

Beliau berkata, melihatkan kedatangan pelancong asing yang masih kecil, pihak pengurusan akan melipatgandakan usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung dari Thailand dan Singapura ke TTI.

Zakaria berkata, sempena musim cuti sekolah bermula akhir bulan ini, TTI turut menyediakan pelbagai program berbentuk ilmiah dan hiburan khas untuk pengunjung antaranya Jejak Khalifah, Giant Games, Sketch & Guess, Spelling Bee Challenge, TTI Family Quiz dan persembahan hiburan oleh kumpulan Sinar Budaya setiap malam.

Advertisement

Read Full Post »

Pak El menyiapkan keris panjang di bengkelnya di Kampung Ladang Titian. – UTUSAN/AZLAN BAHRU

KUALA TERENGGANU 24 Mei – Zulkifli Yusof, 42, dari Kampung Ladang Titian di sini bukan hanya mempunyai koleksi pelbagai barangan antik, tetapi beliau juga mahir dalam seni pembuatan keris dan pelbagai senjata lama.

Walaupun hanya mempunyai sebuah bengkel bersebelahan dengan rumahnya dan mengusahakannya sendiri tanpa sebarang teknologi canggih, namun kehalusan seni hasil kerja tangannya tiada tandingan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak El mengusahakan seni pertukangan itu sejak kecil, mewarisi kemahiran ayahnya, Yusof Long yang juga pengusaha pembuatan keris di Terengganu.

Selepas ayahnya meninggal dunia, seni pertukangan itu diwarisinya secara serius kerana sedar tanpa penglibatannya sudah tentu warisan turun temurun itu akan pupus ditelan zaman.

Kesedaran itu lahir apabila tiada orang lain yang sanggup meneruskan pekerjaan itu menyebabkan di kampungnya sekarang hanya tinggal tiga orang termasuk dirinya mengusahakan seni itu.

”Minat untuk terbabit dalam pertukangan keris dan pelbagai peralatan besi dipupuk sejak kecil sewaktu arwah ayah masih ada.

”Saya sentiasa mendampingi ayah dan mempelajari segala selok belok seni pertukangan sejak awal hingga akhir bagi sesuatu produk yang dihasilkan,” katanya.

Bengkel pembuatan sarung keris didirikan di sebelah rumahnya dengan dibantu oleh Muhamad Awang, 70, Rosli Salleh, 35, Yassin Muda, 44 dan Razali Abu Seman, 30.

Walaupun bengkelnya kelihatan bersahaja dan terperosok di celah deretan rumah usang di kampung tradisional yang melahirkan ramai tukang seni tradisional, namun setiap produk yang dihasilkan mengagumkan semua pihak.

Menurut Pak El, bengkel penempaan keris dan pelbagai barangan besi lain ditempatkan di Rhu Rendang dan Kedai Buluh, Marang.

Beliau mengakui kerja sebagai tukang keris dan barangan besi lain bukan mudah kerana ia tidak boleh dipelajari menerusi kuliah atau bengkel di mana-mana universiti, sebaliknya ia lahir menerusi pengalaman, kemahiran, minat dan ketekunan bertahun lamanya.

”Minat untuk menghasilkan keris datang secara semula jadi dan saya dapat menghasilkan sebilah keris yang lengkap bersarung dalam masa beberapa hari dan dalam sebulan saya dapat menghasilkan antara 100 hingga 200 bilah keris.

”Kadang-kala tidak cukup tangan berikutan terdapat ramai pelanggan membuat tempahan sedangkan bilangan tukang besi di sini hanya tinggal tiga orang sahaja,” katanya.

Zulkifli memberitahu, beliau akan mencanai sendiri setiap keris tersebut di bengkelnya dan keris buatannya itu juga mampu ‘berdiri’ untuk tempoh yang agak lama tanpa sebarang alat sokongan dan agak misteri apabila ia boleh bergoyang-goyang dengan sendiri.

“Tiada unsur mistik di sini kerana saya menghasilkannya mengikut keseimbangan yang betul,” ujarnya.

Mengenai kayu untuk sarung keris, Pak El berkata, beliau memperoleh bekalan daripada mereka yang arif dalam perkayuan atau meredah sendiri hutan untuk mendapatkan kayu yang terbaik seperti pokok teras juar, ru dan sena.

Setiap keris yang dihasilkan lengkap bersarung dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 sebilah.

Zulkifli mengakui, rezekinya bertambah berikutan kecenderungan orang ramai untuk memiliki barangan hiasan terutama sejak negeri ini dibanjiri pelancong dalam dan luar negara sejak kebelakangan ini.

Bapa kepada tujuh anak ini tidak menyangka kerja-kerja mengukir hulu, sarung parang dan pembuatan keris yang dilakukannya sejak dua puluh tahun lalu mendapat perhatian daripada orang ramai.

Ekoran sambutan menggalakkan terhadap hasil kerja tangannya, beliau berharap akan terbabit secara aktif dalam aktiviti mengukir kerana mampu memberi pulangan yang agak lumayan.

“Sarung parang berukir yang saya buat untuk kegunaan sendiri tidak lama dulu menarik perhatian rakan-rakan dan mereka berminat untuk membelinya dan sejak itu minat saya dalam kerja-kerja mengukir kayu menjadi lebih serius,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mendapat pendidikan asas dalam seni ukiran dan pertukangan tetapi bakat semula jadi mendorongnya untuk mengukir pelbagai jenis kayu.

Menceritakan rahsia kebolehannya dalam seni ukiran katanya, beliau hanya bersandarkan kepada ilham dan berpegang kepada prinsip ‘yakin boleh’ untuk menghasilkan barangan yang diminta pelanggan.

Zulkifli memberitahu, dalam masa beliau mempertahankan seni warisan itu, tiada seorang pun daripada tujuh anaknya meminati bidang pekerjaan tradisi yang dilakukan.

Katanya, semua anaknya tidak meminati bidang itu kerana mereka dapat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

”Saya bimbang seni warisan ini tidak mampu dipertahankan selepas ini, kemungkinan besar akan pupus kerana tiada pewaris. Saya mungkin generasi terakhir dalam keluarga yang mengusahakan seni pertukangan ini selepas diusahakan datuk nenek beratus tahun lalu,” ujarnya.

Read Full Post »