Lebih 150 memohon ikuti latihan dalam bidang penerbangan dibiayai YT
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM8.3 juta tahun ini melalui Yayasan Terengganu (YT) untuk menaja seramai 50 pelatih dalam jurusan penerbangan yang akan mengikuti latihan di Asia Pacific Flight Training Sdn Bhd (APFT) bermula Julai ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata daripada 50 pelatih terpilih, 10 daripadanya akan mengikuti latihan sebagai jurutera pesawat, 20 juruteknik penerbangan serta 20 juruterbang dan mereka yang berjaya akan ditawarkan bekerja dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
eliau berkata, kerajaan negeri menerima lebih 150 permohonan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan universiti yang berminat mengikuti kursus latihan penerbangan itu, bagaimanapun hanya 50 yang diterima pada tahun ini.
“Industri penerbangan sebenarnya memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan modal insan dan jika diamati, agak kurang anak Terengganu yang terbabit dalam industri penerbangan kerana persepsi sebahagian kita menganggap kerjaya ini kurang selamat.
“Alhamdulillah, Terengganu sekali lagi menjadi negeri perintis dalam menjalin kerjasama bijak dengan APFT dan MAS untuk melahirkan lebih ramai anak tempatan yang terbabit dalam bidang penerbangan. Ini adalah perjanjian yang terbaik,” katanya selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara APFT dan MAS di sini, semalam.
Melalui perjanjian pertama antara YT dan MAS, YT akan menaja seramai 20 pelatih untuk mengikuti kursus juruteknik penerbangan selama dua tahun, manakala 10 pelatih lagi menjalani latihan kursus jurutera pesawat selama lima tahun. Semua pelatih akan mengikuti latihan sepenuh masa di MAS Aerospace Engineering dan diambil berkhidmat dengan MAS selepas tamat latihan.
Dalam perjanjian kedua antara YT dan APFT serta MAS, seramai 20 pelatih akan ditaja oleh YT untuk mengikuti latihan sebagai juruterbang selama 18 bulan di APFT dan akan ditawarkan jawatan juruterbang pesawat komersial sebaik tamat latihan dan berjaya memperoleh lesen.
Memeterai MoU itu, YT diwakili Pengarah, Md Kamaru Al Amin Ismail manakala MAS diwakili Pengarah Eksekutif, Datuk Tengku Azmil Zaharuddin Raja Abdul Aziz dan Pengurus Besar Kanannya, Mohd Roslan Ismail sementera APFT diwakili Pengerusinya, Datuk Faruk Othman dan Pengetua APFT, Major (B) Datuk Mohd Khalid Ali.
Ahmad berkata, projek perintis yang memberi peluang anak tempatan menempa nama dalam industri penerbangan itu adalah antara pelaburan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan yang secara tidak langsung akan membantu Terengganu meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi kehendak pasaran dan cabaran global.
Katanya, usaha melahirkan lebih ramai juruterbang di kalangan anak tempatan juga mampu membantu kerajaan negeri meningkatkan lagi potensi bidang pelancongan, khususnya dalam menyediakan penerbangan terus ke destinasi terkenal di seluruh negeri bagi menarik kemasukan lebih ramai pelancong.
“Mungkin satu hari nanti kita akan buat penerbangan berjadual secara terus dari negara luar ke destinasi pelancongan di negeri ini. Jun nanti kita akan ada penerbangan terus dari Singapura ke Kuala Terengganu dan jika sambutannya memuaskan, mungkin kita akan buat penerbangan berjadual yang dipandu oleh juruterbang dari Terengganu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk menambah kuota pelatih yang akan ditaja YT untuk mengikuti kursus latihan penerbangan tahun depan.
Read Full Post »