Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Jalan bandar’

Ini adalah antara beberapa perkara yang dibimbangi penduduk dan peniaga sekitar kawasan peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol dihalau LTAWNT – kerana pelan pembangunan tapak belum mendapat kelulusan MBKT, namun premis hendak telah diarah untuk dikosongkan. Apa yang akan jadi selepas itu? Dipagar dengan zink dan terbiar bertahun untuk dijadi sarang penagih dadah dan tempat persembunyian pencuri dan pelbagai sarang maksiat.

Apakah bangunan bersejarah ini lebih usang dari dinding zink tapak pembangunan yang terbiar? Kompleks pasaraya Paya Bunga sudah bertahun lamanya. Pembeli terpaksa menanggung bayaran bank tetapi bangunan tersadai tidak dapat diguna.

***************************************

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/jertehsouq1.JPG–  Tidak Pernah Ada Jerteh Souq?

Jerteh, BESUT – Catatan dari informasi laman web menunjukkan tidak pernah ada secara rasminya apa yang digembar-gemburkan sebagai Jerteh Souq, sebagaimana di paparkan papan tanda mega projek tersebut yang sudah semakin usang disini.

Sekiranya diteliti, tender yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Besut (MDB) pada bulan Jun tahun 2006 adalah Membina & Menyiapkan Bangunan Perniagaan & Kemudahan Di Medan Selera, Jerteh (MDB.01/05/06).

Dengan makna lain, Jerteh Souq adalah nama ‘politik’ yang digunakan untuk propaganda dan supaya ia dilihat lebih hebat oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Apa pun, amat malang kepada rakyat Terengganu, khususnya pengundi Jerteh yang sekali lagi telah memilih Idris sebagai wakil rakyat DUN tersebut.

Tinjauan Buletinonline ke bandar Jerteh baru-baru ini mendapati projek mega tersebut sedikit pun tidak mengalami apa-apa perubahan sejak tinjauan dibuat pada Februari tahun lalu (2008).

Ketika lalu untuk masuk ke tapak pembinaan ’Jerteh Souq’, wartawan Buletinonline sempat berbual kepada seorang peniaga kecil-kecilan yang menjaja ’petai’ berhampiran pintu zink disitu.

Apabila ditanya, bila ’Jerteh Souq’ itu akan siap, beliau menjawab ringkas, ”tunggu Haji Deris naik semula (jadi MB)”.

Tanpa meneruskan pertanyaan, beliau sendiri berkata, ”nak siap guano, pitih abih doh!”. ”Tu semo kerjo puok-puok dio lah,”katanya lagi.

Buletinonline difahamkan, walaupun kerja-kerja yang telah dilaksanakan bagi pembinaan tersebut agak minima, namun tuntutan yang dibuat keatas kerja yang telah dilaksanakn melebihi dari sepatutnya.

Oleh yang demikian, kerja-kerja pembinaan ‘Jerteh Souq’ tersebut kini terbengkalai.
Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Besut Haji Hassan Salleh, Projek ‘Jerteh Souq’ adalah sebenarnya tapak Pasar Jertih yang sebelum ini memberikan ruang niaga kepada peniaga kecil.

Katanya, sebelum dimusnahkan oleh kerajaan dibawah pimpinan Idris, beberapa bangunan di pasar tersebut baru sahaja siap dibina oleh Kerajaan PAS Terengganu.

“Ia telah dipecahkan dan diubahsuai semula, untuk menjadikan ia sebuah pojek baru bagi diagih-agihkan kepada ‘kroni’.

”Ini adalah antara pembangunan yang membazir yang sedang berlaku di Jertih,”ujarnya

Katanya, pengubahsuaian pasar Jertih juga menyusahkan para peniaga kecil yang terdiri dari orang-orang Melayu, dimana, gerai-gerai yang menjual goreng pisang serta air batu turut ‘dirombak’ mengakibatkan mereka kehilangan mata pencarian.

Advertisement

Read Full Post »

Setelah lebih sebulan saya tidak pulang ke Kuala Terengganu, beberapa para peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberi notis arahan keluar dari premis perniagaan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dan berbincang. Urusan di Kuala Lumpur pun tidak dapat dielakkan juga.

Sebagai koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol**, terasa juga semacam tidak adil kerana terlalu lama tidak bersama mereka berbincang dan merangka pelan tindakan untuk merayu kepada kerajaan. Walaubagaimanapun hubungan telefon jarak jauh tetap dikekalkan.

Dalam kerungsingan mereka yang berniaga, beberapa orang dari mereka kerap menelefon menceritakan rungsing dan tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu. Walaupun selepas luput tarikh notis arahan tersebut MB ada dipetik oleh akhbar sebagai berkata bahawa para peniaga akan dipaksa pindah juga selepas Raya, namun tiada satu surat rasmi pun yang dikeluarkan oleh lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri.

Ada yang menelefon di awal Ramadan lalu, saya nasihatkan kepada mereka agar kita banyak berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dan saya seru kepada para peniaga agar banyak bersabar, teruskan perniagaan sempena musim perayaan ini dan gandakan ibadat terutamanya di akhir-akhir Ramadan ini. Dan kita panjatkan doa supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar.

Dalam perjumpaan ringkas pagi ini bersama beberapa peniaga tersebut, ada yang pantas menyahut seruan saya dengan kata-kata “kita doakan Toh mati!” dan disambut dengan gelak ketawa di kalangan yang mendengar, sambil ada yang mengaminkan. Mungkin itulah satu-satunya cara untuk para peniaga ini mendapat ruang untuk bernafas.

Jika Adun Bandar [YB Toh Chin Yaw] mati, maka suatu pilihanraya kecil terpaksa diadakan dalam masa 60 hari. Jikalah ianya benar-benar berlaku dan kerajaan meneruskan juga hasrat menghalau para peniaga ini ianya bagaikan suatu usaha “membunuh diri”. Pasti 200-300 undi akan ke pembangkang. Dengan sentimen pengundi kini yang tidak lagi setia dengan UMNO?MCA/MIC/BN akhir-akhir ini, kerajaan wajar berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka.

Malah di kalangan peniaga dan para pekerja di situ sudah bertekad di hati mereka tidak akan mengundi BN lagi. Lebih separuh dari hampir 300 peniaga dan pekerja yang terlibat dengan arahan ini adalah pendundi DUN Bandar. Mereka mengungkit bahawa di antara janji semasa pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu awal tahun lalu, jentera kempen BN kepada para peniaga terbabit ialah mereka akan kekal di tapak perniagaan mereka sehingga tapak alternatif disediakan. Harus diingat bukan mereka sahaja – mereka juga ada saudara mara dan sahabat handai yang turut bersimpati.

Di antara janji yang masih terpahat dalam ingatan Uncle How, koordinator bersama saya, ialah projek pembangunan Kg Tiong yang terlebih dulu akan dilaksanakan barulah di Jalan Bandar. Namun kini itu semua tinggal janji politik pilihanraya sahaja. Janji-janji manis yang dibiasa ditabur setiap kali ada pilihanraya.

hmmm … kalaulah begitu … agaknya itulah sahaja cara para peniaga boleh diselamatkan. Ada siapa lagi nak mengaminkan?

“Mungkin satu lagi pilihan ialah untuk para peniaga mengadu nasib mereka kepada Tuanku Sultan (Agong)”, kata seorang lagi peniaga yang telah berniaga di sekitar itu semenjak 20 tahun. Tetapi disapuk seorang lagi, “takkan Agong nak bantah kot – ini projek dapat kepada adiknya”. Wow! Itu berita baru bagi saya. Apakah benar begitu?

Lantas saya menjawab, “setakat saya berkawan dengannya secara sikit-sikit lama-lama dulu dan setakat membaca watak dan pemikirannya dari jauh-jauh, saya tidak merasakan Tuanku seorang yang tidak prihatin rakyat.” Malah mungkin inilah peluang terakhir untuk mendapat perhatian dan prihatin Tuanku agar menitah kerajaan negeri memberi ruang masa yang sewajarnya kepada para peniaga.

Masalahnya dengan projek yang dikatakan hendak dibangunkan di situ ialah tidak siapa yang benar-benar tahu apakah bentuk projeknya, siapa kontraktornya dan sebagainya. Tidak seperti biasa, apabila sesuatu tapak hendak dibangunkan, pemaju diarah meletakkan papan tanda maklumat projek. Tetapi dalam kes ini ianya agak istimewa. Tiada papan tanda.

Kalau tiada papan tanda apakah bermakna projek belum diluluskan? Mungkin benar belum ada kelulusan (seperti mana kata Dato Mazlan Ngah – ahli lembaga LTAWNT). Kalau tiada kelulusan lagi – kenapa tidak sabar-sabar nak halau peniaga hinggakan menganggu habis perancangan perniagaan mereka untuk mengambil kesempatan musim perayaan.

Memang pelik. Projek pembangunan atas tapak deretan kedai yang bersejarah ini memang pelik. Laporan dan ulasan seterusnya akan disusuli. Yang penting, kepada para peniaga – harap bersabar dan teruskan perniagaan anda. Kepada semua dan yang bersimpati – tadahlah doa agar projek ini ditangguh sehingga suatu perbincangan yang menyeluruh dapat diadakan.

Sebagai rasa simpati kepada para peniaga – kita panjangkanlah lagi rintihan nasib mereka ini dengan memperluaskan sebaran keluhan mereka.

Dan bagi pencinta warisan yang menghargai tinggalan sejarah – usahakanlah dengan apa-apa cara sekalipun untuk menyuarakan bantahan anda terhadap usaha merobohkan warisan sejarah yang tersegam tegap di sebelah Pasar Kedai Payang.

.

.

** jawatan koordinator ini adalah yang saya sendiri lantik dalam usaha membela nasib para peniaga setelah memikirkan kepiluan dan titisan air mata mereka yang tiada hala tuju untuk meminta nasihat dan panduan selepas menerima notis tersebut – wakil rakyat tidak jenguk-jenguk …

Read Full Post »

Sepertimana telah saya katakan sebelum ini bahawa deretan bangunan bersejarah warisan Terengganu yang MB Datuk Ahmad Said kata perlu dirobohkan kerana usang, MB wajar berjalan dan perhatikan banyak tempat lain di bandaraya Kuala Terengganu untuk mengenalpasti mana yang sebenarnya usang.

MB usang 1Gambar sebelah ini adalah salah satu deretan kedai yang lebih “usang” dari yang hendak dirobohkan. Tidak tahulah hendak dikatakan kalau ini tidak dikategorikan “usang” oleh MB berbanding dengan yang hendak dirobohkan.

Malah banyak lagi kedai-kedai seperti ini di Kg. China yang lebih buruk dan merosakkan pandangan dari bangunan binaan batu yang bersejarah dan masih tegap tidak dimakan usia di Jalan Bandar.

MB usang 2Yang ini pula hanya struktur kayu dan beratap zink sahaja. Zink pun sudah bertampal-tampal. Sebahagian diding kayu pun sudah dimakan usia – jauh sekali dengan bangunan batu yang hendak diroboh kerajaan. Amat buruk dan hodoh sekali permandangannya. Ianya terletak betul-betul selepas jambatan kecil di jalan yang sempit di Kg. China.

Kalaupun perbelanjaan besar telah dihabiskan untuk mencantikkan jalan di sepanjang Kg. China, bangunan “usang” tetap “usang” (saya sendiri sudah jadi terkeliru apa sebenarnya yang MB maksudkan usang).

MB usang 3Bangunan penuh dengan tampalan zink seperti ini menjadi hidangan sajian mata para pelancong sebagai warisan sejarah walhal yang tegap lagi dijaga baik hendak dirobohkan. Kedai ini hanya selang beberapa buah sahaja dari yang di atas tadi. Kalau ini tidak jelas mungkin mereka yang diamanahkan menjaga warisan sejarah tidak wajar lagi memegang jawatan seperti itu. (teringat akan hadith Nabi s.a.w. bahawa di akhir zaman amanah itu menjadi rebutan)

11092009(055)Tenguklah lagi bangunan yang di sebelah kiri jalan ini pula. Malah sepanjang jalan sempit itu, di kiri dan kanan terdapat banyak bangunan yang tidak wajar dikenangkan sebagai warisan sejarah atau pun dikekalkan kerana terlalu uzur dan merosakkan permandangan.

Tidak mungkin seseorang yang hatinya dan kerjanya amanah terlepas pandang untuk membezakan mana struktur batu yang tegap berbanding yang kayu berdinding dengan tampalan zink yang hodoh lagi menyakitkan mata.

11092009(063)Bagaimana pula dengan bangunan struktur batu di deretan kedai jalan Kg. China? Walaupun ada yang bangunan batu, namun ianya mungkin lebih bertepatan dengan maksud yang MB katakan sebagai “usang”. Lihat sahaja rekahan pada bangunan. Lihat juga tumbuhan bangunan yang langsung tidak dijaga dan diselenggara dengan baik. [dilapidated? …  (decayed, deteriorated, or fallen into partial ruin especially through neglect or misuse)]

Saya bimbang apakah mungkin MB mendapat maklumat yang salah. Beliau yang sehingga kini masih belum turun menjenguk para peniaga yang merayu agar notis untuk menghalau mereka keluar dari premis perniagaan mereka di Jalan Bandar ditangguhkan selalu menyebut premis perniagaan itu sebagai “usang”. Apakah para pegawainya menunjukkan gambar-gambar seperti ini sebagai alasan mereka? Maka salahlah MB kerana mendapat maklumat yang tidak betul.

Fauzi MAMPATMemetik kata-kata Cikgu Fauzi Abu Samah (Presiden MAMPAT), “jika MB dengan slogan turun bersama rakyat dengan memasang atap di rumah kampung, apalah salahnya MB turun juga datang mendengar rintihan para peniaga yang memohon agar diberikan tempoh sewajarnya untuk berpindah.” [http://warisantrengganu.wordpress.com/2009/08/14/bantahan-aman-13-ogos-2009/]

deretan Jalan bandar - UtusanKalaulah gambar-gambar ini tidak cukup untuk membandingkan mana yang masih cantik dan tegap walaupun sudah seratus tahun dan mana yang dikatakan uzur dan merosakkan permandangan maka apakah wajar mereka ini untuk membuat pelbagai keputusan lain yang lebih penting pada jawatan yang mereka diamanahkan sekarang?

Read Full Post »

Para peniaga secara kumpulan kini telah membuat pelbagai rayuan melalui pelbagai saluran yang mungkin untuk memohon agar notis mengosongkan deretan bangunan lama dan bersejarah di Jalan Bandar dan Jalan Banggol dapat ditangguhkan.

Beberapa hari lalu sekumpulan peniaga Melayu telah berjumpa dan merayu belas dan ihsan dari Tuan Haji Talaha Setiausaha LTAWNT (yang menandatangan arahan notis tersebut). Namun, para peniaga tersebut mengatakan mereka dihampakan.

Padi tadi sekumpulan lagi para peniaga pelbagai bangsa sekali lagi ke pejabat Haji Talaha merayu agar mereka diberi ruang untuk mengadu nasib mereka dan memohon penangguhan notis tersebut. Janji Tuan Haji Talhah ialah bahawa dia akan membawanya untuk diputuskan dalam mesyuarat. Alangkah terkejutnya, tidak sampai beberapa jam selepas itu, para peniaga menerima surat rasmi bahawa rayuan mereka ditolak dan arahan notis mengosongkan deretan bangunan lama yang bersejarah tersebut kekal.

Para peniaga turut memohon sokongan Adun Bandar, untuk menyokong serta membela nasib mereka dan sebagai ahli majlis exco Negeri semoga dapat melakukan sesuatu untuk merayu penangguhan arahan tersebut.

Terbaru, dalam mesyuarat petang tadi, para peniaga juga memohon agar Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) dapat membantu mereka dalam usaha merayu kepada pihak LTAWNT agar diberi masa yang munasabah kepada para peniaga untuk mencari serta mengubahsuai premis baru serta memberi masa yang sesuai untuk berpindah. Mereka juga merayu kerajaan memberi pampasan yang munasabah untuk menanggung kos perpindahan yang terpaksa ditanggung ini.

Read Full Post »

Satu demonstrasi aman membantah arahan mengosongkan premis perniagaan mereka di Jalan Bandar (Kg. Cina – depan tempat letak kereta bertingkat Pasar Payang) telah diadakan sebentar tadi.

poster tiang2Para peniaga tanpa menggira bangsa bersatu membantah arahan tersebut yang bertujuan untuk meruntuh dan meranapkan satu tinggalan sejarah yang amat bermakna sebagai permulaan pusat perniagaan negeri ini.

Sambil memegang nota bantahan mereka bersama-sama menunjukkan kepada orang ramai yang lalu lalang serta mendapat sokongan dari mereka yang memandu dengan membunyikan hon masing-masing.

poster tiang1Terdapat juga poster-poster bantahan yang ditampal di sepanjang jalan itu.

Masing-masing menyuarakan bahawa sudah cukup banyak bangunan bersejarah yang diruntuhkan dan yang baru dibina pula walaupun dengan perbelanjaan yang besar tetapi tidak kekal lama.

Stadium Sultan Mizan dan Pusat Akuatik adalah antara contoh yang terbaik untuk diambil pengajaran.

Read Full Post »

dipetik dari: http://akarimomar.wordpress.com/2009/07/19/lagi-mercu-sejarah-terengganu-akan-diruntuh/

Hari ini Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terenggganu (LTAWNT) mengeluarkan notis menghalau para peniaga di deretan kedai Jalan Bandar/Kg. Cina dan sebahagian Jalan Banggol/Paya Keladi untuk meruntuhkan bangunan yang bersejarah demi “pembangunan kompleks Paya Keladi”.

Notis bertarikh 13 Julai 2009 menyuruh para peniaga di kawasan terlibat keluar dalam masa 30 hari dari tarikh notis (walaupun notis hanya diserahkan kepada para peniaga pada hari ini 19 Julai 2009). Ini bermakna para peniaga hanya mempunyai lebih kurang 3 minggu untuk mengosongkan premis perniagaan mereka.

Jalan Kedai Payang

Nampaknya satu demi satu tapak dan premis bersejarah negeri Terengganu menyembah bumi demi pembangunan untuk membina tamadun.

Gambar di atas menunjuk (tanda X) dua bangunan bersejarah yang telahpun lama hilang dari muka bumi ini. Yang sebelah kiri kini adalah tempat letak kereta Pasar Payang manakala yang ditengah ialah Jam Besar yang amat bersejarah digantikan hanya dengan jalan berturap tar tanpa apa-apa erti kepada sejarah. Kini bangunan sebelah kanan (tanda panah) pula yang hendak dimusnakkan.

Ketika cuba mendapat maklumat lanjut dari LTAWNT tidak membuahkan apa-apa penjelasan kerana kesemuanya amat jelas tidak berani memberi komen. Walhal para peniaga tertanya-tanya apakah tindakan yang harus mereka ambil dalam tempoh yang amat singkat.

Ada peniaga yang telah mula menambahkan stok mereka bagi menyediakan kedatangan Ramadan dan sambutan Raya Aidil Fitri. Kebanyakkan mereka merungut bahawa di dalam suasana ekonomi yang amat tidak menggalakkan mereka berdepan pula dengan suasana paksaan kerajaan untuk berpindah.

Para sejarahwan mula bertanya kewajaran tindakan kerajaan. Malah mereka mempersoalkan pula lembaga untuk amanah warisan negeri tetapi memusnahkan warisan yang berharga. Di sinilah bermulanya para peniaga negeri Terengganu lebih seratus tahun lalu. Di sinilah terletaknya kedai-kedai yang bersejarah yang banyak disebut di dalam buku unik “Growing Up in Trengganu” karangan Awang Goneng (Wan Hulaimi). Malah, satu-satunya kedai yang masih kekal perniagaan asalnya dari mulanya masih bertapak di premis asalnya Alam Akademik Sdn Bhd. (Keda Pok Loh Yunang).

janganlah diroboh lagiTOLONG SELAMATKAN WARISAN-WARISAN YANG ADA DI TERENGGANU.

Sudah cukuplah satu demi satu bangunan bersejarah yang telah ranap menyembah bumi.

Jangan hanya berslogan:

Memahat Sejarah Mencipta Tamadun

tetapi bertindak secara:

Meruntuhkan Tamadun dengan Melupakan Sejarah

Read Full Post »