Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘JKR’

KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Bernama) — Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi kerana dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu menarik diri.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Beliau berkata setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini Rabu.

Fasa Dua LPT yang melibatkan 11 pakej pembinaan bermula dari laluan Jabor sehingga ke Kampung Gemuroh, membabitkan kos keseluruhan RM3.7 bilion.

Ahmad berkata berikutan penarikan diri dua kontraktor itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuka tender bagi mendapatkan kontraktor baru.

Sebelum ini pembinaan lebuh raya itu sudah beberapa kali terganggu antara tiga dan empat bulan disebabkan bahan binaan yang tinggi, namun projek itu diteruskan semula setelah harga bahan itu kembali stabil.

Sementara itu Ahmad berkata kerajaan merancang untuk menyusun semula bandar raya Kuala Terengganu, dengan mengambil alih tanah di Kampung Ladang hingga Kampung Tanjung di sini.

Beliau berkata bagi peringkat pertama, kerajaan negeri meluluskan untuk mengambil kembali tanah seluas kira-kira empat hektar, di sekitar Kamung Ladang Tok Pelam, manakala peringkat kedua membabitkan kira-kira empat hektar lagi dari Kampung Tanjung hingga ke pusat beli belah Astaka.

“Saya sudah arahkan Pejabat Tanah dan Galian menyelesaikan pengambilalihan tanah bagi peringkat kedua itu dalam tempoh dua bulan dari sekarang,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »


AHMAD membuat lawatan mengejut di premis gerai makanan di Pusat Akuatik MBKT di Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

MB sedia dedah hasil siasatan jika ada kepincangan prosedur pembinaan

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dukacita dengan kejadian runtuh sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baginda melahirkan perasaan itu ketika dimaklumkan mengenai insiden yang dianggar membabitkan kerugian RM25 juta itu pada hari kejadian.

Beliau berkata, Seri Paduka juga dimaklumkan susulan perkembangan semasa kejadian itu berserta gambar runtuhan berkenaan.

“Baginda memang sedih dan dukacita dengan kejadian itu,” katanya selepas meninjau operasi trafik dan membanteras samseng jalanan di Jalan Sultan Mohammad di sini, kelmarin. Hadir sama Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa lalu, bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta, yang perasmiannya disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei tahun lalu, runtuh.

Stadium berkapasiti 50,000 penonton itu adalah yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tragedi itu, beliau berkata, pihaknya tiada maklumat mengenainya, bagaimanapun sentiasa bersedia dan bersikap terbuka membantu siasatan suruhanjaya itu.

“Saya tidak tahu lagi (perkembangan) setakat ini. SPRM belum menghubungi saya lagi, tetapi tidak tahulah siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri bagaimana. Kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM menyiasat berasaskan peruntukan undang-undang untuk mengenal pasti setiap kelemahan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia mendedahkan kepada umum hasil siasatan pihak berkuasa jika berlaku kepincangan dalam prosedur pembinaan dan penyelenggaraan prasarana awam itu.

Sementara itu, Ahmad yang mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Batu Burok di sini, menyuarakan kekecewaannya terhadap JKR negeri, yang mengambil mudah aspek pembinaan dan penyelenggaraan prasarana itu sehingga boleh menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Saya memang tidak berpuas hati dan sangat kecewa dengan JKR negeri. JKR (bertanggungjawab) mengawasi sesuatu projek, tetapi tiada pegawai yang datang.

“Sepatutnya kena lantik pegawai datang masa pembinaan. Jangan lepas tangan. Jangan ambil mudah lepaskan projek pada kontraktor, tetapi tidak buat pemantauan dan pemeriksaan susulan.

“Saya harap mereka dapat terima teguran ini secara positif,” katanya yang tidak berpuas hati dengan rekaan kolam renang itu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 6 Jun (Bernama) — Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini.

Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

“Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.

“Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh,” katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini.

Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu.

Ahmad meminta JKR melihat semula pusat akuatik itu kerana banyak struktur binaannya mengalami kerosakan dan bagi mengelak berulang kejadian yang menimpa stadium berkenaan.

Beliau berkata JKR sepatutnya menerima teguran itu dengan hati terbuka dan berasa malu kerana projek berkenaan menelan belanja berpuluh juta ringgit dan tidak sempurna.

Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa pusat akuatik tersebut bocor sehingga menyebabkan air daripada kolam renang mengalir ke premis-premis perniagaan di sebelahnya.

“Dakwaan ini tidak betul, sebab kalau kita lihat paras air kolam adalah stabil. Kalau bocor, tentu parasnya surut,” katanya.

Beliau berkata air yang dikatakan bocor itu sebenarnya ialah air hujan yang turun melalui tangga dan mengalir ke kawasan premis perniagaan tersebut.

“Kita perlu pasang paip besar di setiap penjuru untuk mengalirkan air dari atas bumbung ke longkang,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 5 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan disaran menggunakan khidmat ‘doktor bangunan’ untuk memeriksa kemudahan awam seperti stadium, lapangan terbang dan stesen bas setiap dua tahun sekali bagi mengelak tragedi seperti runtuhan berlaku.

Presiden Persatuan Alumni Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Fathi Abdul Rahman berkata, juru ukur bangunan profesional yang dikenali sebagai ‘doktor bangunan’ di luar negara mampu mengesan kelemahan dan kecacatan bangunan di peringkat awal.

Katanya, juru ukur bangunan profesional diiktiraf oleh Institut Surveyor Malaysia (ISM) dan mempunyai kecekapan untuk melakukan pemeriksaan keseluruhan bangunan termasuk struktur, tetulang, bumbung serta cerucuk.

Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 juru ukur bangunan profesional di negara ini berbanding Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mempunyai dua atau tiga orang pakar sahaja.

”Kalau doktor perubatan, mereka akan diagnosis jika seseorang itu sakit perut, demam atau sebagainya. Doktor bangunan pula akan membuat diagnosis kerosakan bangunan dan dari pemeriksaan ini kita boleh cegah tragedi sebelum berlaku,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.

Berikutan kejadian itu, kerajaan negeri semalam mengarahkan JKR membuat pemantauan tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap iaitu terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Mohd. Fathi memberi contoh, jika berlaku kebocoran dalam satu-satu bangunan, ia akan mengenai tetulang bangunan menyebabkannya berkarat.

Menurutnya, jika dibiarkan tanpa pemeriksaan, ia akan melemahkan struktur dan akhirnya menyebabkan bumbung atau binaan runtuh.

”Jika keadaan ini tidak diperiksa, lama-lama retakan berlaku dan bangunan boleh runtuh,” ujarnya.

Mohd. Fathi memberi contoh kejadian runtuhan bangunan yang berlaku kerana tiada pemeriksaan iaitu tragedi runtuhan Highland Tower di Selangor.

”Jika kerajaan boleh tetapkan peraturan pemeriksaan dua tahun sekali ini, juru ukur bangunan boleh memeriksa semua aspek pembinaan bangunan dan segala kelemahan boleh dibaiki segera,” ujarnya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 4 Jun (Utusan Malaysia) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu sedang mengumpulkan satu pasukan jurutera untuk memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap di negeri ini seperti yang diarahkan kerajaan negeri semalam.

Pengarahnya, Rosly Zainal berkata, pasukan itu yang akan diketuai Timbalannya, Ghazali Hashim akan melakukan pemeriksaan di ketiga-tiga bangunan baru itu dengan segera.

Menurutnya, pasukan tersebut akan memeriksa keseluruhan struktur ketiga-tiga projek baru siap itu bagi memastikan ia selamat untuk digunakan oleh orang awam.

”Perkara ini menjadi keutamaan kita sekarang. Kita akan melakukan pemeriksaan dengan segera seperti yang diarahkan oleh Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengarahkan JKR memeriksa tahap keselamatan terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Menurut Rosly, JKR mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja pemantauan keselamatan ketiga-tiga bangunan tersebut.

Jelasnya, sebelum ini pihaknya sentiasa memantau projek-projek pembangunan yang dijalankan di negeri ini mengikut jadual yang ditetapkan.

”Kita percaya kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak akan berlaku di ketiga-tiga projek mega tersebut.

”Ini kerana reka bentuk bumbung di ketiga-tiga projek tersebut berbeza dengan bumbung stadium,” ujarnya.

Menurutnya, reka bentuk bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah dari jenis berbingkai manakala bumbung ketiga-tiga projek mega itu menggunakan reka bentuk biasa seperti bangunan lain.

Beliau berkata, JKR sudah mengarahkan kontraktor utama untuk menghubungi subkontraktor dari Korea yang mereka bentuk, membina dan memasang bumbung stadium itu.

”Subkontraktor tersebut dijangka menghubungi kontraktor utama dalam tempoh terdekat. JKR hanya berurusan dengan kontraktor utama dan bukan dengan subkontraktor,” jelasnya.

Read Full Post »

Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said (kanan) dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Terengganu, Ir Ghazali Hashim (kiri) meninjau kawasan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Jun (Utusan Malaysia) – Kerosakan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu sebenarnya sudah diketahui sebelum kejadian runtuh yang berlaku pagi semalam.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Senator Datuk Roslan Awang Chik bagaimanapun berkata, kerosakan itu difahamkan hanya akan dibaiki selepas Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 yang bermula 4 hingga 13 Jun ini.

Jelasnya, sebuah syarikat dari Korea yang diberi tanggungjawab untuk membaiki bumbung itu juga sebenarnya sudah berada di Terengganu untuk prosedur pemantauan dan membetulkan kerosakan.

”Memang ada sedikit ‘tidak elok’ pada struktur bumbungnya dan syarikat bertanggungjawab dari Korea juga sebenarnya akan memulakan proses pembaikan selepas satu kejohanan sukan bulan ini.

”Malangnya kejadian runtuh ini berlaku sebelum proses pembaikan bermula namun nasib baik kerana tiada nyawa yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Kata Roslan, pembinaan stadium yang dipertanggungjawabkan kepada Konsortium Anak-anak Terengganu itu merupakan sebuah projek usahasama dengan beberapa syarikat kontraktor di luar negara.

Tambahnya, kegagalan sebuah syarikat dari Korea untuk menyiapkan rekaan bumbung mengikut spesifikasi dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.

”Projek stadium itu diberi kepada Konsortium Anak-anak Terengganu bersama beberapa syarikat luar yang sudah diiktiraf.

”Kegagalan syarikat berkenaan untuk mengikut spesifikasi bumbung seperti rekaan asal sudah diketahui dan mereka juga sebenarnya sudah berada di negeri ini untuk membetulkannya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kejadian runtuh yang berlaku itu sekali gus menjelaskan imej perusahaan industri negara di mata dunia.

”Imej terkenal kontraktor negara sedikit tercalar dengan kejadian ini. Nama baik perusahaan industri negara juga terjejas dengan runtuhan ini,” jelasnya.

Tambah Roslan, kerajaan perlu segera mewujudkan sebuah konsultan bebas untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh yang berlaku.

”Tubuhkan konsultan dan selidik apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat seharusnya didedahkan dan perlu tahu punca kejadian yang memalukan negara ini berlaku,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 3 Jun Utusan Malaysia) – Kelemahan struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak telah dikesan sejak perasmian pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2008, namun tiada tindakan segera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mendedahkan perkara itu berkata, apabila hal itu dirujuk kepada JKR, jabatan berkenaan memberi jaminan akan mengarahkan kontraktor mengambil tindakan selepas Sukan Malaysia (Sukma) 2008 berlangsung.

”Mesyuarat sudah diadakan, namun tiada tindakan. Tiga minggu lepas saya hubungi lagi timbalan pengarah JKR negeri minta hal itu disegerakan kerana bimbang tempoh jaminan akan habis.

”Dua minggu lepas JKR tulis surat kepada kontraktor untuk mengambil tindakan terhadap masalah itu,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Ahmad, struktur bumbung yang lemah dikesan apabila ia bergegar ketika pasukan komando mahu memasang tali untuk pertunjukan ‘abseiling’ sempena perasmian stadium itu oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Jelasnya, disebabkan tidak yakin dengan kekuatan struktur bumbung stadium, pertunjukan ‘abseiling’ anggota komando dilakukan menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, enggan menuding jari kepada mana-mana pihak tegasnya, kerajaan negeri menerima kenyataan bahawa kejadian runtuhan itu telah berlaku dan akan melantik konsultan luar untuk melakukan siasatan selain konsultan yang dilantik oleh JKR.

”Jadi, ada dua konsultan yang akan mencari punca kejadian ini. Kita tidak mahu bergantung kepada satu pandangan sahaja supaya lebih selamat,” ujarnya.

Beliau berkata, pengesahan keselamatan stadium itu sebelum ini sepatutnya dilakukan oleh JKR, bukannya konsultan yang dilantik oleh kontraktor.

”Saya kadang-kadang terkilan dengan konsultan, kerja tiga empat tahun sudah mahu jadi konsultan. Dahulu ada pengalaman 20 hingga 30 tahun baru tubuhkan syarikat konsultan,” ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya JKR menetapkan standard untuk menubuhkan syarikat konsultan perlu mempunyai pengalaman sekurang- kurangnya 15 tahun.

Ditanya kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu tegasnya, beliau sedia memberi kerjasama penuh jika ia boleh membersihkan nama kerajaan negeri.

Read Full Post »

Untuk lihat Gambar-gambar stadium Sultan Mizan runtuh (klik di sini)

*****************************************

KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Bernama) — Kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, yang runtuh pagi ini amat memalukan negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.

“Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa,” katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Selasa.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, hampir 60 peratus struktur bumbung bahagian hadapan kiri dan kanan stadium berkenaan sepanjang 400 meter runtuh menyebabkan besi serta serpihan bumbung jatuh ke bahagian tempat duduk.

Shaziman berharap Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kajian terperinci bagi mengenalpasti punca runtuhan itu.

“Saya minta satu juru perunding yang mempunyai kepakaran dan berkualiti dilantik bagi menilai dan mengkaji mengapa bumbung stadium baru itu boleh runtuh.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Apa yang saya mahu ialah satu laporan terperinci kerana kejadian ini memalukan negara walaupun kesilapannya mungkin bukan berpunca daripada kita,” katanya.

Beliau berkata kejadian itu akan menyebabkan masyarakat luar menganggap kontraktor tempatan tidak berkemampuan untuk membina bangunan-bangunan besar.

“Saya juga ingin tekankan kepada CIDB supaya lihat dengan terperinci jika hendak membina satu-satu struktur bangunan di negara ini daripada perancangannya, reka bentuknya, juruperunding, pembinaannya sehinggalah kalau bangunan itu hendak diruntuh pun kita sudah ada piawaian amalan kerja. Kita tidak akan bertolak-ansur dalam perkara ini.

“Pemilihan kontraktor hendaklah berdasarkan kemampuan dan kalau projek besar, pastikan konsultan itu ada kapasiti. Begitu juga dengan kontraktor mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan melantik konsultan bebas yang benar-benar berkemampuan dan mendapatkan maklumat dari Jabatan Kerja Raya bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Siasatan awal mendapati kerugian dianggar RM25 juta,” kata menteri besar itu yang jelas sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku itu.

Beliau berkata stadium utama itu akan ditutup sehingga kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang akan dilantik kelak.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata stadium tertutup dan beberapa bangunan baru yang terletak berhampiran stadium utama itu akan diperiksa bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis, bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) masih mengawal keadaan sekitar stadium berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Ia menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

— BERNAMA

Read Full Post »

15 keluarga bantah bina jalan boleh menyebabkan hakisan cerun

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Ketenteraman 15 keluarga yang tinggal di kaki Bukit Besar, di sini tergugat apabila lereng bukit berdekatan kediaman mereka diceroboh dan digondolkan bagi kerja pembinaan jalan persendirian sejak tiga hari lalu.

Pembinaan jalan itu menimbulkan keresahan di kalangan penduduk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan hakisan teruk sekali gus mengundang malapetaka seperti kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur.

Bimbang dengan kejadian itu, 15 keluarga berkenaan sepakat untuk mengemukakan aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membantah pembinaan jalan persendirian di kawasan berkenaan kerana boleh menjejaskan keselamatan lebih 80 ahli keluarga mereka.

Tinjauan Berita Harian di kawasan terbabit petang kelmarin, mendapati kebimbangan penduduk berasas kerana jarak antara kawasan yang diteroka dan rumah terdekat hanya sekitar 10 meter dan bukit yang sedang diratakan mempunyai kecerunan tinggi.

Seorang penduduk, Ghazali Abd Rahman, 52, yang mewakili penghuni di situ, berkata mereka berasa kesal dengan tindakan pihak yang mengutamakan kepentingan sendiri tanpa memikirkan keselamatan dan risiko bakal dihadapi penduduk disebabkan aktiviti memotong dan menarah bukit berkenaan.

Dia berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas melanggar peraturan ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar yang tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan bukit yang mempunyai kecerunan lebih daripada 35 darjah.

“Kami difahamkan, pembinaan jalan itu dibuat atas tanah milik kerajaan yang dipohon oleh seorang individu untuk dijadikan laluan masuk ke tanah miliknya yang terletak di kawasan berhampiran dan diluluskan oleh Ketua Penolong Pentadbir Tanah pada 2007 dengan kelulusan bersyarat.

“Bagaimanapun yang menjadi persoalan kami ialah mengapa ia diluluskan sedangkan sepanjang pengetahuan saya, dasar kerajaan negeri menetapkan bahawa sebarang pembangunan tidak dibenarkan di bukit berkenaan, lebih-lebih lagi membabitkan projek individu dan bukan untuk kepentingan awam.

“Justeru kami sebagai penduduk yang sudah menetap di sini lebih daripada 70 tahun meminta supaya pihak berkenaan membatalkan projek berkenaan kerana membahayakan keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ghazali berkata, cuaca yang tidak menentu dan hujan yang semakin kerap sejak akhir-akhir ini menyebabkan penduduk risau keadaan akan menjadi bertambah buruk sekiranya projek itu diteruskan.

“Projek pembinaan menara Telekom di atas bukit empat tahun lalu menyebabkan kejadian banjir lumpur kerana air yang turun dari bukit membawa lumpur, bersama, kesan daripada aktiviti penebangan pokok.

“Pada waktu itu, banyak harta benda kami musnah dan MPKT mengambil masa tiga hari untuk membersihkan kawasan sekitar sini. Jadi kami tidak dapat membayangkan kesan buruk yang kami bakal hadapi jika pembinaan jalan itu diteruskan kerana ia terlalu hampir dengan tempat tinggal kami.

“Saya percaya, sekiranya ia diteruskan, bukan saja 15 keluarga di sini yang akan terjejas, malah melimpah ke jalan raya sehingga ke pasar Bukit Besar yang terletak kira-kira 200 meter dari sini,” katanya.

Read Full Post »