Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Batu Burok’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)- Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak teragak-agak menutup 10 premis di Pusat Akuatik, Batu Burok, di sini, jika peniaga masih tidak mematuhi peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

:Akibat sikap peniaga di premis itu yang tidak mengikut peraturan dan disiplin, kawasan premis tercemar.

:Ahmad ketika membuat tinjauan di premis yang terdapat di Pusat Akuatik Batu Burok, berkata, jika peniaga masih mengekalkan sikap sedemikian, beliau akan mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya menutup premis terbabit.

:“Kami telah sediakan kepada mereka tempat selesa untuk berniaga tetapi mereka langsung tidak memberi kerjasama dengan membiarkan makanan yang hendak dijual tidak tertutup.

:“Kawasan premis berkenaan juga tercemar disebabkan air yang digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dibiarkan bertakung,” katanya.

:Menurut Ahmad, sebelum premis itu dibuka, peniaga terbabit hanya menggunakan van untuk berniaga di tepi jalan sepanjang pantai berkenaan.:

:“Bagaimanapun, bagi memudahkan mereka, pihak kerajaan mendirikan premis ini dan berharap mereka dapat menikmati keselesaan, seterusnya bertanggungjawab ke atas premis masing-masing.

:“Sepanjang pemerhatian saya, peniaga di premis ini tidak menjaga kebersihan dengan membiarkan pinggan dan gelas yang digunakan di atas meja walaupun perniagaan sudah ditutup.

:“Saya melihat ada juga peniaga yang tidak mengangkat peralatan digunakan dengan membiarkannya berselerak di atas meja, begitu juga dengan sampah-sarap dan sisa makanan. Jika keadaan ini berterusan, saya rasa premis ini perlu ditutup,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 5 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan disaran menggunakan khidmat ‘doktor bangunan’ untuk memeriksa kemudahan awam seperti stadium, lapangan terbang dan stesen bas setiap dua tahun sekali bagi mengelak tragedi seperti runtuhan berlaku.

Presiden Persatuan Alumni Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Fathi Abdul Rahman berkata, juru ukur bangunan profesional yang dikenali sebagai ‘doktor bangunan’ di luar negara mampu mengesan kelemahan dan kecacatan bangunan di peringkat awal.

Katanya, juru ukur bangunan profesional diiktiraf oleh Institut Surveyor Malaysia (ISM) dan mempunyai kecekapan untuk melakukan pemeriksaan keseluruhan bangunan termasuk struktur, tetulang, bumbung serta cerucuk.

Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 juru ukur bangunan profesional di negara ini berbanding Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mempunyai dua atau tiga orang pakar sahaja.

”Kalau doktor perubatan, mereka akan diagnosis jika seseorang itu sakit perut, demam atau sebagainya. Doktor bangunan pula akan membuat diagnosis kerosakan bangunan dan dari pemeriksaan ini kita boleh cegah tragedi sebelum berlaku,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.

Berikutan kejadian itu, kerajaan negeri semalam mengarahkan JKR membuat pemantauan tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap iaitu terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Mohd. Fathi memberi contoh, jika berlaku kebocoran dalam satu-satu bangunan, ia akan mengenai tetulang bangunan menyebabkannya berkarat.

Menurutnya, jika dibiarkan tanpa pemeriksaan, ia akan melemahkan struktur dan akhirnya menyebabkan bumbung atau binaan runtuh.

”Jika keadaan ini tidak diperiksa, lama-lama retakan berlaku dan bangunan boleh runtuh,” ujarnya.

Mohd. Fathi memberi contoh kejadian runtuhan bangunan yang berlaku kerana tiada pemeriksaan iaitu tragedi runtuhan Highland Tower di Selangor.

”Jika kerajaan boleh tetapkan peraturan pemeriksaan dua tahun sekali ini, juru ukur bangunan boleh memeriksa semua aspek pembinaan bangunan dan segala kelemahan boleh dibaiki segera,” ujarnya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Sebanyak RM234.4 juta diperuntukkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini bermula 2008 hingga 2010 supaya masyarakat memperoleh akses jalur lebar secara lebih meluas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Yahaya Khatib Mohamad berkata, peruntukan berkenaan dibiayai tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dan melaluinya pihak SKMM menyasarkan kadar penembusan internet bagi setiap isi rumah sebanyak 50 peratus pada tahun 2010 berbanding 10.6 peratus pada tahun lalu.

:“Daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM137.2 juta diperuntukkan untuk pembinaan 98 menara telekomunikasi baru di seluruh negeri ini di bawah program Time-3 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2010.

“Pelaksanaan projek ini membolehkan perkhidmatan selular diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutama di kawasan luar bandar seperti Setiu, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Marang,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2009 peringkat Wilayah Timur di Taman Batu Burok, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Shafie Harun dan Pengarah Unit Urusan Maklumat Negeri, Che Rani Mohd.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak SKMM, syarikat perkhidmatan selular dan syarikat Desa Bina Industries Sdn Bhd sebagai ‘state-backed company’ dapat bekerjasama dengan semua pejabat daerah serta agensi kerajaan negeri untuk mengenal pasti lokasi di seluruh Terengganu khususnya di kawasan penempatan penduduk luar bandar yang masih memerlukan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.

Menurutnya, sehingga kini Terengganu memiliki 404 menara telekomunikasi dan dengan pertambahan 98 jumlah menara berkenaan sebanyak 95 peratus penduduk negeri ini akan mendapat akses terhadap perkhidmatan jalur lebar berkenaan.

“Dalam projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi juga, sebanyak 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti akan diwujudkan membabitkan peruntukan berjumlah RM72 juta dan sehingga kini 12 daripadanya telah beroperasi termasuk di Kampung Merchang, Marang,” katanya.

Read Full Post »