Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘runtuh’

Apabila ditanya mengapa deretan bangunan bersejarah yang tegap utuh walaupun sudah seratus tahun perlu dirobohkan, MB Datuk Ahmad Said mengatakan kerana ianya terlalu usang.

Apakah sebenarnya definisi usang? Menurut Kamus Dewan, di antara pengertian usang ialah: sudah lama benar, lama terpakai atau tersimpan. Mungkin benar ianya usang – tetapi tidak membawa ertinya buruk dan merosakkan pandangan. Kalau sekadar lama – ianyakan menjadi antik dan lagi kita hargai nilainya – bukankah begitu?

Dalam bahasa Inggeris The Star melaporkan usang sebagai dilapidated, mungkin ini perkataan yang lebih tepat (tetapi MB tidak guna perkataan bahasa Inggeris!). Dia sebut usang.

Kalau usang itu memberi erti dilapidated (decayed, deteriorated, or fallen into partial ruin especially through neglect or misuse) sudah buruk, reput atau runtuh sebahagiannya, maka deretan kedai di jalan Bandar (Pasar Payang) tersebut jauh sekali dari apa yang diertikan itu.

MB kata usang kena robohLihat gambar ini. Ianya diambil dari sebelah pintu masuk untuk kenderaan menaiki tempat letak kereta bertingkat pasar dengan kamera menghala ke Jalan Banggol. Sebelah kanan ialah Jalan Kg. China dan sebelah kiri ialah deretan kedai yang hendak dirobohkan.

Perhatikan mana bangunan yang dikatakan “usang” yang menghodohkan permandangan? Yang sebelah kiri yang masih cantik itulah yang hendak diroboh. Manakala yang sebelah kanan dengan dinding yang sudah tidak ada rupa itulah menarikkan pandangan!

Bagi sesiapa yang berusaha sedikit untuk lihat deretan kedai di Jalan Kg China dan bandingkan dengan deretan kedai Jalan Bandar, kita akan dapati yang mana yang Ahmad Said maksudkan usang itu salah pada tempatnya. [Insha Allah dalam posting berikut]

Rex usang sebelah MBKTKalaulah kerajaan bersungguh dalam membersihkan imej bandaraya ini dari bangunan-bangunan yang terbiar dan merosakkan permandangan, para perancang bandar tidak perlu berjalan jauh. Intai sahaja dari tingkap menara mereka. Baik dari menara MBKT hatta dari menara (Wisma) Darul Iman – jelas nampak bangunan bersebelahan dengan pusat pentadbiran Bandaraya Pesisir Pantai. Gambar sebelah ini cukup memberi jawapannya.

Bangunan Rex ini terletak betul-betul di jalan utama bandaraya yang membariskan hampir kesemua bank-bank utama dan di persimpangan yang amat strategik. Namun, para pentadbir kita tetap merasakan bangunan yang bersejarah yang jauh lebih lama usianya dan teguh tidak dimakan zaman malah masih cantik dengan cat yang terang itulah yang perlu disondol kerana ada seseorang yang bakal mengaut hasil projek besar!

Selamatkan Warisan Sejarah Trengganu – Save Our Historical Heritage

Janganlah slogan “Terengganu – Where Nature Embraces Heritage” menjadi “Terengganu Government Embarrasses Nature and Heritage

Advertisement

Read Full Post »


KEADAAN siling yang tertanggal di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu di Gong Badak.

KUALA TERENGGANU: Selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh dan Pusat Akuatik di sini ditutup, masalah siling tanggal di beberapa bahagian Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Katanya, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

Maklumat Penuh…
No Frames

Siling LTSM tanggal berulang


KEADAAN siling yang tertanggal di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu di Gong Badak.

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh dan Pusat Akuatik di sini ditutup, masalah siling tanggal di beberapa bahagian Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Katanya, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

Ahmad Ramli berkata, siling di bahagian bumbung utama berhampiran Kompleks Menara Kawalan itu mungkin tertanggal disebabkan angin kuat dari pantai dan ini sudah tentu menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu.

“Kami sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kami berharap agensi itu akan tampil dengan penyelesaian jangka panjang yang mungkin membabitkan rekaan semula bumbung itu,” katanya.

Read Full Post »

dipetik dari: http://akarimomar.wordpress.com/2009/07/19/lagi-mercu-sejarah-terengganu-akan-diruntuh/

Hari ini Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terenggganu (LTAWNT) mengeluarkan notis menghalau para peniaga di deretan kedai Jalan Bandar/Kg. Cina dan sebahagian Jalan Banggol/Paya Keladi untuk meruntuhkan bangunan yang bersejarah demi “pembangunan kompleks Paya Keladi”.

Notis bertarikh 13 Julai 2009 menyuruh para peniaga di kawasan terlibat keluar dalam masa 30 hari dari tarikh notis (walaupun notis hanya diserahkan kepada para peniaga pada hari ini 19 Julai 2009). Ini bermakna para peniaga hanya mempunyai lebih kurang 3 minggu untuk mengosongkan premis perniagaan mereka.

Jalan Kedai Payang

Nampaknya satu demi satu tapak dan premis bersejarah negeri Terengganu menyembah bumi demi pembangunan untuk membina tamadun.

Gambar di atas menunjuk (tanda X) dua bangunan bersejarah yang telahpun lama hilang dari muka bumi ini. Yang sebelah kiri kini adalah tempat letak kereta Pasar Payang manakala yang ditengah ialah Jam Besar yang amat bersejarah digantikan hanya dengan jalan berturap tar tanpa apa-apa erti kepada sejarah. Kini bangunan sebelah kanan (tanda panah) pula yang hendak dimusnakkan.

Ketika cuba mendapat maklumat lanjut dari LTAWNT tidak membuahkan apa-apa penjelasan kerana kesemuanya amat jelas tidak berani memberi komen. Walhal para peniaga tertanya-tanya apakah tindakan yang harus mereka ambil dalam tempoh yang amat singkat.

Ada peniaga yang telah mula menambahkan stok mereka bagi menyediakan kedatangan Ramadan dan sambutan Raya Aidil Fitri. Kebanyakkan mereka merungut bahawa di dalam suasana ekonomi yang amat tidak menggalakkan mereka berdepan pula dengan suasana paksaan kerajaan untuk berpindah.

Para sejarahwan mula bertanya kewajaran tindakan kerajaan. Malah mereka mempersoalkan pula lembaga untuk amanah warisan negeri tetapi memusnahkan warisan yang berharga. Di sinilah bermulanya para peniaga negeri Terengganu lebih seratus tahun lalu. Di sinilah terletaknya kedai-kedai yang bersejarah yang banyak disebut di dalam buku unik “Growing Up in Trengganu” karangan Awang Goneng (Wan Hulaimi). Malah, satu-satunya kedai yang masih kekal perniagaan asalnya dari mulanya masih bertapak di premis asalnya Alam Akademik Sdn Bhd. (Keda Pok Loh Yunang).

janganlah diroboh lagiTOLONG SELAMATKAN WARISAN-WARISAN YANG ADA DI TERENGGANU.

Sudah cukuplah satu demi satu bangunan bersejarah yang telah ranap menyembah bumi.

Jangan hanya berslogan:

Memahat Sejarah Mencipta Tamadun

tetapi bertindak secara:

Meruntuhkan Tamadun dengan Melupakan Sejarah

Read Full Post »


AHMAD membuat lawatan mengejut di premis gerai makanan di Pusat Akuatik MBKT di Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

MB sedia dedah hasil siasatan jika ada kepincangan prosedur pembinaan

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dukacita dengan kejadian runtuh sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baginda melahirkan perasaan itu ketika dimaklumkan mengenai insiden yang dianggar membabitkan kerugian RM25 juta itu pada hari kejadian.

Beliau berkata, Seri Paduka juga dimaklumkan susulan perkembangan semasa kejadian itu berserta gambar runtuhan berkenaan.

“Baginda memang sedih dan dukacita dengan kejadian itu,” katanya selepas meninjau operasi trafik dan membanteras samseng jalanan di Jalan Sultan Mohammad di sini, kelmarin. Hadir sama Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa lalu, bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta, yang perasmiannya disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei tahun lalu, runtuh.

Stadium berkapasiti 50,000 penonton itu adalah yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tragedi itu, beliau berkata, pihaknya tiada maklumat mengenainya, bagaimanapun sentiasa bersedia dan bersikap terbuka membantu siasatan suruhanjaya itu.

“Saya tidak tahu lagi (perkembangan) setakat ini. SPRM belum menghubungi saya lagi, tetapi tidak tahulah siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri bagaimana. Kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM menyiasat berasaskan peruntukan undang-undang untuk mengenal pasti setiap kelemahan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia mendedahkan kepada umum hasil siasatan pihak berkuasa jika berlaku kepincangan dalam prosedur pembinaan dan penyelenggaraan prasarana awam itu.

Sementara itu, Ahmad yang mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Batu Burok di sini, menyuarakan kekecewaannya terhadap JKR negeri, yang mengambil mudah aspek pembinaan dan penyelenggaraan prasarana itu sehingga boleh menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Saya memang tidak berpuas hati dan sangat kecewa dengan JKR negeri. JKR (bertanggungjawab) mengawasi sesuatu projek, tetapi tiada pegawai yang datang.

“Sepatutnya kena lantik pegawai datang masa pembinaan. Jangan lepas tangan. Jangan ambil mudah lepaskan projek pada kontraktor, tetapi tidak buat pemantauan dan pemeriksaan susulan.

“Saya harap mereka dapat terima teguran ini secara positif,” katanya yang tidak berpuas hati dengan rekaan kolam renang itu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) — Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membuat pemeriksaan terhadap semua bangunan dan struktur baru yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mengelak sebarang kemalangan.

Beliau berkata PBT perlu memastikan bangunan seperti sekolah dan dewan menepati spesifikasi binaan dan selamat untuk digunakan.

“Segala kecacatan kepada bangunan hendaklah dilaporkan dan langkah-langkah membaikpulih perlu diambil segera untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut mengarahkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim supaya membuat pemeriksaan segera terhadap tiang struktur menara lampu limbah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana binaan di stadium berkenaan sudah terlalu lama dan ia bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

“Begitu juga dengan struktur atap grand stand Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan binaan lain dalam kawasan bandar raya yang agak sensitif dan menjadi tumpuan ramai (perlu dibuat pemeriksaan segera),” katanya.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kini kembali menjadi gelanggang untuk pelbagai acara atau kejohanan berikutan Stadium Sultan Mizan Zainail Abidin di Gong Badak runtuh tiga hari lepas (Selasa).

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk pentas diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dekat sini, ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

— BERNAMA

Read Full Post »

Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said (kanan) dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Terengganu, Ir Ghazali Hashim (kiri) meninjau kawasan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Jun (Utusan Malaysia) – Kerosakan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu sebenarnya sudah diketahui sebelum kejadian runtuh yang berlaku pagi semalam.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Senator Datuk Roslan Awang Chik bagaimanapun berkata, kerosakan itu difahamkan hanya akan dibaiki selepas Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 yang bermula 4 hingga 13 Jun ini.

Jelasnya, sebuah syarikat dari Korea yang diberi tanggungjawab untuk membaiki bumbung itu juga sebenarnya sudah berada di Terengganu untuk prosedur pemantauan dan membetulkan kerosakan.

”Memang ada sedikit ‘tidak elok’ pada struktur bumbungnya dan syarikat bertanggungjawab dari Korea juga sebenarnya akan memulakan proses pembaikan selepas satu kejohanan sukan bulan ini.

”Malangnya kejadian runtuh ini berlaku sebelum proses pembaikan bermula namun nasib baik kerana tiada nyawa yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Kata Roslan, pembinaan stadium yang dipertanggungjawabkan kepada Konsortium Anak-anak Terengganu itu merupakan sebuah projek usahasama dengan beberapa syarikat kontraktor di luar negara.

Tambahnya, kegagalan sebuah syarikat dari Korea untuk menyiapkan rekaan bumbung mengikut spesifikasi dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.

”Projek stadium itu diberi kepada Konsortium Anak-anak Terengganu bersama beberapa syarikat luar yang sudah diiktiraf.

”Kegagalan syarikat berkenaan untuk mengikut spesifikasi bumbung seperti rekaan asal sudah diketahui dan mereka juga sebenarnya sudah berada di negeri ini untuk membetulkannya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kejadian runtuh yang berlaku itu sekali gus menjelaskan imej perusahaan industri negara di mata dunia.

”Imej terkenal kontraktor negara sedikit tercalar dengan kejadian ini. Nama baik perusahaan industri negara juga terjejas dengan runtuhan ini,” jelasnya.

Tambah Roslan, kerajaan perlu segera mewujudkan sebuah konsultan bebas untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh yang berlaku.

”Tubuhkan konsultan dan selidik apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat seharusnya didedahkan dan perlu tahu punca kejadian yang memalukan negara ini berlaku,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 3 Jun (Utusan Malaysia)- Kakitangan penyenggara syarikat kontraktor dari Korea yang bertanggungjawab memasang bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini, dilihat memasuki stadium itu beberapa minit sebelum bumbungnya runtuh semalam.

Salah seorang pengurus Kompleks Sukan Negeri, Khairol Azmi berkata, kakitangan syarikat kontraktor itu berada di stadium berkenaan untuk memeriksa keadaan bumbungnya.

”Berdasarkan buku rekod di pondok keselamatan di pintu masuk utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, mereka mendaftar masuk beberapa minit sebelum runtuhan berlaku.

”Mereka tidak sempat periksa bumbung stadium. Mereka terus pulang selepas kejadian itu berlaku,” katanya ketika ditemui di stadium berkenaan di sini hari ini.

Khairol berkata, kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung stadium tersebut belum dijalankan kerana menunggu kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

”Kebenaran untuk membersihkan stadium dijangka dikeluarkan selepas dipastikan semua struktur sudah selamat,” ujarnya.

Justeru, katanya, empat pejabat iaitu pengurusan, keselamatan, boling dan penyenggaraan berpindah ke stadium tertutup yang terletak bersebelahan.

”Hari ini, semua pihak yang berpejabat di sini telah memindahkan barangan mereka seperti dokumen penting ke pejabat sementara di stadium tertutup,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 3 Jun Utusan Malaysia) – Kelemahan struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak telah dikesan sejak perasmian pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2008, namun tiada tindakan segera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mendedahkan perkara itu berkata, apabila hal itu dirujuk kepada JKR, jabatan berkenaan memberi jaminan akan mengarahkan kontraktor mengambil tindakan selepas Sukan Malaysia (Sukma) 2008 berlangsung.

”Mesyuarat sudah diadakan, namun tiada tindakan. Tiga minggu lepas saya hubungi lagi timbalan pengarah JKR negeri minta hal itu disegerakan kerana bimbang tempoh jaminan akan habis.

”Dua minggu lepas JKR tulis surat kepada kontraktor untuk mengambil tindakan terhadap masalah itu,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Ahmad, struktur bumbung yang lemah dikesan apabila ia bergegar ketika pasukan komando mahu memasang tali untuk pertunjukan ‘abseiling’ sempena perasmian stadium itu oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Jelasnya, disebabkan tidak yakin dengan kekuatan struktur bumbung stadium, pertunjukan ‘abseiling’ anggota komando dilakukan menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, enggan menuding jari kepada mana-mana pihak tegasnya, kerajaan negeri menerima kenyataan bahawa kejadian runtuhan itu telah berlaku dan akan melantik konsultan luar untuk melakukan siasatan selain konsultan yang dilantik oleh JKR.

”Jadi, ada dua konsultan yang akan mencari punca kejadian ini. Kita tidak mahu bergantung kepada satu pandangan sahaja supaya lebih selamat,” ujarnya.

Beliau berkata, pengesahan keselamatan stadium itu sebelum ini sepatutnya dilakukan oleh JKR, bukannya konsultan yang dilantik oleh kontraktor.

”Saya kadang-kadang terkilan dengan konsultan, kerja tiga empat tahun sudah mahu jadi konsultan. Dahulu ada pengalaman 20 hingga 30 tahun baru tubuhkan syarikat konsultan,” ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya JKR menetapkan standard untuk menubuhkan syarikat konsultan perlu mempunyai pengalaman sekurang- kurangnya 15 tahun.

Ditanya kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu tegasnya, beliau sedia memberi kerjasama penuh jika ia boleh membersihkan nama kerajaan negeri.

Read Full Post »

Stadium baru setahun diguna sudah runtuh – Struktur bumbung ranap dalam masa 10 saat


TINJAUAN udara menunjukkan runtuhan sebahagian daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU (Kosmo) – Pagi ini sepatutnya kira-kira 1,000 atlet dan pegawai sukan dijadualkan menyertai Kejohanan Sukan Staf Institusi Pengajian Awam Malaysia kali ke-34 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana 24 jam sebelum menyertai acara masing-masing pada kejohanan itu, bumbung stadium tempat mereka bakal beraksi ‘menyembah bumi’ semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu telah menyebabkan 60 peratus daripada bumbung stadium yang dibina kontraktor dari Korea Selatan itu ranap sama sekali selepas struktur besinya dipercayai patah.

Insiden yang pertama kali berlaku di Malaysia itu sebenarnya meninggalkan banyak persoalan dan memalukan industri pembinaan di negara ini.

Selain ranap pada usianya baru setahun, kualiti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang dibina dengan kos kira-kira RM300 juta itu boleh dipersoalkan kerana bumbungnya ranap sama sekali.

Dalam kejadian itu, bahagian timur stadium itu terjejas apabila kesemua struktur bumbung berbentuk bulan sabit roboh sepenuhnya.

Kawasan yang terlibat itu menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 yang turut mengandungi tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Beberapa saksi memberitahu Kosmo!, bumbung stadium sepanjang 400 meter itu roboh dalam masa 10 saat sahaja menyebabkan gegaran kuat di sekitar stadium.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Bernama) – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedang menunggu laporan berkenaan keadaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat sini, yang bumbungnya runtuh semalam, sebelum memutuskan gelanggang bagi perlawanan bola sepak Liga Super dan Liga Perdana membabitkan pasukan-pasukan dari negeri ini.

Naib Presiden PBSNT, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berhubung kedudukan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sama ada boleh digunakan atau sebaliknya untuk perlawanan liga-liga itu.

“Kita belum pasti dan kenyataan masih belum dibuat berhubung kedudukan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Kita tunggu dan lihat,” katanya mengulas mengenai kejadian bumbung stadium berharga RM270 juta itu, yang runtuh hampir 60 peratus kira-kira 9.30 pagi semalam.

Pada masa ini, pasukan Terengganu dan T-Team menggunakan stadium berkenaan sebagai gelanggang untuk perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Sheikh Tajuddin yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata setakat ini, pilihan PBSNT bagi menggantikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ialah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa ini, tempat duduk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang dibaik pulih dan belum pasti boleh digunakan.

“Kita bimbang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak dapat disiapkan dalam tempoh terdekat kerana pasukan Terengganu akan menentang KL Plus di Kuala Terengganu pada 16 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata, satu mesyuarat jawatankuasa pengurusan pasukan Terengganu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita akan buat keputusan mengenai status gelanggang itu selepas mesyuarat berkenaan dan cuba selesaikan secepat mungkin bagi memastikan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana mengikut jadual,” katanya. – Bernama

Read Full Post »

Older Posts »