Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Korea’

KUALA TERENGGANU 8 Jun (Utusan Malaysia)- Selepas beberapa hari berdiam diri berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh pada 2 Jun lalu, kontraktor utama projek pembinaan stadium itu tampil meminta supaya tidak dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Bina Struktur Sdn. Bhd. menegaskan, syarikat itu hanya bertindak sebagai kontraktor utama dalam pembinaan bangunan stadium dan bukan bahagian bumbungnya.

Pegawai teknikal syarikat itu, Muhammad Shukri Anuar berkata, reka bentuk, pembinaan dan pemasangan bumbung stadium tersebut dilakukan oleh kontraktor dari Korea.

”Kami hanya membina bangunan stadium,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, syarikat tersebut akan menunggu laporan siasatan runtuhan bumbung itu sebelum mengambil tindakan sepatutnya.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melantik badan penyiasat bebas dari luar negara bagi melakukan siasatan tersebut.

”Kami menunggu laporan siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Tindakan yang akan diambil bergantung pada hasil siasatan kejadian runtuhan itu.

”Buat sementara ini, kami tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media,” jelasnya.

Selasa lalu, separuh daripada bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta tetamu diraja dan orang kenamaan (VIP) runtuh.

Stadium itu kini ditutup sehingga enam bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Advertisements

Read Full Post »

Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said (kanan) dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Terengganu, Ir Ghazali Hashim (kiri) meninjau kawasan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Jun (Utusan Malaysia) – Kerosakan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu sebenarnya sudah diketahui sebelum kejadian runtuh yang berlaku pagi semalam.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Senator Datuk Roslan Awang Chik bagaimanapun berkata, kerosakan itu difahamkan hanya akan dibaiki selepas Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 yang bermula 4 hingga 13 Jun ini.

Jelasnya, sebuah syarikat dari Korea yang diberi tanggungjawab untuk membaiki bumbung itu juga sebenarnya sudah berada di Terengganu untuk prosedur pemantauan dan membetulkan kerosakan.

”Memang ada sedikit ‘tidak elok’ pada struktur bumbungnya dan syarikat bertanggungjawab dari Korea juga sebenarnya akan memulakan proses pembaikan selepas satu kejohanan sukan bulan ini.

”Malangnya kejadian runtuh ini berlaku sebelum proses pembaikan bermula namun nasib baik kerana tiada nyawa yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Kata Roslan, pembinaan stadium yang dipertanggungjawabkan kepada Konsortium Anak-anak Terengganu itu merupakan sebuah projek usahasama dengan beberapa syarikat kontraktor di luar negara.

Tambahnya, kegagalan sebuah syarikat dari Korea untuk menyiapkan rekaan bumbung mengikut spesifikasi dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.

”Projek stadium itu diberi kepada Konsortium Anak-anak Terengganu bersama beberapa syarikat luar yang sudah diiktiraf.

”Kegagalan syarikat berkenaan untuk mengikut spesifikasi bumbung seperti rekaan asal sudah diketahui dan mereka juga sebenarnya sudah berada di negeri ini untuk membetulkannya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kejadian runtuh yang berlaku itu sekali gus menjelaskan imej perusahaan industri negara di mata dunia.

”Imej terkenal kontraktor negara sedikit tercalar dengan kejadian ini. Nama baik perusahaan industri negara juga terjejas dengan runtuhan ini,” jelasnya.

Tambah Roslan, kerajaan perlu segera mewujudkan sebuah konsultan bebas untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh yang berlaku.

”Tubuhkan konsultan dan selidik apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat seharusnya didedahkan dan perlu tahu punca kejadian yang memalukan negara ini berlaku,” katanya.

Read Full Post »