Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘projek mega’

KUALA TERENGGANU 4 Jun (Utusan Malaysia) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu sedang mengumpulkan satu pasukan jurutera untuk memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap di negeri ini seperti yang diarahkan kerajaan negeri semalam.

Pengarahnya, Rosly Zainal berkata, pasukan itu yang akan diketuai Timbalannya, Ghazali Hashim akan melakukan pemeriksaan di ketiga-tiga bangunan baru itu dengan segera.

Menurutnya, pasukan tersebut akan memeriksa keseluruhan struktur ketiga-tiga projek baru siap itu bagi memastikan ia selamat untuk digunakan oleh orang awam.

”Perkara ini menjadi keutamaan kita sekarang. Kita akan melakukan pemeriksaan dengan segera seperti yang diarahkan oleh Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengarahkan JKR memeriksa tahap keselamatan terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Menurut Rosly, JKR mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja pemantauan keselamatan ketiga-tiga bangunan tersebut.

Jelasnya, sebelum ini pihaknya sentiasa memantau projek-projek pembangunan yang dijalankan di negeri ini mengikut jadual yang ditetapkan.

”Kita percaya kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak akan berlaku di ketiga-tiga projek mega tersebut.

”Ini kerana reka bentuk bumbung di ketiga-tiga projek tersebut berbeza dengan bumbung stadium,” ujarnya.

Menurutnya, reka bentuk bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah dari jenis berbingkai manakala bumbung ketiga-tiga projek mega itu menggunakan reka bentuk biasa seperti bangunan lain.

Beliau berkata, JKR sudah mengarahkan kontraktor utama untuk menghubungi subkontraktor dari Korea yang mereka bentuk, membina dan memasang bumbung stadium itu.

”Subkontraktor tersebut dijangka menghubungi kontraktor utama dalam tempoh terdekat. JKR hanya berurusan dengan kontraktor utama dan bukan dengan subkontraktor,” jelasnya.

Advertisement

Read Full Post »

Pusat akuatik MBKT di Batu Burok, Kuala Terengga

KUALA TERENGGANU 4 Jun (Utusan Malaysia) – Kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di sini telah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Masalah itu didedahkan oleh para peniaga kedai berkenaan yang melahirkan kebimbangan keadaan akan bertambah buruk jika ia tidak ditangani dengan segera.

Seorang peniaga, Siti Hajar Nadia Abdullah, 23, berkata, air mula meresap masuk ke dalam kedainya sejak sebulan lalu.

”Masalah ini tidak berlaku bila saya mula berniaga di kedai ini pada April lalu.

”Bagaimanapun, sejak bulan lalu, saya dapat lihat air dari kolam renang meresap masuk ke kedai menyebabkan air bertakung di lantai,” katanya.

Gadis yang berniaga di kedai nombor empat itu berkata, semua pekedai bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini ketika mereka sedang berniaga.

”Tambahan pula apabila berlaku runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin, kami lagi bimbang tahap keselamatan di pusat ini,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata, air meresapi dinding hingga memasuki lorong yang memisahkan kedai dan kolam renang.

Dia bimbang jika masalah itu dibiarkan, keretakan akan berlaku dan membahayakan nyawa peniaga.

Beliau meminta kerajaan negeri segera mengambil tindakan sekurang-kurangnya terhadap masalah air meresap ini supaya melegakan peniaga.

”Kita telah memaklumkan masalah ini kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan berharap tindakan segera diambil untuk atasi masalah ini.

”Kami bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini di pusat ini seperti yang berlaku di stadium kelmarin,” ujarnya.

Read Full Post »