Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘kontraktor’

Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said (kanan) dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Terengganu, Ir Ghazali Hashim (kiri) meninjau kawasan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Jun (Utusan Malaysia) – Kerosakan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu sebenarnya sudah diketahui sebelum kejadian runtuh yang berlaku pagi semalam.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Senator Datuk Roslan Awang Chik bagaimanapun berkata, kerosakan itu difahamkan hanya akan dibaiki selepas Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 yang bermula 4 hingga 13 Jun ini.

Jelasnya, sebuah syarikat dari Korea yang diberi tanggungjawab untuk membaiki bumbung itu juga sebenarnya sudah berada di Terengganu untuk prosedur pemantauan dan membetulkan kerosakan.

”Memang ada sedikit ‘tidak elok’ pada struktur bumbungnya dan syarikat bertanggungjawab dari Korea juga sebenarnya akan memulakan proses pembaikan selepas satu kejohanan sukan bulan ini.

”Malangnya kejadian runtuh ini berlaku sebelum proses pembaikan bermula namun nasib baik kerana tiada nyawa yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Kata Roslan, pembinaan stadium yang dipertanggungjawabkan kepada Konsortium Anak-anak Terengganu itu merupakan sebuah projek usahasama dengan beberapa syarikat kontraktor di luar negara.

Tambahnya, kegagalan sebuah syarikat dari Korea untuk menyiapkan rekaan bumbung mengikut spesifikasi dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.

”Projek stadium itu diberi kepada Konsortium Anak-anak Terengganu bersama beberapa syarikat luar yang sudah diiktiraf.

”Kegagalan syarikat berkenaan untuk mengikut spesifikasi bumbung seperti rekaan asal sudah diketahui dan mereka juga sebenarnya sudah berada di negeri ini untuk membetulkannya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kejadian runtuh yang berlaku itu sekali gus menjelaskan imej perusahaan industri negara di mata dunia.

”Imej terkenal kontraktor negara sedikit tercalar dengan kejadian ini. Nama baik perusahaan industri negara juga terjejas dengan runtuhan ini,” jelasnya.

Tambah Roslan, kerajaan perlu segera mewujudkan sebuah konsultan bebas untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh yang berlaku.

”Tubuhkan konsultan dan selidik apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat seharusnya didedahkan dan perlu tahu punca kejadian yang memalukan negara ini berlaku,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 3 Jun (Utusan Malaysia)- Kakitangan penyenggara syarikat kontraktor dari Korea yang bertanggungjawab memasang bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini, dilihat memasuki stadium itu beberapa minit sebelum bumbungnya runtuh semalam.

Salah seorang pengurus Kompleks Sukan Negeri, Khairol Azmi berkata, kakitangan syarikat kontraktor itu berada di stadium berkenaan untuk memeriksa keadaan bumbungnya.

”Berdasarkan buku rekod di pondok keselamatan di pintu masuk utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, mereka mendaftar masuk beberapa minit sebelum runtuhan berlaku.

”Mereka tidak sempat periksa bumbung stadium. Mereka terus pulang selepas kejadian itu berlaku,” katanya ketika ditemui di stadium berkenaan di sini hari ini.

Khairol berkata, kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung stadium tersebut belum dijalankan kerana menunggu kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

”Kebenaran untuk membersihkan stadium dijangka dikeluarkan selepas dipastikan semua struktur sudah selamat,” ujarnya.

Justeru, katanya, empat pejabat iaitu pengurusan, keselamatan, boling dan penyenggaraan berpindah ke stadium tertutup yang terletak bersebelahan.

”Hari ini, semua pihak yang berpejabat di sini telah memindahkan barangan mereka seperti dokumen penting ke pejabat sementara di stadium tertutup,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberikan penjelasan segera berhubung keruntuhan bumbung utama di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, kira-kira 15 kilometer dari sini yang berlaku pagi Selasa (2 Jun).

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah dalam kenyataan awal kepada Harakahdaily melahirkan rasa terkejutnya di atas kejadian yang amat memalukan itu. Ia malah dianggap tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai lebih RM200 juta itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.

Stadium yang merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu baru siap dibina lebih setahun lalu. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu dilaporkan runtuh. Kejadian itu disedari berlaku pagi Selasa, tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

“Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang) menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Apatah lagi sebelum ini pun sudah beberapa kes keruntuhan bangunan yang baru siap telah berlaku di negeri ini,” kata Wan Sukairi.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa kes serupa yang dilaporkan berlaku sebelum ini. Ia termasuklah dua kejadian berasingan melibatkan keruntuhan bumbung dewan besar sebuah sekolah menengah dan siling dalam kelas di sebuah sekolah di Marang.

Turut dilaporkan juga sebelum ini, beberapa struktur dalaman Bazar Warisan di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang baru siap tidak sampai setahun turut rosak dan runtuh.

Sehubungan itu, Wan Sukairi tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, sehingga menyebabkan keruntuhan bumbungnya itu.

“Bagi mana-mana projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap ‘progress’ mesti diperiksa dan disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut spesifikasi, mana mungkin ianya runtuh?,” soalnya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian, terutama sebarang kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dan penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut.

Menurut Wan Sukairi, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.- mns_

Read Full Post »