HISHAMMUDDIN bersama Ahmad (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat perhubungan Umno negeri di Kuala Terengganu, semalam. |
Tengku Putera, Shabery, Rahin isi jawatan utama
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mengumumkan tiga pelantikan baru bagi mengisi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri ini yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.
Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.
Tengku Putera sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan digugurkan selepas kepemimpinan Umno Terengganu dirombak yang menyaksikan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno mengetuainya manakala Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilantik sebagai timbalan.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dilantik semula sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong yang digugurkan. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sama ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengetuai Umno Terengganu.
Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pula dilantik sebagai Bendahari Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Datuk Roslan Awang Chik yang turut digugurkan.
Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno berkenaan, Hishammuddin berkata, pengumuman tiga jawatan utama perhubungan itu adalah titik permulaan kepemimpinannya di Terengganu.
Beliau berkata, pemilihan tiga individu itu dalam menjawat jawatan berkenaan juga jelas membuktikan bahawa beliau tidak terikat atau pro kepada mana-mana kumpulan kerana matlamat utama lantikan untuk memulihkan Umno Terengganu.
Ditanya sama ada pengguguran tiga pemimpin Umno negeri itu ada hubung kait dengan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah sebagaimana dilaporkan media, Hishammuddin berkata perkara itu tidak berkaitan.
“Perubahan pimpinan tak ada kaitan.. bagi saya yang paling penting adalah usaha kita untuk memikul tanggungjawab. Bagi yang melepaskan jawatan atau tak diberikan jawatan tak semestinya tugas dan tanggungjawab mereka lebih mudah. Ini bermakna tanggungjawab atau tugasan lain yang perlu dipikul akan terus dipikul,” katanya.