
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Selepas memperoleh kemenangan dua kali berturut-turut di tempat sendiri, pasukan T-Team terus mencipta kecemerlangan di tempat lawan dengan membenam pasukan Johor, 1-0, pada saingan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Johor.
Gol tunggal pasukan T-Team dijaringkan pemain muda, Asrul Hasran pada minit ke-43.
Perlawanan babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun kemenangan memihak kepada T-Team berikutan kelicikan Asrul yang bijak menggunakan peluang di depan mata untuk menjaringkan gol.
Jurulatih pasukan, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata, kemenangan berturut-turut yang diraih anak buahnya itu membangkitkan semangat pemain.
“Mereka kini semakin yakin berdepan pasukan lawan walaupun bukan beraksi di laman sendiri.
“Saya lihat pemain juga menunjukkan keyakinan tinggi dalam setiap perlawanan, justeru, saya harap pemain dapat mengekalkan corak permainan seperti ini bagi memastikan T-team terus mengekalkan kedudukan ini, sekali gus layak beraksi pada saingan Liga Super tahun depan,” katanya.
Menurut Che Ku Marzuki, pasukannya akan berdepan Sarawak di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di sini, esok.
“Semua pemain harus beraksi bersungguh-sungguh supaya terus berada di tangga kedua dan pada masa sama mencari mata untuk berada di tangga pertama liga.
“Jika pasukan kami terus menang pada perlawanan akan datang, peluang T-Team sememangnya cerah,” katanya.
Menurut Che Ku Marzuki, walaupun jarak perlawanan akan datang terlalu singkat tetapi itu bukan halangan buat pasukannya mencipta kejayaan kerana apa yang penting adalah semangat juang tinggi.