Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Pejabat Daerah’

15 keluarga bantah bina jalan boleh menyebabkan hakisan cerun

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Ketenteraman 15 keluarga yang tinggal di kaki Bukit Besar, di sini tergugat apabila lereng bukit berdekatan kediaman mereka diceroboh dan digondolkan bagi kerja pembinaan jalan persendirian sejak tiga hari lalu.

Pembinaan jalan itu menimbulkan keresahan di kalangan penduduk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan hakisan teruk sekali gus mengundang malapetaka seperti kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur.

Bimbang dengan kejadian itu, 15 keluarga berkenaan sepakat untuk mengemukakan aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membantah pembinaan jalan persendirian di kawasan berkenaan kerana boleh menjejaskan keselamatan lebih 80 ahli keluarga mereka.

Tinjauan Berita Harian di kawasan terbabit petang kelmarin, mendapati kebimbangan penduduk berasas kerana jarak antara kawasan yang diteroka dan rumah terdekat hanya sekitar 10 meter dan bukit yang sedang diratakan mempunyai kecerunan tinggi.

Seorang penduduk, Ghazali Abd Rahman, 52, yang mewakili penghuni di situ, berkata mereka berasa kesal dengan tindakan pihak yang mengutamakan kepentingan sendiri tanpa memikirkan keselamatan dan risiko bakal dihadapi penduduk disebabkan aktiviti memotong dan menarah bukit berkenaan.

Dia berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas melanggar peraturan ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar yang tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan bukit yang mempunyai kecerunan lebih daripada 35 darjah.

“Kami difahamkan, pembinaan jalan itu dibuat atas tanah milik kerajaan yang dipohon oleh seorang individu untuk dijadikan laluan masuk ke tanah miliknya yang terletak di kawasan berhampiran dan diluluskan oleh Ketua Penolong Pentadbir Tanah pada 2007 dengan kelulusan bersyarat.

“Bagaimanapun yang menjadi persoalan kami ialah mengapa ia diluluskan sedangkan sepanjang pengetahuan saya, dasar kerajaan negeri menetapkan bahawa sebarang pembangunan tidak dibenarkan di bukit berkenaan, lebih-lebih lagi membabitkan projek individu dan bukan untuk kepentingan awam.

“Justeru kami sebagai penduduk yang sudah menetap di sini lebih daripada 70 tahun meminta supaya pihak berkenaan membatalkan projek berkenaan kerana membahayakan keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ghazali berkata, cuaca yang tidak menentu dan hujan yang semakin kerap sejak akhir-akhir ini menyebabkan penduduk risau keadaan akan menjadi bertambah buruk sekiranya projek itu diteruskan.

“Projek pembinaan menara Telekom di atas bukit empat tahun lalu menyebabkan kejadian banjir lumpur kerana air yang turun dari bukit membawa lumpur, bersama, kesan daripada aktiviti penebangan pokok.

“Pada waktu itu, banyak harta benda kami musnah dan MPKT mengambil masa tiga hari untuk membersihkan kawasan sekitar sini. Jadi kami tidak dapat membayangkan kesan buruk yang kami bakal hadapi jika pembinaan jalan itu diteruskan kerana ia terlalu hampir dengan tempat tinggal kami.

“Saya percaya, sekiranya ia diteruskan, bukan saja 15 keluarga di sini yang akan terjejas, malah melimpah ke jalan raya sehingga ke pasar Bukit Besar yang terletak kira-kira 200 meter dari sini,” katanya.

Read Full Post »