Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘polis’

KUALA TERENGGANU, 11 Sept (Bernama)– Polis pada Jumaat menahan tiga lelaki disyaki terlibat dengan kes pembunuhan kejam bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, Selasa lepas.

Menurut Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan, hasil siasatan dan kecekapan polis, ketiga-tiga lelaki terbabit yang berumur antara 26 hinga 28 tahun berjaya ditahan dalam tempoh 63 jam selepas kejadian berlaku.

Beliau berkata, mereka ditahan di sebuah bangsal di belakang sebuah rumah di Felda Mengakawang, Hulu Terengganu kira-kira 5.10 pagi tadi.

“Dalam serbuan terbabit, polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes bunuh tersebut,” katanya kepada pemberita melalui khidmat pesanan ringkas di sini , Jumaat.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan polis percaya dengan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Selasa lepas, Asimah ditemui mati dibunuh dengan kejam dengan terdapat 11 kesan tikaman di badannya yang turut menyebabkan usus mangsa terburai.

Mayat mangsa yang juga Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumahnya oleh jirannya.

— BERNAMA

Read Full Post »


KUALA TERENGGANU: Polis akan menyiasat daripada pelbagai sudut berhubung pembunuhan terhadap bekas Ketua Umno Cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt K.Manoharan berkata

pihaknya turut akan menggunakan khidmat pakar forensik bagi mengesan bukti dan punca kejadian.

“Jangan buat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu kerana kita akan

menyiasat daripada pelbagai sudut. Ini termasuk latar belakang mangsa dan

bertanya jiran untuk mendapat gambaran sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mayat Asimah yang juga

Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui

dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Felda

Mengkawang, Hulu Terengganu oleh jiran.

Ketika kejadian mangsa dipercayai bersendirian manakala suaminya, Hussin

Sulong, 54, keluar bekerja dan anak-anaknya tiada di rumah.

Manoharan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Hulu

Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher akibat ditikam dengan objek tajam.

Beliau berkata, polis mengesyaki Asimah disamun sebelum dibunuh kerana

beberapa barang kemas yang dipakai mangsa hilang selepas kejadian tersebut.

Sehingga kini, katanya polis belum memperoleh bukti dan gerakan mengesan

suspek masih diteruskan.- Bernama

Read Full Post »


ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang mati lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Jeram, Manir semalam.


KUALA TERENGGANU (Kosmo) – Baru nampak van polis, tiga lelaki yang dipercayai penagih dadah bertempiaran lari sebelum nekad terjun ke dalam sungai di Kampung Jeram, Manir di sini semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki tersebut mengalami nasib berbeza apabila seorang mati lemas, seorang ditahan polis dan seorang lagi berjaya meloloskan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.45 pagi semasa anggota polis membuat rondaan rutin.

“Sampai di lorong tepi sungai di kawasan tersebut tiba-tiba anggota kami ternampak tiga lelaki yang berlari ke arah jeti sebelum terjun dan cuba menyeberangi sungai itu,” kata beliau di sini semalam.

Menurut Roslan, dua anggota polis itu memujuk ketiga-tiga lelaki tersebut supaya berpatah semula ke jeti tetapi tidak dipedulikan.

Katanya, dalam usaha melarikan diri itu, salah seorang daripada lelaki tersebut hampir lemas ekoran kekejangan otot ketika berada di tengah sungai.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU(Sinar Harian) – Dua anggota polis maut apabila motosikal ditunggang salah seorang mangsa dipercayai bergesel dengan treler dalam kemalangan di Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.35 petang ketika mangsa, Mohd Akmal Ismail, 20, dari Pekan, Pahang dan Nur Syazana Abd Razak, 22, dari Kulim, Kedah dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Kedua-dua mangsa baru memulakan tugas kira-kira enam bulan lalu.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang Mohd Akmal bergesel dengan treler, menyebabkan mereka jatuh.

“Pemandu treler melarikan diri tetapi hasil maklumat orang ramai yang sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan, polis berjaya menahannya di Marang dan kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Kami masih menyiasat punca kejadian. Berdasarkan laporan, kemungkinan besar kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Alias berharap orang ramai yang melihat kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, Seksyen 41.

Saksi, Hishamudin Mohd Nawi, 35, berkata, semasa kejadian dia baru keluar dari kereta menuju ke pejabat yang terletak berhampiran tempat kejadian.

“Saya terdengar dentuman kecil lalu melihat dua orang terbaring di tengah jalan. Tanpa berlengah, saya menghampiri tempat kejadian dan melihat keduanya sudah tidak sedarkan diri.

“Saya menelefon polis dan ibu mangsa perempuan melalui telefon bimbit yang jatuh di tengah jalan.

“Sebelum itu, saya melihat sebuah treler berada di situ dan pemandunya berhenti di hadapan bangunan UMNO. Pemandu treler tersebut melarikan diri,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 2 Julai – Baru dua bulan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu, dua anggota polis maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan treler membawa muatan besi di Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas di sini hari ini.

Konstabel Mohd. Akmal Akram Ismail, 20, dan rakannya, Konstabel Nor Syazana Abdul Razak, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 2.35 petang itu.

Mohd. Akmal berasal dari Peramu Jaya, Pekan, Pahang manakala Nor Syazana dari Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Alias Hashim memberitahu, kemalangan berlaku ketika Mohd. Akmal yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan menghantar Nor Syazana untuk bertugas di IPD Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan lori treler terbabit, menyebabkan mangsa terjatuh ke jalan sebelum dirempuh tayar treler itu.

“Bagaimanapun, kita belum dapat mengesahkan bagaimana kemalangan itu berlaku. Polis meminta sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya kepada pemberita di pekarangan Rumah Mayat HSNZ di sini.

Menurutnya, berikutan kemalangan itu, treler terbabit yang sebelum itu cuba melarikan diri berjaya ditahan di Kelulut, Marang tidak lama selepas kejadian untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, Mohd. Akmal baru melaporkan diri di IPD Kuala Terengganu pada 3 Mei lalu selepas setahun menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis di Kuching, Sarawak.

Nor Syazana pula melapor diri di balai yang sama pada 1 April lalu sejurus selesai tamat latihan di Pusat Latihan Polis di Jempol, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, seorang saksi, Hisyamudin Mohd. Nawi, 35, ketika ditemui memberitahu, dia mengetahui kejadian itu setelah terdengar bunyi perlanggaran sebelum mendapati dua mangsa sudah terbaring di atas jalan raya.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua mangsa meninggal dunia,” ujarnya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) — Kadar jenayah di Terengganu dalam enam bulan pertama tahun ini turun 12.78 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata sejak 1 Jan sehingga hari ini, sebanyak 2,770 kes dicatatkan berbanding 3,176 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas, yang menunjukkan penurunan 406 kes dan merupakan satu pencapaian yang sangat baik.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis dan penyerahan motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini Selasa, Mohd Shukri berkata polis negeri menyasarkan menurunkan kadar jenayah di Terengganu antara 24 dan 25 peratus sehingga akhir tahun ini.

Mohd Shukri berkata kes kecurian motosikal masih lagi tinggi di Terengganu walaupun pelbagai usaha telah diambil bagi menanganinya.

Namun, katanya, kadar kecurian motosikal dan kereta telah meningkat dalam tempoh itu, masing-masingnya kepada 1,267 kes berbanding 1,041 kes, dan 125 kes daripada 95 kes.

Pada majlis itu, polis Terengganu menerima 39 buah motosikal berkuasa tinggi untuk diagihkan kepada daerah-daerah.

— BERNAMA

Read Full Post »

DUNGUN (Sinar Harian)- Usaha Sinar Harian menyiarkan kisah kehilangan murid Tahun Tiga semalam tidak sia-sia apabila kanak-kanak terbabit akhirnya berjaya ditemui orang awam petang semalam.

Mohd Amirul Aizat, 9, yang dilaporkan hilang sejak 31 Mei, ditemui seorang peniaga, Wan Mohd Shukri Wan Awang, kira-kira jam 4.30 petang, ketika anak sulung dari empat beradik itu sedang tidur di gerai ikan, Pasar Payang Kuala Terengganu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, kanak-kanak itu ditemui selepas lebih dua minggu hilang ketika keluar untuk mengunjungi sebuah kafe siber dengan jarak kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Limbong, Paka, Dungun.

“Mohd Amirul dipercayai hilang pada 31 Mei, namun keluarganya membuat laporan polis pada 7 Jun. Sebaik menerima laporan, kita mengarahkan semua anggota termasuk Unit Kereta Peronda menjejaki mangsa. Poster diedarkan kepada orang ramai memaklumkan kehilangan murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Paka itu.

“Petang sema-lam, lebih kurang jam 4.30 petang, orang awam menghubungi polis memaklumkan Amirul dijumpai di gerai ikan, Pasar Payang Kuala Terengganu. Selepas identitinya disahkan ahli keluarga, polis membawa Mohd Amirul ke Dungun lalu diserahkan kepada ibu bapanya,” kata Dahlan.

Menurut Dahlan, Amirul ditemui dalam keadaan sihat dan sempurna sekali gus menolak kemungkinan ada unsur jenayah.

“Pada hari kejadian, mangsa dipercayai pergi ke Kuala Terengganu menaiki bas ekspres, bagaimanapun kita bersyukur kerana dia ditemui dalam keadaan selamat.

“Penemuan mangsa adalah hasil kerjasama polis, media dan juga masyarakat,” kata Dahlan yang turut menasihati Amirul agar berkelakuan baik dan tidak mengulangi kelakuan sama serta menjadi anak yang patuh kepada nasihat ibu bapa.

Sementara itu, sebaik Amirul tiba di bilik mesyuarat IPD Dungun, suasana bertukar sayu seketika apabila ibunya, Asiah Seman, 31, tidak dapat menahan sebak terus memeluk erat anak kesayangannya itu, selepas 17 hari berpisah.

Asiah yang mengalirkan air mata tanda kegembiraan meluahkan rasa terharu atas usaha yang dilakukan akhbar ini sehingga menemukan semula anaknya.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada akhbar Sinar Harian dan wartawannya kerana sanggup datang ke rumah dan menyiarkan berita kehilangan Amirul sehingga orang ramai berjaya menemuinya semula. Terima kasih juga kepada individu yang telah menemuinya serta menghubungi saya.

“Kepada pihak berkuasa yang bertungkus lumus mencari anak saya sehingga berjaya membawanya pulang, saya ucapkan terima kasih,” kata ibu kepada empat anak itu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Polis Terengganu melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menahan sepasang suami isteri yang sedang khayal bersama bayi berusia 4 bulan kerana mengedar dadah dalam serbuan di rumah mereka di Chendering, Khamis lalu.

Taktik menyembunyikan dadah dalam patung ‘Garfield’ gagal apa-bila polis berjaya merampas satu kilogram ganja, enam botol heroin dan 800 biji pil Wy bernilai kira-kira RM35,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menemui wang tunai sebanyak RM25,950 dipercayai hasil jualan dadah kepada penagih.

“Selain wang tunai, kita turut menyita harta suspek kira-kira RM101,000 berupa kereta Proton Perdana, Toyota Corola dan sekarang kita sedang kesan harta suspek yang lain,” katanya semalam.

Menurutnya, serbuan hasil risikan dan maklumat orang awam itu dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi ketika pasangan suami isteri berusia 33 dan 30 tahun yang mempunyai empat anak termasuk bayi masih menyusu sedang khayal akibat mengambil dadah.

“Berdasarkan siasatan, suspek lelaki ini mempunyai rekod jenayah narkotik lampau sejak enam tahun lalu dan dia baru sahaja dibebaskan akhir tahun lalu setelah ditahan di Simpang Renggang atas kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu adalah dalang sindiket dadah terbesar Terengganu yang berjaya dilumpuhkan dalam masa seminggu selain dua sindiket lain di Besut dan Hulu Terengganu.

Penangkapan kedua-dua suspek yang merupakan perancang utama sindiket mempunyai kira-kira 20 ahli, polis percaya berjaya melum-puhkan aktiviti pengedaran dadah di lima daerah terutama Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Suspek merupakan pengedar terbesar dan mereka mampu mem-beri bekalan dadah kepada kira-kira 500 penagih sehari. Setakat ini kita sudah tangkap 18 orang dan mengesan dua individu,” katanya.

Sementara itu kata Roslan, pihaknya turut menangkap seorang lelaki berusia 23 tahun bersama pil Wy sebanyak 600 biji dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Bukit Kenak, Jertih, Besut kelmarin.

“Hasil soal siasat ke atas suspek yang mengaku mengambil bekalan daripada seseorang, kita melakukan serbuan di rumah di Bukit Yong, Pasir Putih dan menangkap dua lelaki 20 dan 21 tahun.

“Kita turut merampas 600 biji lagi pil Wy menjadikan jumlah 1,200 bernilai RM60,000, ketiga-ti-ga suspek dan pasangan suami isteri ini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman gantung,” katanya.

Roslan berkata, selain dua sindiket itu pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket dadah kecil-kecilan di Hulu Terengganu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 8 Jun (Utusan Malaysia)- Seorang pengusaha bengkel kereta menahan bekas pekerjanya yang dipercayai terlibat mencuri komponen enjin terpakai di bengkelnya di Kampung Padang Air, Tepoh dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di rumahnya di Kampung Pasir Putih oleh bekas majikannya itu kira-kira pukul 6.15 petang sebelum menyerahkannya kepada polis.

Katanya, barangan komponen enjin bernilai kira-kira RM1,500 yang dicuri itu turut ditemui di rumah suspek.

“Suspek yang mempunyai rekod jenayah iaitu mencuri dan mengedar dadah secara kecil-kecilan ditahan di rumahnya bersama barang-barang yang dicuri.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, pengusaha bengkel itu yang juga seorang kontraktor berusia 40-an menerima panggilan daripada seorang lagi bekas pekerjanya memaklumkan bahawa bengkel kereta itu dipecah masuk kira-kira pukul 4 petang.

“Selepas menerima panggilan itu, pengusaha itu bergegas ke bengkelnya dan mendapati beberapa komponen enjin terpakai yang disimpan, hilang.

“Bertindak atas maklumat orang awam, mangsa pergi ke rumah suspek dan mendapati barang-barang yang dicuri berada dalam rumah itu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit dekat sini kira-kira pukul 5 petang hari kejadian.

Read Full Post »

AHMAD Said (dua dari kanan) bersama Shukri Dahlan (kanan) menyoal penunggang motosikal yang ditahan ketika Ops Bersepadu Cegah Jenayah dan Samseng Jalanan di Kuala Terengganu, semala

KUALA TERENGGANU 6 Jun (Utusan Malaysia)- Bimbang dengan gejala lumba haram yang semakin berleluasa, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri turun padang menyertai anggota polis dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dan Samseng Jalanan di sini malam tadi.

Sebaik menjejakkan kaki ke Terengganu selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di ibu negara, beliau terus menyertai Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan dalam operasi berkenaan di hadapan Mydin Mall kira-kira pukul 1 pagi.

Beliau dilihat bersalaman dengan para penunggang motosikal yang ditahan dan mengambil peluang memberi sedikit nasihat kepada mereka supaya menjaga keselamatan diri dan mengelakkan diri daripada berlumba haram.

”Kebetulan malam ini saya ada kelapangan sedikit, jadi saya turunlah,” ujarnya ketika ditemui pemberita di lokasi tersebut.

Ahmad menasihatkan ibu bapa supaya mengambil tahu kegiatan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan lumba haram.

”Jangan salahkan polis jika anak diambil tindakan, sebaliknya perlu berterima kasih kepada anggota keselamatan. Ibu bapa perlu menunaikan tanggungjawab dengan mengawal anak masing-masing supaya tidak sesal kemudian jika berlaku kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dalam lawatannya ke kampung-kampung untuk menyampaikan bantuan terutama pada musim perayaan, hampir kesemua golongan muda yang lumpuh adalah disebabkan mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bagi menyelesaikan masalah lumba haram jelasnya, kerajaan negeri bersedia membina litar lumba yang sistematik jika terdapat permintaan supaya golongan itu tidak lagi menimbulkan masalah.

Malah jelasnya, kerajaan negeri sedia menaja mereka yang ingin menjadi pelumba motosikal profesional dan menyertai kejohanan grand prix.

Read Full Post »

Older Posts »