Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Jalan Sultan Mohamad’

KUALA TERENGGANU 2 Julai – Baru dua bulan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu, dua anggota polis maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan treler membawa muatan besi di Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas di sini hari ini.

Konstabel Mohd. Akmal Akram Ismail, 20, dan rakannya, Konstabel Nor Syazana Abdul Razak, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 2.35 petang itu.

Mohd. Akmal berasal dari Peramu Jaya, Pekan, Pahang manakala Nor Syazana dari Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Alias Hashim memberitahu, kemalangan berlaku ketika Mohd. Akmal yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan menghantar Nor Syazana untuk bertugas di IPD Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan lori treler terbabit, menyebabkan mangsa terjatuh ke jalan sebelum dirempuh tayar treler itu.

“Bagaimanapun, kita belum dapat mengesahkan bagaimana kemalangan itu berlaku. Polis meminta sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya kepada pemberita di pekarangan Rumah Mayat HSNZ di sini.

Menurutnya, berikutan kemalangan itu, treler terbabit yang sebelum itu cuba melarikan diri berjaya ditahan di Kelulut, Marang tidak lama selepas kejadian untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, Mohd. Akmal baru melaporkan diri di IPD Kuala Terengganu pada 3 Mei lalu selepas setahun menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis di Kuching, Sarawak.

Nor Syazana pula melapor diri di balai yang sama pada 1 April lalu sejurus selesai tamat latihan di Pusat Latihan Polis di Jempol, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, seorang saksi, Hisyamudin Mohd. Nawi, 35, ketika ditemui memberitahu, dia mengetahui kejadian itu setelah terdengar bunyi perlanggaran sebelum mendapati dua mangsa sudah terbaring di atas jalan raya.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua mangsa meninggal dunia,” ujarnya.

Read Full Post »