
KUALA TERENGGANU(Sinar Harian) – Dua anggota polis maut apabila motosikal ditunggang salah seorang mangsa dipercayai bergesel dengan treler dalam kemalangan di Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.35 petang ketika mangsa, Mohd Akmal Ismail, 20, dari Pekan, Pahang dan Nur Syazana Abd Razak, 22, dari Kulim, Kedah dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Kedua-dua mangsa baru memulakan tugas kira-kira enam bulan lalu.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang Mohd Akmal bergesel dengan treler, menyebabkan mereka jatuh.
“Pemandu treler melarikan diri tetapi hasil maklumat orang ramai yang sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan, polis berjaya menahannya di Marang dan kini ditahan untuk membantu siasatan.
“Kami masih menyiasat punca kejadian. Berdasarkan laporan, kemungkinan besar kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Alias berharap orang ramai yang melihat kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, Seksyen 41.
Saksi, Hishamudin Mohd Nawi, 35, berkata, semasa kejadian dia baru keluar dari kereta menuju ke pejabat yang terletak berhampiran tempat kejadian.
“Saya terdengar dentuman kecil lalu melihat dua orang terbaring di tengah jalan. Tanpa berlengah, saya menghampiri tempat kejadian dan melihat keduanya sudah tidak sedarkan diri.
“Saya menelefon polis dan ibu mangsa perempuan melalui telefon bimbit yang jatuh di tengah jalan.
“Sebelum itu, saya melihat sebuah treler berada di situ dan pemandunya berhenti di hadapan bangunan UMNO. Pemandu treler tersebut melarikan diri,” katanya.