KUALA TERENGGANU: Polis akan menyiasat daripada pelbagai sudut berhubung pembunuhan terhadap bekas Ketua Umno Cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt K.Manoharan berkata
pihaknya turut akan menggunakan khidmat pakar forensik bagi mengesan bukti dan punca kejadian.
“Jangan buat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu kerana kita akan
menyiasat daripada pelbagai sudut. Ini termasuk latar belakang mangsa dan
bertanya jiran untuk mendapat gambaran sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mayat Asimah yang juga
Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui
dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Felda
Mengkawang, Hulu Terengganu oleh jiran.
Ketika kejadian mangsa dipercayai bersendirian manakala suaminya, Hussin
Sulong, 54, keluar bekerja dan anak-anaknya tiada di rumah.
Manoharan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Hulu
Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher akibat ditikam dengan objek tajam.
Beliau berkata, polis mengesyaki Asimah disamun sebelum dibunuh kerana
beberapa barang kemas yang dipakai mangsa hilang selepas kejadian tersebut.
Sehingga kini, katanya polis belum memperoleh bukti dan gerakan mengesan
suspek masih diteruskan.- Bernama
Leave a Reply