DUNGUN 8 Sept. – Anak Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahari Mamat dan seorang rakannya ditemui mati lemas manakala seorang lagi rakan masih hilang ketika tiga sahabat itu mandi di Sungai Paka di Kampung Pinang Merah dekat sini hari ini.
Mangsa, Mohd. Shaifudin Satiful Bahari, 10, ditemui pukul 8.45 malam manakala rakannya, Wan Mohd. Wajihudin Wan Rozaimi, 10, ditemui pukul 9.30 malam.
Seorang lagi rakan mereka, Sharai Hidayat Zaradi, 9, masih hilang dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Supritendan Dahlan Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku ketika Mohd. Shaifudin dan Sharai Hidayat cuba menyelamatkan Wan Mohd. Wajihudin yang lemas.
Menurutnya, cubaan mereka itu gagal menyebabkan kesemua mangsa hilang dan lemas di tempat kejadian.
Beliau berkata, polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu pukul 4.45 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa.
Katanya, adik kepada Mohd. Shaifudin yang ketika itu melihat kejadian tersebut, berlari beberapa meter dari tempat kejadian untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga.
”Ketika keluarga Mohd. Shaifudin tiba di tempat kejadian, kesemua mangsa telah tenggelam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Dahlan, operasi mencari dan menyelamat turut disertai anggota Bomba dan Penyelamat Dungun, Unit Penyelam Petronas dan penduduk tempatan.
Beliau memberitahu, operasi mencari seorang lagi mangsa terpaksa dihentikan berikutan cuaca gelap dan akan disambung esok.