Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 17th, 2009

PENDUDUK bekerjasama menghasilkan pelbagai bentuk hiasan pelita sempena malam tujuh likur di Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 16 Sept. (Utusan Malaysia)- Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, kewajipan menjalankan ibadah puasa serta bertarawih menjadi satu amalan yang perlu dilakukan pada bulan mulia itu.

Namun, ada satu tradisi yang sering dinanti-nantikan setiap kali penghujung Ramadan tiba iaitu malam tujuh likur.

Bagi sesetengah masyarakat, tiada apa yang istimewanya, namun bagi penduduk Kampung Padang Hangus dan sekitarnya, mereka tidak sabar menunggu ketibaan malam tersebut.

Sejak lapan tahun lalu, hampir seluruh penduduk kampung menyambut ketibaan malam tujuh likur dengan memasang pelita di sekeliling rumah mereka.

Malah, satu pertandingan pelita raya diadakan setiap tahun bagi memeriahkan suasana hari raya di kampung berkenaan.

Cahaya pelita daripada pelbagai bentuk menerangi sepanjang jalan ke kampung tersebut.

Pelbagai bentuk pelita dibuat sendiri oleh penduduk seperti dari buluh, tin minuman dan tin susu menghiasi pagar rumah mereka.

Menariknya, ia bukan sahaja sekadar memasang pelita namun mereka mencipta pelbagai kelainan yang menjadikan suasana kampung tersebut cukup meriah.

Pelita tersebut bukan hanya diletakkan mengelilingi rumah mereka, malah ia diletakkan dan diatur mengikut pelbagai jenis rekaan dan bentuk yang mengagumkan.

Di sepanjang jalan ke kampung tersebut, rekaan seperti Masjid Kristal, Menara Kuala Lumpur, kapal layar, pintu gerbang, tema 1Malaysia dapat dilihat.

Seorang penduduk yang ditemui, Rosmadi Ismail, 26, memberitahu, pada setiap tahun, keluarganya akan menyertai pertandingan tersebut bagi memeriahkan suasana berhari raya.

Katanya, keluarganya juga merupakan juara bertahan sejak empat tahun lalu dalam pertandingan tersebut.

Mengenai susunan pada pelita itu, beliau berkata, usaha itu bukan perkara mudah untuk menciptanya dan perlu berhati-hati memandangkan ia melibatkan penggunaan bahan api.

“Setiap tahun, kami sekeluarga akan bekerjasama menghasilkan pelbagai bentuk rekaan bagi memastikan kelainan.

“Pada tahun ini, kami mereka bentuk Masjid Kristal yang mana memerlukan kira-kira 600 biji pelita dan penggunaan 18 liter minyak tanah untuk semalam.

“Bagaimanapun, kos yang diperlukan tidak banyak memandangkan kami membuat sendiri pelita daripada tin minuman,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Hangus, Tepoh di sini semalam.

Pertandingan tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan negeri, Lembaga Muzium Negeri, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Hangus.

Seramai 184 keluarga terlibat dalam acara tersebut yang melibatkan lima buah kampung di sekitar Tepoh.

Advertisement

Read Full Post »

SETIU 16 Sept. – Impian kerajaan negeri untuk mempunyai hasil padi sendiri kian tercapai apabila Projek Rancangan Pengairan Jelapang yang diusahakan di Kampung Mak Jintan dekat sini tahun lalu mula membuahkan hasil.

Projek yang melibatkan tanah sawah seluas 735 hektar itu mula dituai semalam dengan anggaran perolehan empat tan per hektar untuk satu musim.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM46 juta termasuk kemudahan pengairan, infra dan pembaikan kawasan serta perataan tanah itu mula menunjukkan hasil walaupun diusahakan dalam masa tiga bulan.

Katanya, melalui projek berkenaan, kerajaan yakin dapat mencapai 55 peratus tahap sara diri negeri Terengganu.

“Apabila keseluruhan projek ini siap beroperasi sepenuhnya, kita yakin akan mencapai sasaran sara diri 100 peratus tanpa mengharapkan hasil padi dari negeri lain.

“Ini kerana, Projek Pengairan Jelapang ini berpotensi untuk tanaman padi dua kali setahun yang bakal meningkatkan ekonomi penduduk sekali gus negeri ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Tuai Padi di Kampung Mak Jintan di sini semalam.

Projek Pengairan Jelapang itu mula diusahakan bertitik tolak daripada idea Menteri Besar Terengganu tahun lalu apabila ingin mengurangkan masalah kemiskinan rakyat di negeri itu dengan membuka kawasan penanaman padi baru di kawasan kampung.

Seramai 200 orang peserta daripada penduduk tempatan telah terlibat dalam program berkenaan di mana setiap peserta diberi 3.9 hektar tanah untuk diusahakan dengan tanaman padi.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, beliau berharap petani yang terlibat dengan projek itu akan berkerja keras bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak tahun depan.

Ujarnya, pada tahun depan proses penanaman padi akan bermula pada bulan Mac.

“Kita yakin tahun depan anggaran hasil yang akan diperoleh ialah RM4,000 hingga RM9,000 per hektar untuk satu musim.

“Dengan jumlah tersebut, petani-petani di sini mampu memperoleh anggaran pendapatan RM3,600 sebulan untuk tanah seluas 3.9 hektar ini dan sekali gus mampu keluar dari kelompok kemiskinan,” jelasnya.

Read Full Post »

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

utusanterengganu@utusan.com.my

HASIL pertama projek perintis padi yang dilaksanakan melalui Rancangan Pengairan Jelapang di Kampung Jelapang, Setiu, baru-baru ini.


SETIU 16 Sept. – Jika dahulu, sebut sahaja negeri jelapang padi pastinya Kedah merupakan negeri pertama yang terlintas di fikiran.

Namun kemajuan perkembangan tanaman ruji ini yang semakin berkembang menjadikan ia mampu dimajukan di negeri lain.

Terbaru, negeri Terengganu kini mampu mendabik dada apabila tanah seluas 735 hektar yang pernah gersang selama lapan tahun dahulu kini subur menghijau dengan sawah padi seluas mata memandang.

Kampung Jelapang di Daerah Setiu telah dipilih menjadi projek perintis kepada tanaman ini.

Projek bernilai RM46 juta itu berpotensi untuk menghasilkan tanaman padi dua kali setahun yang bakal meningkatkan tahap sara diri rakyat negeri itu hampir 55 peratus.

Seramai 200 petani daripada kawasan tersebut telah terlibat dalam projek berkenaan di mana setiap petani diagihkan tanah seluas 3.9 hektar untuk diusahakan dengan tanaman itu.

Siapa sangka tanah yang hampir dibiarkan itu akhirnya berjaya dimajukan hasil idea bernas Menteri Besar Terengganu yang ingin melihat rakyatnya keluar daripada kepompong kemiskinan yang selama ini membelenggu mereka.

Difahamkan, pada 1972 hanya enam orang petani yang mula mengusahakan tanah sawah di sekitar kampung tersebut namun ketika itu masih tiada kelengkapan pengairan.

Setelah hampir 30 tahun mereka mengusahakan sawah tersebut pada 2002 masalah pengairan timbul sehingga menyebabkan para petani terpaksa berhenti daripada meneruskan penanaman padi.

Natijahnya, selama lapan tahun tanah tersebut dibiarkan sehinggalah pada Jun 2008 lalu, ia dipilih sebagai jelapang padi Negeri Terengganu melalui Projek Pengairan Jelapang yang telah dirasmikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Jika lapan tahun lalu petani di sini terpaksa berhenti daripada menanam padi kerana tiada sistem pengairan yang sistematik, namun kini mereka tidak perlu bimbang lagi apabila segala kemudahan pengairan dan infrastruktur telah dilengkapkan.

Dengan menggunakan sumber air dari Sungai Bari dengan keluasan tadahan seluas lebih kurang 37 kilometer persegi, tanaman padi di kawasan tersebut hidup subur.

Tambahan pula kemudahan sistem tali air, jalan ladang, jambatan, pembetung, rumah pam dan pam saliran telah disediakan.

Selain itu, pintu kawalan air turut dipasang bertujuan mengawal pasang surut air dan mengelakkan air masin masuk ke dalam sistem pengairan selain menyediakan bekalan air pada musim kemarau.

Bagi mengelakkan limpahan air Sungai Bari daripada menenggelami sawah, sebuah ban telah dibina di sebelah sungai tersebut setinggi lebih kurang 1.5 meter selain mendalamkan dan melebarkan sungai itu.

Kerajaan negeri juga membina parit saliran sepanjang 42,335 meter untuk mengalirkan air keluar dari sawah ke Sungai Bari.

Projek yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu turut menerima bantuan tenggala, benih, baja dan racun dalam tempoh percubaan daripada jabatan tersebut.

Justeru, tidak mustahil program penanaman padi itu akan membuahkan hasil lumayan sekiranya mendapat kerjasama penduduk setempat untuk memajukan kawasan itu.

Selain itu, kerajaan negeri turut menggalakkan penduduk yang mempunyai tanah yang terbiar agar memberikannya kepada kerajaan untuk dimajukan.

Sudah menjadi kebiasaan di mana penduduk lebih gemar ‘menyimpan’ tanah mereka berbanding dimajukan dengan pelbagai jenis pertanian lain.

Sehubungan itu, seharusnya kaedah Projek Pengairan Jelapang ini dicontohi oleh semua pihak dan dijadikan projek perintis untuk projek lain.

Read Full Post »