Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 13th, 2009

Setelah lebih sebulan saya tidak pulang ke Kuala Terengganu, beberapa para peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberi notis arahan keluar dari premis perniagaan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dan berbincang. Urusan di Kuala Lumpur pun tidak dapat dielakkan juga.

Sebagai koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol**, terasa juga semacam tidak adil kerana terlalu lama tidak bersama mereka berbincang dan merangka pelan tindakan untuk merayu kepada kerajaan. Walaubagaimanapun hubungan telefon jarak jauh tetap dikekalkan.

Dalam kerungsingan mereka yang berniaga, beberapa orang dari mereka kerap menelefon menceritakan rungsing dan tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu. Walaupun selepas luput tarikh notis arahan tersebut MB ada dipetik oleh akhbar sebagai berkata bahawa para peniaga akan dipaksa pindah juga selepas Raya, namun tiada satu surat rasmi pun yang dikeluarkan oleh lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri.

Ada yang menelefon di awal Ramadan lalu, saya nasihatkan kepada mereka agar kita banyak berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dan saya seru kepada para peniaga agar banyak bersabar, teruskan perniagaan sempena musim perayaan ini dan gandakan ibadat terutamanya di akhir-akhir Ramadan ini. Dan kita panjatkan doa supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar.

Dalam perjumpaan ringkas pagi ini bersama beberapa peniaga tersebut, ada yang pantas menyahut seruan saya dengan kata-kata “kita doakan Toh mati!” dan disambut dengan gelak ketawa di kalangan yang mendengar, sambil ada yang mengaminkan. Mungkin itulah satu-satunya cara untuk para peniaga ini mendapat ruang untuk bernafas.

Jika Adun Bandar [YB Toh Chin Yaw] mati, maka suatu pilihanraya kecil terpaksa diadakan dalam masa 60 hari. Jikalah ianya benar-benar berlaku dan kerajaan meneruskan juga hasrat menghalau para peniaga ini ianya bagaikan suatu usaha “membunuh diri”. Pasti 200-300 undi akan ke pembangkang. Dengan sentimen pengundi kini yang tidak lagi setia dengan UMNO?MCA/MIC/BN akhir-akhir ini, kerajaan wajar berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka.

Malah di kalangan peniaga dan para pekerja di situ sudah bertekad di hati mereka tidak akan mengundi BN lagi. Lebih separuh dari hampir 300 peniaga dan pekerja yang terlibat dengan arahan ini adalah pendundi DUN Bandar. Mereka mengungkit bahawa di antara janji semasa pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu awal tahun lalu, jentera kempen BN kepada para peniaga terbabit ialah mereka akan kekal di tapak perniagaan mereka sehingga tapak alternatif disediakan. Harus diingat bukan mereka sahaja – mereka juga ada saudara mara dan sahabat handai yang turut bersimpati.

Di antara janji yang masih terpahat dalam ingatan Uncle How, koordinator bersama saya, ialah projek pembangunan Kg Tiong yang terlebih dulu akan dilaksanakan barulah di Jalan Bandar. Namun kini itu semua tinggal janji politik pilihanraya sahaja. Janji-janji manis yang dibiasa ditabur setiap kali ada pilihanraya.

hmmm … kalaulah begitu … agaknya itulah sahaja cara para peniaga boleh diselamatkan. Ada siapa lagi nak mengaminkan?

“Mungkin satu lagi pilihan ialah untuk para peniaga mengadu nasib mereka kepada Tuanku Sultan (Agong)”, kata seorang lagi peniaga yang telah berniaga di sekitar itu semenjak 20 tahun. Tetapi disapuk seorang lagi, “takkan Agong nak bantah kot – ini projek dapat kepada adiknya”. Wow! Itu berita baru bagi saya. Apakah benar begitu?

Lantas saya menjawab, “setakat saya berkawan dengannya secara sikit-sikit lama-lama dulu dan setakat membaca watak dan pemikirannya dari jauh-jauh, saya tidak merasakan Tuanku seorang yang tidak prihatin rakyat.” Malah mungkin inilah peluang terakhir untuk mendapat perhatian dan prihatin Tuanku agar menitah kerajaan negeri memberi ruang masa yang sewajarnya kepada para peniaga.

Masalahnya dengan projek yang dikatakan hendak dibangunkan di situ ialah tidak siapa yang benar-benar tahu apakah bentuk projeknya, siapa kontraktornya dan sebagainya. Tidak seperti biasa, apabila sesuatu tapak hendak dibangunkan, pemaju diarah meletakkan papan tanda maklumat projek. Tetapi dalam kes ini ianya agak istimewa. Tiada papan tanda.

Kalau tiada papan tanda apakah bermakna projek belum diluluskan? Mungkin benar belum ada kelulusan (seperti mana kata Dato Mazlan Ngah – ahli lembaga LTAWNT). Kalau tiada kelulusan lagi – kenapa tidak sabar-sabar nak halau peniaga hinggakan menganggu habis perancangan perniagaan mereka untuk mengambil kesempatan musim perayaan.

Memang pelik. Projek pembangunan atas tapak deretan kedai yang bersejarah ini memang pelik. Laporan dan ulasan seterusnya akan disusuli. Yang penting, kepada para peniaga – harap bersabar dan teruskan perniagaan anda. Kepada semua dan yang bersimpati – tadahlah doa agar projek ini ditangguh sehingga suatu perbincangan yang menyeluruh dapat diadakan.

Sebagai rasa simpati kepada para peniaga – kita panjangkanlah lagi rintihan nasib mereka ini dengan memperluaskan sebaran keluhan mereka.

Dan bagi pencinta warisan yang menghargai tinggalan sejarah – usahakanlah dengan apa-apa cara sekalipun untuk menyuarakan bantahan anda terhadap usaha merobohkan warisan sejarah yang tersegam tegap di sebelah Pasar Kedai Payang.

.

.

** jawatan koordinator ini adalah yang saya sendiri lantik dalam usaha membela nasib para peniaga setelah memikirkan kepiluan dan titisan air mata mereka yang tiada hala tuju untuk meminta nasihat dan panduan selepas menerima notis tersebut – wakil rakyat tidak jenguk-jenguk …

Read Full Post »

DUNGUN: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Dungun mencatat sejarah dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas berjaya memasak bubur lambuk terbanyak berjumlah 300 kawah melalui Program Memasak Bubur Lambuk Terbanyak di Padang Dewan Merdeka di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi JPNIN, Azizah Ariffin berkata, program julung kali anjuran JPNIN membabitkan perbelanjaan RM22,800 itu menerima penyertaan kira-kira 1,500 ahli dari 76 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh daerah untuk memasak bubur lambuk yang diagihkan kepada orang ramai.

Beliau berkata, kerjasama berbilang kaum yang ditunjukkan semua ahli KRT terbabit mencerminkan komuniti di Terengganu masih mengamalkan semangat kejiranan dan gotong-royong yang tinggi.
“Saya difahamkan, demi menjayakan Program Memasak Bubur Lambuk Terbanyak ini setiap KRT memperuntukkan perbelanjaan antara RM800 hingga RM2,000 tetapi ia ternyata berbaloi kerana akhirnya usaha mereka diiktiraf dalam MBOR.

“Walaupun JPNIN Dungun menerima sijil MBOR, tetapi rekod yang dicipta ini menyamai rekod dunia kerana negara lain tidak membuat bubur lambuk,” katanya pada majlis penyampaian sijil MBOR kepada JPNIN Dungun.

Read Full Post »

316 terima bantuan raya

Oleh IRMAN HASHIM

utusanterengganu@utusan.com.my

Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan sumbangan duit raya kepada warga fakir miskin sambil diperhatikan oleh Tuanku Nur Zahirah pada Majlis Pengurniaan Bantuan di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 11 Sept. – Sebanyak 316 fakir miskin, pelajar dan ibu tunggal menerima bantuan kewangan dan pakaian yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man di sini hari ini.

Majlis Pengurniaan Bantuan itu dianjurkan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah.

Pada majlis itu, sebanyak 70 fakir miskin dari seluruh negeri ini menerima bantuan pakaian dan kewangan sebanyak RM200.

Tuanku Mizan yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah juga berkenan menyampaikan bantuan kepada 210 murid dan pelajar miskin dari tujuh buah sekolah di daerah ini.

Pelajar berkenaan adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, SK Tengku Bariah, SK Pusat Chabang Tiga, SK Pulau Manis, Sekolah Agama Rakyat Felcra Betong, Sekolah Menengah Agama Khairiah dan Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin.

Murid-murid tersebut menerima duit raya sebanyak RM100 seorang.

Tuanku Nur Zahirah juga berkenan menyampaikan bantuan tersebut kepada 36 ibu tunggal pada majlis tersebut.

Turut hadir ke majlis itu ialah Ahli-ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Speaker Dewan Undangan Negeri, Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong serta Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan, Halimah Mohamad, 70, melahirkan kesyukuran di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemerintah Terengganu tersebut.

”Bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak mengurangkan beban saya untuk menyambut ketibaan Aidilfitri,” katanya yang tinggal seorang diri di rumahnya di Kampung Bukit Kecil di sini.

Read Full Post »