Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 4th, 2009

KUALA TERENGGANU, 3 Sept (Harakahdaily ): Di tengah-tengah spekulasi sembilan Adun Umno akan meninggalkan parti untuk menyertai Pakatan Rakyat, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin turun ke Terengganu hari ini.

Beliau dijadualkan akan pergi ke pusat masalah dan lubuk kepada Ketua Pembangkang Dun Terengganu, Datuk Harun Taib iaitu Hulu Terengganu.

Muhyidin dijadualkan berjumpa dengan ketua masyarakat jam lima petang ini di Pejabat Umno Hulu Terengganu. Sebenarnya pertemuan petang ini adalah dengan pemimpin Umno tetapi oleh kerana lawatan ini atas nama timbalan perdana menteri, dalam kertas program Muhyidin di sebut bertemu dengan ketua masyarakat.

Muhyidin kemudiannya dijadualkan berbuka puasa di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Untuk solat Isya dan Terawih pula Muhyidin memilih Masjid Telok Menara yang terletak dalam Dun Manir yang diwakili Harun Taib.

Ketua Umno Hulu Terengganu yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu adalah Tengku Putera Tengku Awang. Yang Dipertuan PAS Hulu Terengganu adalah Harun Taib yang juga Ketua Dewan Ulama PAS.

Sebelum ini, sebuah akhbar politik mingguan, Siasah melaporkan dimuka depannya, jika terbentuk kerajaan baru di Terengganu, Harun adalah calon Menteri Besarnya. Ini kerana, dia adalah ketua pembangkang Dun dan juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

ImageMenurut sumber PKR, sembilan Adun Umno telah bersetuju untuk menyertai mereka dan seterusnya bergabung dengan PAS bagi membentuk kerajaan baru di Terengganu.

Adun Ajil, Rosol Wahid menolak laporan ini tetapi Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad mengaku ada rundingan dibuat yang melibatkan beberapa orang wakil rakyat berkenaan cadangan untuk lompat parti.

Pertemuan juga telah diadakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel terkenal di Kemaman sebelum ini.

Ketika kemuncak masalah Umno Terengganu sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamudin Hussein telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Dengan kedatangan Muhyidin ke Terengganu hari ini ada yang membuat andaian seolah-olah Hisham gagal untuk menyelesaikan masalah di Terengganu sehingga Muhyidin terpaksa turun sendiri.

Advertisement

Read Full Post »

Oleh Kamal Ahmad, Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin

bhnews@bharian.com.my

KUALA BERANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kemelut dalaman Umno Terengganu mencapai tahap yang perlu diselesaikan segera sebelum menjadi lebih parah dan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri menawarkan diri membantu Datuk Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menyelesaikan kemelut membabitkan sekumpulan wakil rakyat BN yang tidak sehaluan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Melihat kemelut itu boleh menjejaskan perpaduan pemimpin Umno negeri, beliau yang juga Timbalan Presiden parti, mahu pertemuan kedua-dua pihak diadakan segera kerana masalah yang dihadapi sekarang hanya membabitkan perhubungan sesama pemimpin tanpa campur tangan atau unsur luaran parti.

“Saya sedia berjumpa pada bila-bila masa dan di mana-mana. Semua mesti hadir dan berbincang. Kita akui masalah itu dan sedia membuka telinga untuk mendengar,” katanya selepas pertemuan dengan pemimpin empat peringkat Umno Hulu Terengganu, di Ibu Pejabat parti itu, di sini, semalam.

Kemelut dalaman kepemimpinan Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Ketua Umno bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Berikutan itu, sekurang-kurangnya 10 Adun melakukan beberapa tindakan sebagai protes, antaranya memboikot persidangan DUN dan dikatakan mahu menyertai pembangkang walaupun desas-desus itu dinafikan oleh Muhyiddin.

“Saya yakin mereka pemimpin yang masih kuat semangat dan cintakan parti. Kita akui ada masalah, tetapi bukan mahu lompat parti. Di Terengganu, sokongan masyarakat kepada BN kuat. Sebab itu kita menang pilihan raya. Oleh itu, kita perlu melaksanakan amanah yang disandarkan kepada wakil rakyat,” katanya.

Selain Hishamuddin, majlis itu dihadiri Menteri Besar dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Tengku Putera Awang. Bagaimanapun, sebahagian besar Adun tidak hadir.

Exco yang hadir ialah Rozi Mamat (Telemong), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu), Datuk Za’abar Mohd Adib (Rantau Abang), Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) serta Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar .

Adun yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut)

Dua Exco tidak hadir ialah Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit), manakala Toh Chin Yau (Bandar) dari MCA.

Muhyiddin juga berkata, pelbagai usaha Hishammuddin dan Ahmad untuk memperbaiki keadaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini menampakkan hasil positif yang sangat ketara berbanding sebelum ini.

Beliau menyifatkan tindakan kumpulan Adun itu bukan ancaman kepada kepemimpinan Umno negeri, tetapi parti perlu mengakuinya dan menyelesaikan beberapa isu yang masih berbangkit sekarang.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 3 Sept. (Utusan Malaysia)- Gara-gara ingin mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa, dua pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak menyembunyikan diri di dalam sebuah tangki air di atas sebuah bangunan di Ladang di sini.

Bagaimanapun, taktik dua lelaki warga Filipina itu tidak berhasil apabila mereka berjaya dikesan oleh pasukan penguat kuasa.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Terengganu, Asisten Supritendan Mohd. Faudzi Muhamad berkata, kedua-dua mereka adalah antara 26 PATI yang ditahan dalam ‘Ops Nyah Bersepadu 2’.

Operasi yang disertai sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu diadakan di Projek Perumahan Rakyat Kampung Ladang di sini.

Katanya, turut menyertai operasi ini ialah anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Seramai 10 orang PATI yang berada di tingkat atas bangunan projek perumahan itu cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran anggota kami.

“Dua daripada mereka cuba menyembunyikan diri dalam tangki air tetapi kami berjaya menghidu taktik itu dan menangkapnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 108 orang buruh yang bekerja di tapak pembinaan tersebut telah diperiksa dalam operasi itu.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, 22 orang adalah rakyat tempatan, enam penduduk tetap, Indonesia (35), Bangladesh (31), Myanmar (7), Vietnam (4), Filipina (2) dan Thailand (1).

Read Full Post »