Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 10th, 2009

Oleh radhuan hussain

utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 9 Sept. – Harga borong dan runcit beberapa jenis ikan di negeri ini dilaporkan meningkat antara 25 hingga 50 peratus sebelum dan ketika bulan puasa, sekarang.

Bagi harga borong, ikan kembung dijual RM4.20 sekilogram sebelum puasa dan RM6 ketika ini.

Sotong pula dijual RM9.74 sekilogram berbanding RM8.77 sebelum bulan puasa sementara ikan tenggiri dan selayang tidak berubah dengan masing-masing dijual pada harga RM18 dan RM4.17 sekilogram.

Menurut Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Jelani Hashim, bagi harga runcit pula, ikan kembung ketika ini dijual RM12 berbanding RM10 sekilogram sebelum bulan puasa.

Ikan tenggiri dijual RM22 berbanding RM18 atau RM19 sekilogram pada bulan puasa manakala harga sotong tidak berubah.

“Kenaikan harga ikan ini bergantung kepada hasil tangkapan dan musim. Ada jenis-jenis ikan yang mendapat permintaan lebih mengikut keperluan selera dan masakan isi rumah terutama pada bulan puasa ini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Jelani berkata, jumlah pendaratan ikan di enam kompleks LKIM di seluruh negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini adalah 7,418.76 tan dan bernilai lebih RM29 juta.

Sementara bagi sepanjang tahun lalu, jelasnya, pendaratan ikan di kompleks yang sama mencecah 24,349.51 tan dengan nilai jualan melebihi RM93 juta.

“Berdasarkan statistik ini, kita jangka untuk sepanjang tahun ini jumlah dan nilai pendaratan ikan akan terus meningkat, setakat bulan April tahun ini saja sudah mencapai nilai jualan lebih RM29 juta, baki lapan bulan belum dikira,” ujarnya.

Read Full Post »

Oleh IRMAN HASHIM

utusanterengganu@utusan.com.my

DUA kakitangan Muzium Negeri memeriksa keadaan genta atau loceng tembaga gergasi yang akan dibunyikan bagi menandakan waktu berbuka puasa dan waktu imsak sepanjang bulan Ramadan di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 9 Sept. – Setiap kali bulan puasa, bunyi genta yang kuat dari Bukit Puteri di sini akan dapat didengari oleh penduduk bandar raya ini sebagai tanda bahawa sudah sampai masanya untuk berbuka puasa atau tamatnya waktu bersahur.

Genta atau loceng besar yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini boleh didengar sejauh kira-kira tujuh kilometer iaitu sehingga ke Kampung Bukit Tumbuh di sini.

Sudah beratus-ratus tahun genta tersebut berkhidmat untuk rakyat Terengganu walaupun pada awal pembinaannya, ia mempunyai lebih banyak fungsi daripada sekadar menandakan waktu berbuka dan bersahur.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, genta itu dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pada 1908 atau bersamaan 1326 Hijrah.

‘‘Tujuan pembinaan genta ini adalah untuk memasyhurkan sesuatu ancaman yang melanda negeri seperti orang mengamuk dan kebakaran.

‘‘Genta itu juga digunakan sebagai isyarat seperti musuh melanggar negeri dan sultan berangkat ke masjid untuk mengerjakan solat,” katanya.

Menurutnya, genta berdiameter 228 sentimeter (sm) dan 78 sm tinggi serta seberat 175 kilogram itu dibina oleh Wan Ali Wan Awang dengan dibantu beberapa tukang lain.

Jelasnya, penjagaan genta ditugaskan kepada seorang penjaga yang lebih dikenali sebagai ‘budak raja’.

Katanya, ‘budak raja’ akan membunyikan genta mengikut keperluan berita yang ingin disampaikan kepada rakyat.

‘‘Mengikut adat negeri, apabila genta dibunyikan tidak menentu serta pukulan kencang, penduduk akan menutup pintu rumah dan kedai masing-masing.

‘‘Para pembesar dan hamba akan berlari menuju istana untuk menerima arahan dan senjata,” tambahnya.

Beliau memberitahu, pada bulan puasa genta mula dibunyikan pada waktu petang sebelum waktu berbuka bagi menandakan telah hampir waktu untuk umat Islam berbuka puasa.

‘‘Apabila genta dibunyikan dengan kencang dikenali sebagai goncang pada tengah malam, ia menandakan waktu memasak untuk bersahur dan diikuti tembakan meriam satu das.

‘‘Pada Hari Raya Aidilfitri, genta dibunyikan kencang serta bertingkah-tingkah lagunya pada waktu sembahyang, sewaktu sultan berangkat ke masjid tetapi adat ini dibatalkan pada pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah,” jelasnya.

Mohd. Yusof berkata, penempatan genta di Bukit Puteri bukan satu kebetulan kerana lokasi itu juga menempatkan beberapa monumen dan artifak sejarah Terengganu yang tidak ternilai.

‘‘Selain genta, Bukit Puteri juga menempatkan meriam beranak, tiang bendera, rumah api, kubur Syed Yasin dan kubu pertahanan,” tambahnya.

Menurutnya, terdapat beberapa cerita mengenai sejarah dan asal-usul Bukit Puteri itu.

‘‘Ada cerita menyatakan ketika Datuk Bendahara Padang Saujana menghantar wakilnya, Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) untuk memerintah Terengganu, bukit tersebut telah pun dikenali sebagai Bukit Puteri.

‘‘Cerita lain menyatakan Bukit Puteri berasal dari nama Tok Raja Maha Menteri dari Johor yang membuka Bukit Puteri,” katanya.

Beliau memberitahu, pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II, Bukit Puteri dijadikan kubu pertahanan semasa perang saudara.

Read Full Post »

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my


GAMBAR menunjukkan segelintir remaja yang memadu kasih di pantai berkenaan.

Lokasi remaja berkhalwat tanpa kira waktu

KUALA TERENGGANU: Penduduk di Teluk Ketapang, Tok Jembal dan Batu Buruk dekat sini bosan dengan gelaran tidak enak, ‘pantai maksiat’ yang dilabelkan kepada kawasan berkenaan kerana ramai pasangan terutama remaja menjadi tempat itu sebagai lokasi memadu kasih, termasuk di bulan Ramadan.

Kawasan itu antara lokasi ideal sebagai tempat riadah keluarga di siang hari, tetapi menjelang senja dan lewat malam, pantai berkenaan menjadi lokasi paling digemari pasangan kekasih.
Berikutan status negatif terhadap kawasan pantai itu, ramai kini malu untuk membawa keluarga dan anak-anak ke kawasan itu kerana tidak mahu dikaitkan dengan tanggapan negatif itu, terutama di kawasan Pantai Tok Jembal paling banyak merekodkan kes tangkapan khalwat.

Tinjauan Berita Harian di lokasi itu ketika hari menjelang senja mendapati terdapat banyak pasangan yang kelihatan sedang asyik berdua-duaan penuh romantik di sepanjang pantai tanpa menghiraukan orang ramai lalu lalang.

Sementara ketika lewat malam hingga menjelang dinihari, keadaannya berlainan apabila kereta yang membawa pasangan berhenti di kawasan itu, tetapi tiada yang ke pantai. Keadaan yang samar-samar daripada lampu jalan tidak jauh dari situ menjadikan persekitaran sangat sesuai untuk pasangan berkenaan terus duduk dalam kereta dan terbabit kegiatan ‘ringan-ringan’.

LAGI gambar menunjukkan segelintir remaja yang memadu kasih di pantai berkenaan.

Keadaan itu sedikit sebanyak memberikan imej buruk kepada masyarakat tempatan, terutama nelayan di kawasan itu yang terpaksa menahan ‘pedih mata’ melihat perkara cemar yang dilakukan pasangan berkenaan.

Seorang penduduk yang ditemui, Khairuddin Ahmad, 40, kawasan pantai sering menjadi lokasi pilihan remaja dan muda mudi terutama pelajar institusi pengajian tinggi untuk berdua-duaan dan memadu kasih.

“Kami tahu pihak berkuasa banyak membuat serbuan dan tangkapan hasil maklumat yang diberikan sukarelawan serta penguat kuasa agama, namun tren itu hanya sepi sekejap dan selepas beberapa ketika ia kembali menjadi tumpuan.

“Kalau keadaan ini berterusan, usaha pihak berkuasa untuk mengubah kembali lokasi kedua-dua pantai ini sebagai kawasan riadah dan bersantai mungkin tidak akan menjadi kenyataan, sebaliknya akan terus kekal sebagai pantai maksiat kerana kejadian khalwat dan tangkap basah masih banyak dilaporkan di kawasan ini,” katanya.

Seorang sukarelawan cegah maksiat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui berkata, kedua-dua kawasan berkenaan memang panas dan sentiasa berada di bawah perhatian pasukannya. Sudah banyak tangkapan dibuat, bukan hanya membabitkan pasangan remaja dan muda mudi malah turut membabitkan pasangan dewasa yang sudah berkahwin.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya memang menerima aduan kedua-dua lokasi itu sebagai antara `lokasi hitam’ yang memang selalu diadakan intipan dan tangkapan membabitkan kegiatan tidak bermoral terutama berkhalwat.

Katanya, pihaknya juga sudah mengarahkan JHEAT membuat pemantauan kerap termasuk ketika Ramadan bagi memastikan golongan berkenaan tidak mengambil kesempatan ketika Ramadan kerana kebanyakan orang sibuk mengerjakan solat sunat Tarawih.

Laporan berikutnya:

Tempat ‘ringan-ringan’ sudah lengang

Read Full Post »


KUALA TERENGGANU: Polis akan menyiasat daripada pelbagai sudut berhubung pembunuhan terhadap bekas Ketua Umno Cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt K.Manoharan berkata

pihaknya turut akan menggunakan khidmat pakar forensik bagi mengesan bukti dan punca kejadian.

“Jangan buat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu kerana kita akan

menyiasat daripada pelbagai sudut. Ini termasuk latar belakang mangsa dan

bertanya jiran untuk mendapat gambaran sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mayat Asimah yang juga

Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui

dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Felda

Mengkawang, Hulu Terengganu oleh jiran.

Ketika kejadian mangsa dipercayai bersendirian manakala suaminya, Hussin

Sulong, 54, keluar bekerja dan anak-anaknya tiada di rumah.

Manoharan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Hulu

Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher akibat ditikam dengan objek tajam.

Beliau berkata, polis mengesyaki Asimah disamun sebelum dibunuh kerana

beberapa barang kemas yang dipakai mangsa hilang selepas kejadian tersebut.

Sehingga kini, katanya polis belum memperoleh bukti dan gerakan mengesan

suspek masih diteruskan.- Bernama

Read Full Post »