Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 23rd, 2009

Oleh Mohd Nasif Badruddin

mnasif@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Memilukan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun hanya mampu meraung sambil berlari mengejar sebuah kereta yang melanggar adik lelakinya berusia lima tahun dalam kejadian di Kampung Raja, Tepuh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Che Ku Mohd Afiq Che Ku Mazlan dikatakan pergi ke kedai bersama abangnya, Che Ku Idris sebelum kanak-kanak itu dilanggar sebuah Proton Saga yang menyeretnya sejauh 35 meter.

Menurut saksi kejadian yang juga bapa saudara mangsa, Che Wan Ibrahim Che Wan Ngah, 54, ketika kejadian, dia berada di luar kedainya sambil melayan beberapa tetamu yang datang beraya sebelum tiba-tiba mendengar bunyi rempuhan kuat di jalan raya.

Katanya, pada mulanya, dia menyangka ada motosikal terbabas, namun apabila keluar meninjau tempat kejadian secara dekat, dia berderau apabila melihat seorang kanak-kanak lelaki diseret sebuah kereta.

“Ketika itu, saya melihat Che Ku Idris berlari sekuat hati mengejar kereta terbabit sambil menjerit ‘adik aku… adik aku’ dan memangku adiknya, Che Ku Mohd Afiq sambil menangis apabila kereta itu berhenti.

“Kejadian menyayat hati itu berlaku di depan mata dan saya tergamam melihat tindakan Che Ku Idris yang tidak ubah seperti dalam filem apabila mengejar kereta yang merempuh adiknya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Menurutnya, dia yakin kenderaan itu dipandu laju berdasarkan bunyi rempuhan kuat selain bampar depan kereta itu terjatuh selepas melanggar mangsa.

Katanya, selepas kejadian itu, beberapa saksi menelefon hospital meminta supaya menghantar ambulans, namun dimaklumkan agak lewat tiba ke tempat kejadian.

“Bimbangkan keselamatan anak saudara yang agak nazak ketika itu, saya mengambil keputusan menghantar mangsa ke HSNZ menggunakan kereta sendiri,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Che Ku Mazlan Che Ku Ahmad, 42, berkata anak keenam daripada tujuh beradik itu begitu rapat dan manja dengannya.

“Semalam (kelmarin), arwah begitu gembira menyambut raya bersama keluarga, tetapi tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.

“Cuma hari ini (semalam), pertama kali dia pergi ke kedai sendiri bersama abangnya sedangkan sebelum ini, dia tidak pernah pergi sendirian kecuali ditemani orang dewasa,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di kebun dan terkejut apabila dimaklumkan seorang saudaranya kemalangan menimpa anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah, Asisten Superintendan Mohd Faudzi Muhammad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit sudah membuat aduan kejadian itu di Balai Polis Trafik Kuala Terengganu, semalam.

Read Full Post »

Mahu hak milik tanah

Oleh Baharom Bakar (Berita Harian)

PULAU REDANG: Seperti merempat di bumi sendiri. Itulah luahan kecewa penduduk Pulau Redang yang masih menunggu janji pihak berkuasa untuk menyediakan perumahan lebih selesa atau diberikan geran hak milik tanah yang mereka duduki selepas diarah berpindah ke pulau peranginan itu lebih 11 tahun lalu.

Kekecewaan penduduk berhubung masalah tempat tinggal dan hak milik tanah itu tidak mampu dibendung lagi lantaran tuntutan berkenaan sudah menjadi antara agenda utama luahan mereka setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), malah ketika berdepan dengan wakil rakyat.

Pengerusi JKKK Redang, Ladin Awang, berkata topik utama dibangkitkan penduduk setiap kali mesyuarat ialah perumahan dan geran hak milik tanah seperti dijanjikan kerajaan sebelum penduduk perkampungan air berpindah ke penempatan sekarang.
Katanya, penduduk mengakui dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan asas, tetapi mereka kini dalam keadaan terumbang ambing berikutan belum ada kata putus mengenai status tempat tinggal mereka.

Beliau berkata, penduduk bukan saja dibebani dengan masalah tempat tinggal, malah sebuah agensi kerajaan dalam sektor pertanian bersikap lepas tangan apabila mengarahkan penduduk menjaga pokok kelapa yang ditanam tanpa membekalkan baja.

“Pulau Redang hanya indah pada nama, tetapi di sebaliknya keindahan itu, penduduk tempatan resah dan berada dalam ketidaktentuan apabila memikirkan masa depan,” katanya.

Ladin yang mewakili penduduk kampung juga meminta kerajaan meluluskan segera peruntukan untuk pembinaan balai raya, selain pembinaan kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).

“Bagaimanapun, dalam satu aspek lain, kita cukup berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan pulau ini, berikutan tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melantik kontraktor untuk mengutip sampah dan menjalankan kerja pembersihan,” katanya.

Sara Noryati Wahab, 38, berkata penduduk di pulau peranginan itu tidak sepatutnya dipinggirkan dan mereka selayaknya sudah diberi pemilikan tanah bagi memudahkan mereka membina perumahan yang lebih baik.

Katanya, kediaman dua bilik itu sudah tidak mampu untuk menampung kepadatan isi rumah kerana ada rumah yang didiami tiga keluarga mengandungi 10 hingga 12 orang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat, ketika ditemui menjelaskan bahawa kerajaan prihatin dengan masalah penduduk, tetapi disebabkan tanah di pulau peranginan itu terhad, kerajaan negeri bercadang membina rumah pangsa khas untuk semua penduduk.

“Ketika majlis dialog antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan penduduk bulan lalu, beliau bersetuju dan memberi cadangan untuk membina rumah pangsa serta kemudahan lain termasuk balai raya seperti dihasratkan penduduk,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 22 Sept. (Utusan Malaysia) – Terengganu bakal mewujudkan taman anggur sebagai tarikan pelancongan baru di Tasik Kenyir yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 hektar tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tanaman itu dijangka mula dilaksanakan penghujung tahun ini dan ia bukan untuk dieksport sebaliknya sebagai satu tarikan baru pelancongan di negeri ini selain bagi keperluan domestik.

Beliau berkata, buah anggur itu merupakan spesies anggur yang ditanam di Thailand berwarna merah dan hijau yang sesuai untuk ditanam di negeri ini, berbanding benih dari Amerika Syarikat (AS) atau rantau Eropah.

”Anggur yang diusahakan di Thailand sangat berjaya, kenapa kita tak boleh buat, malah di Perlis dan Negeri Sembilan pun ada anggur.

”Saya yakin kita boleh berjaya, masalahnya sekarang yang tak berjaya sebab kita ambil benih anggur dari Amerika Syarikat dan Eropah, ia tak sesuai dengan (iklim) kita sedangkan teknologi di Thailand sangat maju dan kualiti buahnya sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Besar Terengganu Bersama Perantau yang dihadiri kira-kira 6,000 orang di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Ahmad menjelaskan, buat masa ini pihak mana yang akan diberi tanggungjawab untuk menguruskan projek tanaman tersebut masih belum diputuskan.

Namun katanya, untuk peringkat awal kerajaan negeri bercadang melantik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, anggur yang terdapat di taman itu kelak akan memberi peluang kepada para pengunjung termasuk pelancong untuk membeli seterusnya menikmati keenakannya.

Read Full Post »