Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 3rd, 2009

KUALA TERENGGANU 2 Sept. (Utusan Malaysia) – Kerajaan Terengganu bersetuju membina 120 unit lagi rumah pangsa mampu milik berharga RM6 juta di Pulau Duyung awal tahun depan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, projek yang dibina bersebelahan dengan projek perumahan fasa pertama itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Beliau berkata, selain mengekalkan kos sekitar RM40,000, projek kedua ini terbuka kepada penduduk kawasan lain dan tidak semestinya untuk penduduk Pulau Dayang yang berpendapatan rendah.

”Mungkin 50 peratus akan diberikan kepada penduduk Pulau Duyung dan 50 peratus lagi kepada penduduk di kawasan lain dengan memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Mampu Milik Pulau Duyung kepada 23 penduduk di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus di sini, petang semalam.

Mereka merupakan kumpulan terakhir yang berjaya memperolehi rumah pangsa daripada 120 unit yang dibina oleh kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini sebahagian besar penduduk di Pulau Duyung tidak mempunyai rumah sendiri dan sebahagian besar mereka menumpang rumah keluarga.

”Dengan adanya pangsapuri tiga tingkat mengandungi tiga bilik tidur serta dua bilik air ini, penduduk akan memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa,” ujar beliau.

Menurut beliau, penduduk hanya membayar kira-kira RM186 sebulan walaupun harga kos sebenar adalah kira-kira RM70,000 seunit.

Advertisement

Read Full Post »

AHMAD Said (dua dari kanan) bersama dengan Che Azmi A. Rahman (kanan), Norlia Mat Yusof (tengah) dan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama repika cek masing-masing pada majlis penyerahan zakat perniagaan 2008 kepada Wan Harujan Sulaiman (kiri) di Wisma Darul Iman, semalam.


KUALA TERENGGANU 2 Sept. (Utusan Malaysia) – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) Terengganu mencatatkan jumlah kutipan zakat yang memberangsangkan iaitu RM29.9 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM26.8 juta dalam tempoh serupa, tahun lalu.

Beliau menambah dari segi agihan pula, sebanyak RM36.5 juta diagih pada sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu, RM18.9 juta diagih dari Januari hingga Ogos tahun yang sama.

Sementara bagi agihan tahun ini, katanya sebanyak RM32.9 juta diagih untuk tempoh Januari hingga Ogos.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana walaupun keadaan ekonomi tak memberangsangkan, syarikat masih menunjukkan prestasi baik dengan menyumbang zakat,” katanya selepas menerima sumbangan zakat daripada beberapa syarikat di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sumbangan yang diterima ialah daripada Golden Pharos Bhd. (GPB) sebanyak RM150,000, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (RM150, 253.03) dan Maybank Etiqa sebanyak RM122,974.42.

GPB diwakili oleh Pengerusi Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu Sdn. Bhd, Che Azmi A. Rahman; Ladang Rakyat diwakili Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Maybank Etiqa oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Norlia Mat Yusof.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.

Read Full Post »