KUALA TERENGGANU 31 Ogos (Utusan Malaysia) – Seorang wanita yang disangkakan sedang tidur, ditemui mati di atas katil di rumahnya di Kampung Telaga Batin dekat sini petang semalam.
Maznah Abdullah, 52, yang tinggal bersendirian ditemui mati kira-kira pukul 6 petang oleh anak angkatnya, Siti Manirah Mohd. Nor, 26. Dia singgah bersama suaminya untuk menghantar juadah berbuka puasa kepada wanita tersebut.
Menurut suami Maznah, Mohamad Hamzah, 54, dia ketika itu tidak berada di rumah kerana menguruskan perniagaan di bandar.
Menceritakan kejadian, Mohamad memberitahu, sewaktu Siti Manirah tiba di rumahnya, dia menyangka ibu angkatnya itu tiada kerana keadaan rumah yang sunyi dan sepi.
“Anak angkat saya itu kemudian memanggil nama isteri saya beberapa kali sambil turut membunyikan hon kereta namun panggilannya tidak berjawab.
“Namun ketika hendak melangkah keluar dari kawasan rumah itu, dia terpandang pintu di belakang rumah berhampiran dapur terbuka.
“Dia sekali lagi memanggil ibunya dan terus meluru masuk ke rumah kerana menyangka mungkin ibunya tidak mendengar panggilannya itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Tambah Mohamad, semasa Siti Manirah masuk ke dalam rumah tersebut dia ternampak ibunya sedang tidur dalam keadaan tertiarap.
Jelasnya, selepas gagal mengejutkan mangsa beberapa kali, dia terus memanggil suaminya yang berada di dalam kereta sebelum menghubungi Mohamad yang ketika itu berada di bandar.
“Saya pulang ke rumah setelah dihubungi dan selepas mengesahkan sendiri kematian isteri saya, laporan polis dibuat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkan ia sebagai mati mengejut.