KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana mencuri 23 tongkat mimbar masjid di sekitar daerah Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu.
Dia yang berasal dari Kampung Rhu Rendang, Marang dan dipercayai kurang siuman mendakwa melakukan aktiviti itu kerana mendapat arahan daripada Tuhan selepas dilantik sebagai wali.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata suspek ditahan pada 27 September lalu, kira-kira jam 5.30 petang dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Rhu Rendang selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sebuah rumah, polis menjumpai 23 tongkat mimbar masjid dan suspek mengaku mencurinya dari masjid empat daerah berkenaan.
“Apabila disoal siasat, dia mendakwa dirinya sebagai wali termulia dan mencuri tongkat itu atas arahan tuhan,” katanya.
Leave a Reply