Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘MAIDAM’

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta pewaris tanah wakaf Konsesi Chenderong, mengadakan perbincangan secara bersama di luar mahkamah selama tiga jam bagi mencari jalan penyelesaian berhubung pertikaian pengurusan tanah wakaf seluas 25,688 hektar di Kemaman.

Maidam diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Harujan Wan Sulaiman bersama enam pegawai manakala plaintif diwakili pewaris, Tengku Mohammed Zainal Abidin Petra Tengku Besar Mahmud bersama peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman dan lima yang lain, berbincang bermula pada jam 10 pagi kelmarin.

Kamar Ainiah berkata, Maidam bersetuju untuk menerima cadangan daripada plaintif mengenai cara dan kaedah bagi mengatasi masalah salah urus wakaf yang tidak menepati hukum syarak dan undang-undang yang berlarutan sejak berpuluh tahun lalu.

“Selepas ini, kita akan mengadakan siri perbincangan lagi kerana banyak perkara yang perlu dikaji dan diteliti. Kita akan bertemu lagi dalam tempoh dua minggu dan akan berbincang cara penyelesaian terbaik yang tanpa menganiaya mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, nampaknya Maidam bersikap terbuka dan sedia berbincang. Mereka juga mengalu-alukan pembabitan sama dan pandangan semua 500 pewaris wakaf cara untuk mengatasi kemelut ini kerana diperakui pengurusan wakaf ini banyak kepincangan.

“Apa yang dibuat (pengurusan) selama ini tidak mengikuti dan menepati hukum syarak. Jadi kita mahu memperbetulkan keadaan supaya wakaf itu tidak terjejas berterusan dan objektif murni pewakaf sampai kepada matlamat iaitu waris dan zuriatnya, ” katanya ditemui selepas selesai perbincangan sulh bersama Maidam di sini, kelmarin.

Kamar Ainiah berkata, jika perbincangan sulh itu tidak dapat menyelesaikan kemelut dan gagal menemui penyelesaian, perbicaraan kes tanah wakaf itu diteruskan pada 4 Oktober depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Shaikh Ahmad Ismail kelmarin memerintahkan supaya kedua-dua pihak berbincang di luar mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian mengenai tanah wakaf itu yang mana plaintif mendakwa Maidam gagal menguruskan pajakan hartanah itu sehingga menyebabkan ada waris memperoleh pendapatan hanya RM3 setahun.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 6 Julai – Penduduk Terengganu berpeluang membayar pelbagai jenis zakat menggunakan kad kredit apabila perkhidmatan tersebut mula diperkenalkan di negeri ini mulai bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya dalam mesyuarat pada 18 Mei lalu meluluskan kaedah pembayaran zakat melalui kad kredit.

Justeru, kata beliau, pihaknya kini dalam proses membeli dua unit mesin pembayaran kad kredit bagi membolehkan perkhidmatan ditawarkan kepada rakyat Terengganu.

”Sebelum ini, Maidam hanya menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui kad debit namun perkhidmatan itu kurang mendapat sambutan kerana berdasarkan maklum balas menunjukkan penduduk Terengganu lebih menggemari penggunaan kad kredit.

”Dua mesin yang bakal dibeli akan ditempatkan di pejabat Maidam di Kuala Terengganu dan Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbankan Islam oleh Public Bank Cawangan Kuala Terengganu di sini hari ini.

Wan Harujan menerima cek bernilai RM20,000 daripada Pengurus bank itu, Wan Hazmanor Wan Harun.

Wan Harujan berkata, sehingga 30 Jun lalu, Maidam mengutip sebanyak RM20,197,302 daripada pelbagai jenis zakat.

”Zakat pendapatan merupakan penyumbang paling besar dalam kutipan zakat dengan RM8.2 juta.

”Kuala Terengganu pula merupakan daerah paling tinggi menyumbang dalam kutipan zakat iaitu sebanyak RM15.2 juta,” ujarnya.

Beliau memberitahu, daripada jumlah kutipan zakat itu, sebanyak RM14,575,730 telah diagihkan kepada lapan asnaf.

”Orang miskin merupakan asnaf paling banyak menerima zakat dengan jumlah RM7.4 juta diikuti dengan asnaf fisabilillah sebanyak RM4.4 juta,” katanya.

Read Full Post »

BATU RAKIT (Sinar Harian) – Hasrat seorang saudara baru yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa untuk memiliki bot sendiri mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Malek Sandrasikaran Abdullah, 45, dari Kampung Mengabang Panjang menerima bantuan Maidam bernilai lebih RM8000, berupa sebuah bot kecil yang dilengkapi enjin 15 kuasa kuda, semalam.

Malek berkata, walaupun sudah lama menjadi nelayan sepenuh masa, dia masih belum mampu memiliki bot sendiri kerana pendapatan yang diterima sebagai awak-awak tidaklah seberapa.

Menurutnya, sepanjang 20 tahun bergelumang dengan laut, pelbagai dugaan dan rintangan terpaksa ditempuhinya.

Namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

“Saya memang memerlukan bantuan ini untuk mengubah kehidupan keluarga dan sebagai tanda penghargaan, saya berjanji tidak akan mensia-siakan bantuan ini,” katanya.

Bantuan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat diiringi Ketua Penolong Setiausaha (Pentadbiran), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Sementara itu, Khazan ketika ditemui Sinar Harian berkata, dengan bantuan itu, nasib ayah kepada lapan anak itu pasti berubah selepas lebih 20 tahun bekerja sebagai awak-awak dengan pendapatan sekitar RM20 sehari.

Menurutnya, pemilihan Malek sebagai penerima bantuan dibuat selepas mengambil kira kedudukan pekerjaan ketua keluarga dan tanggungannya yang ramai termasuk lapan anak berusia antara dua hingga 25 tahun.

Read Full Post »

JERTIH: Enam beradik yatim piatu yang hilang tempat bergantung hidup setelah ibu mereka meninggal dunia dihempap pokok kekabu Ahad lalu, mendapat perhatian Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, apabila agensi itu menyampaikan bantuan segera kepada mereka semalam.

Ibu mereka, Tengku Asmayuzam Tuan Daud, 36, yang sebelum ini bekerja sebagai buruh am di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong di sini, meninggalkan enam anak termasuk tiga yang masih belajar di sekolah menengah, dua sekolah rendah dan seorang lagi berusia empat tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya mengambil daya usaha memberi bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada mereka selepas membaca laporan akhbar mengenai tragedi yang menimpa ibu tunggal terbabit.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan kejadian seorang ibu tunggal di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, yang sedang membersihkan daun mempelam di depan rumahnya, terbunuh selepas dihempap pokok kekabu yang mempunyai ukur lilit semeter.

Majlis penyerahan cek di bawah Program Sara Hidup Untuk Pelajar itu adalah yang pertama disalurkan oleh Maidam kepada mereka yang ditimpa kemalangan seumpama itu pada tahun ini.

Cek disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Nawi Mohamad kepada nenek mereka, Tuan Yah Tuan Mahmood, 86, di rumahnya di Kampung Bukit Payong, dekat sini.

Tuan Yah berkata, dia terharu dan bersyukur dengan keprihatinan Maidam dan Adun yang datang menziarahi cucunya sambil menghulurkan sumbangan itu.

“Saya akan menggunakan wang ini untuk perbelanjaan sekolah anak arwah yang sudah meninggal dunia selepas dihempap pokok kekabu,” katanya sambil menambah bantuan itu dapat meringankan bebannya menyara anak yatim piatu berkenaan selepas bapa mereka meninggal empat tahun lalu.

Tuan Yah berkata, dia akan menjaga semua anak arwah dan tidak mahu menyerahkan kepada orang lain walaupun terpaksa menanggung beban kerana sayang dan tidak mahu berpisah dengan mereka.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 13 April – Kerajaan Terengganu digesa berjimat cermat ketika harga minyak yang jatuh ke paras sekitar AS$45 ( RM157.5) setong sekarang mungkin mengurangkan pendapatan kerajaan melalui royalti minyak.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri perlu merancang perbelanjaan dengan sebaik-baiknya.

Katanya, penjimatan dalam penggunaan utiliti, penganjuran majlis rasmi dan pelaksanaan aktiviti yang kurang efektif boleh digunakan bagi tujuan yang membantu kestabilan pembangunan negeri.

“Kita yakin jika kerajaan dan rakyat sekarang faham keadaan ini dan bekerjasama mengawal perbelanjaan, kita akan menangani kesan kemelesetan ekonomi yang sedang dihadapi sekarang,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tengku Sri Panglima Raja juga menyarankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merancang teliti usaha memudah proses penyaluran wang subhah, iaitu wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram.

Dalam hal ini, katanya, Maidam harus bekerjasama dengan Islamic Banking and Finance Institute Malaysian Sdn. Bhd. yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia bagi menasihati pengurusan unit amanah dalam aktiviti pelaburan mereka termasuk pelaburan membabitkan wang subhah.

“Maklumat terperinci perlu dibekalkan bagi memudahkan cara penyaluran wang tersebut.

“Maidam perlu mengadakan kaunter mesra rakyat, mewujudkan talian hotline atau memberi insentif kepada syarikat yang menghulurkan wang subhah kepadanya,” katanya.

Beliau menambah, wang subhah boleh digunakan bagi apa juga tujuan termasuk dalam aktiviti dan program pembangunan negeri.

Katanya, Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri negeri termasuk Maidam sendiri telah diputuskan sebagai badan penerima wang subhah daripada Pengurus Dana Unit Amanah Syariah.

Ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan yang bersidang awal tahun ini.

Tengku Sri Panglima Raja juga menggesa kerajaan negeri bersikap terbuka khususnya dalam menerima kritikan yang membina.

Katanya, fleksibiliti dalam memberi perkhidmatan amat penting kerana keperluan rakyat berubah dari semasa ke semasa.

“Tema merakyatkan pentadbiran dan pembangunan perlu dihayati dan jika strategi pengurusan adalah berpaksikan kepada rakyat, maka sepatutnya kita memfokuskan rakyat sebagai tumpuannya,” katanya.

Read Full Post »