Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pembangunan’

Setelah lebih sebulan saya tidak pulang ke Kuala Terengganu, beberapa para peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberi notis arahan keluar dari premis perniagaan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dan berbincang. Urusan di Kuala Lumpur pun tidak dapat dielakkan juga.

Sebagai koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol**, terasa juga semacam tidak adil kerana terlalu lama tidak bersama mereka berbincang dan merangka pelan tindakan untuk merayu kepada kerajaan. Walaubagaimanapun hubungan telefon jarak jauh tetap dikekalkan.

Dalam kerungsingan mereka yang berniaga, beberapa orang dari mereka kerap menelefon menceritakan rungsing dan tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu. Walaupun selepas luput tarikh notis arahan tersebut MB ada dipetik oleh akhbar sebagai berkata bahawa para peniaga akan dipaksa pindah juga selepas Raya, namun tiada satu surat rasmi pun yang dikeluarkan oleh lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri.

Ada yang menelefon di awal Ramadan lalu, saya nasihatkan kepada mereka agar kita banyak berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dan saya seru kepada para peniaga agar banyak bersabar, teruskan perniagaan sempena musim perayaan ini dan gandakan ibadat terutamanya di akhir-akhir Ramadan ini. Dan kita panjatkan doa supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar.

Dalam perjumpaan ringkas pagi ini bersama beberapa peniaga tersebut, ada yang pantas menyahut seruan saya dengan kata-kata “kita doakan Toh mati!” dan disambut dengan gelak ketawa di kalangan yang mendengar, sambil ada yang mengaminkan. Mungkin itulah satu-satunya cara untuk para peniaga ini mendapat ruang untuk bernafas.

Jika Adun Bandar [YB Toh Chin Yaw] mati, maka suatu pilihanraya kecil terpaksa diadakan dalam masa 60 hari. Jikalah ianya benar-benar berlaku dan kerajaan meneruskan juga hasrat menghalau para peniaga ini ianya bagaikan suatu usaha “membunuh diri”. Pasti 200-300 undi akan ke pembangkang. Dengan sentimen pengundi kini yang tidak lagi setia dengan UMNO?MCA/MIC/BN akhir-akhir ini, kerajaan wajar berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka.

Malah di kalangan peniaga dan para pekerja di situ sudah bertekad di hati mereka tidak akan mengundi BN lagi. Lebih separuh dari hampir 300 peniaga dan pekerja yang terlibat dengan arahan ini adalah pendundi DUN Bandar. Mereka mengungkit bahawa di antara janji semasa pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu awal tahun lalu, jentera kempen BN kepada para peniaga terbabit ialah mereka akan kekal di tapak perniagaan mereka sehingga tapak alternatif disediakan. Harus diingat bukan mereka sahaja – mereka juga ada saudara mara dan sahabat handai yang turut bersimpati.

Di antara janji yang masih terpahat dalam ingatan Uncle How, koordinator bersama saya, ialah projek pembangunan Kg Tiong yang terlebih dulu akan dilaksanakan barulah di Jalan Bandar. Namun kini itu semua tinggal janji politik pilihanraya sahaja. Janji-janji manis yang dibiasa ditabur setiap kali ada pilihanraya.

hmmm … kalaulah begitu … agaknya itulah sahaja cara para peniaga boleh diselamatkan. Ada siapa lagi nak mengaminkan?

“Mungkin satu lagi pilihan ialah untuk para peniaga mengadu nasib mereka kepada Tuanku Sultan (Agong)”, kata seorang lagi peniaga yang telah berniaga di sekitar itu semenjak 20 tahun. Tetapi disapuk seorang lagi, “takkan Agong nak bantah kot – ini projek dapat kepada adiknya”. Wow! Itu berita baru bagi saya. Apakah benar begitu?

Lantas saya menjawab, “setakat saya berkawan dengannya secara sikit-sikit lama-lama dulu dan setakat membaca watak dan pemikirannya dari jauh-jauh, saya tidak merasakan Tuanku seorang yang tidak prihatin rakyat.” Malah mungkin inilah peluang terakhir untuk mendapat perhatian dan prihatin Tuanku agar menitah kerajaan negeri memberi ruang masa yang sewajarnya kepada para peniaga.

Masalahnya dengan projek yang dikatakan hendak dibangunkan di situ ialah tidak siapa yang benar-benar tahu apakah bentuk projeknya, siapa kontraktornya dan sebagainya. Tidak seperti biasa, apabila sesuatu tapak hendak dibangunkan, pemaju diarah meletakkan papan tanda maklumat projek. Tetapi dalam kes ini ianya agak istimewa. Tiada papan tanda.

Kalau tiada papan tanda apakah bermakna projek belum diluluskan? Mungkin benar belum ada kelulusan (seperti mana kata Dato Mazlan Ngah – ahli lembaga LTAWNT). Kalau tiada kelulusan lagi – kenapa tidak sabar-sabar nak halau peniaga hinggakan menganggu habis perancangan perniagaan mereka untuk mengambil kesempatan musim perayaan.

Memang pelik. Projek pembangunan atas tapak deretan kedai yang bersejarah ini memang pelik. Laporan dan ulasan seterusnya akan disusuli. Yang penting, kepada para peniaga – harap bersabar dan teruskan perniagaan anda. Kepada semua dan yang bersimpati – tadahlah doa agar projek ini ditangguh sehingga suatu perbincangan yang menyeluruh dapat diadakan.

Sebagai rasa simpati kepada para peniaga – kita panjangkanlah lagi rintihan nasib mereka ini dengan memperluaskan sebaran keluhan mereka.

Dan bagi pencinta warisan yang menghargai tinggalan sejarah – usahakanlah dengan apa-apa cara sekalipun untuk menyuarakan bantahan anda terhadap usaha merobohkan warisan sejarah yang tersegam tegap di sebelah Pasar Kedai Payang.

.

.

** jawatan koordinator ini adalah yang saya sendiri lantik dalam usaha membela nasib para peniaga setelah memikirkan kepiluan dan titisan air mata mereka yang tiada hala tuju untuk meminta nasihat dan panduan selepas menerima notis tersebut – wakil rakyat tidak jenguk-jenguk …

Advertisement

Read Full Post »

Apabila ditanya mengapa deretan bangunan bersejarah yang tegap utuh walaupun sudah seratus tahun perlu dirobohkan, MB Datuk Ahmad Said mengatakan kerana ianya terlalu usang.

Apakah sebenarnya definisi usang? Menurut Kamus Dewan, di antara pengertian usang ialah: sudah lama benar, lama terpakai atau tersimpan. Mungkin benar ianya usang – tetapi tidak membawa ertinya buruk dan merosakkan pandangan. Kalau sekadar lama – ianyakan menjadi antik dan lagi kita hargai nilainya – bukankah begitu?

Dalam bahasa Inggeris The Star melaporkan usang sebagai dilapidated, mungkin ini perkataan yang lebih tepat (tetapi MB tidak guna perkataan bahasa Inggeris!). Dia sebut usang.

Kalau usang itu memberi erti dilapidated (decayed, deteriorated, or fallen into partial ruin especially through neglect or misuse) sudah buruk, reput atau runtuh sebahagiannya, maka deretan kedai di jalan Bandar (Pasar Payang) tersebut jauh sekali dari apa yang diertikan itu.

MB kata usang kena robohLihat gambar ini. Ianya diambil dari sebelah pintu masuk untuk kenderaan menaiki tempat letak kereta bertingkat pasar dengan kamera menghala ke Jalan Banggol. Sebelah kanan ialah Jalan Kg. China dan sebelah kiri ialah deretan kedai yang hendak dirobohkan.

Perhatikan mana bangunan yang dikatakan “usang” yang menghodohkan permandangan? Yang sebelah kiri yang masih cantik itulah yang hendak diroboh. Manakala yang sebelah kanan dengan dinding yang sudah tidak ada rupa itulah menarikkan pandangan!

Bagi sesiapa yang berusaha sedikit untuk lihat deretan kedai di Jalan Kg China dan bandingkan dengan deretan kedai Jalan Bandar, kita akan dapati yang mana yang Ahmad Said maksudkan usang itu salah pada tempatnya. [Insha Allah dalam posting berikut]

Rex usang sebelah MBKTKalaulah kerajaan bersungguh dalam membersihkan imej bandaraya ini dari bangunan-bangunan yang terbiar dan merosakkan permandangan, para perancang bandar tidak perlu berjalan jauh. Intai sahaja dari tingkap menara mereka. Baik dari menara MBKT hatta dari menara (Wisma) Darul Iman – jelas nampak bangunan bersebelahan dengan pusat pentadbiran Bandaraya Pesisir Pantai. Gambar sebelah ini cukup memberi jawapannya.

Bangunan Rex ini terletak betul-betul di jalan utama bandaraya yang membariskan hampir kesemua bank-bank utama dan di persimpangan yang amat strategik. Namun, para pentadbir kita tetap merasakan bangunan yang bersejarah yang jauh lebih lama usianya dan teguh tidak dimakan zaman malah masih cantik dengan cat yang terang itulah yang perlu disondol kerana ada seseorang yang bakal mengaut hasil projek besar!

Selamatkan Warisan Sejarah Trengganu – Save Our Historical Heritage

Janganlah slogan “Terengganu – Where Nature Embraces Heritage” menjadi “Terengganu Government Embarrasses Nature and Heritage

Read Full Post »

Para peniaga secara kumpulan kini telah membuat pelbagai rayuan melalui pelbagai saluran yang mungkin untuk memohon agar notis mengosongkan deretan bangunan lama dan bersejarah di Jalan Bandar dan Jalan Banggol dapat ditangguhkan.

Beberapa hari lalu sekumpulan peniaga Melayu telah berjumpa dan merayu belas dan ihsan dari Tuan Haji Talaha Setiausaha LTAWNT (yang menandatangan arahan notis tersebut). Namun, para peniaga tersebut mengatakan mereka dihampakan.

Padi tadi sekumpulan lagi para peniaga pelbagai bangsa sekali lagi ke pejabat Haji Talaha merayu agar mereka diberi ruang untuk mengadu nasib mereka dan memohon penangguhan notis tersebut. Janji Tuan Haji Talhah ialah bahawa dia akan membawanya untuk diputuskan dalam mesyuarat. Alangkah terkejutnya, tidak sampai beberapa jam selepas itu, para peniaga menerima surat rasmi bahawa rayuan mereka ditolak dan arahan notis mengosongkan deretan bangunan lama yang bersejarah tersebut kekal.

Para peniaga turut memohon sokongan Adun Bandar, untuk menyokong serta membela nasib mereka dan sebagai ahli majlis exco Negeri semoga dapat melakukan sesuatu untuk merayu penangguhan arahan tersebut.

Terbaru, dalam mesyuarat petang tadi, para peniaga juga memohon agar Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) dapat membantu mereka dalam usaha merayu kepada pihak LTAWNT agar diberi masa yang munasabah kepada para peniaga untuk mencari serta mengubahsuai premis baru serta memberi masa yang sesuai untuk berpindah. Mereka juga merayu kerajaan memberi pampasan yang munasabah untuk menanggung kos perpindahan yang terpaksa ditanggung ini.

Read Full Post »

dipetik dari: http://akarimomar.wordpress.com/2009/07/19/lagi-mercu-sejarah-terengganu-akan-diruntuh/

Hari ini Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terenggganu (LTAWNT) mengeluarkan notis menghalau para peniaga di deretan kedai Jalan Bandar/Kg. Cina dan sebahagian Jalan Banggol/Paya Keladi untuk meruntuhkan bangunan yang bersejarah demi “pembangunan kompleks Paya Keladi”.

Notis bertarikh 13 Julai 2009 menyuruh para peniaga di kawasan terlibat keluar dalam masa 30 hari dari tarikh notis (walaupun notis hanya diserahkan kepada para peniaga pada hari ini 19 Julai 2009). Ini bermakna para peniaga hanya mempunyai lebih kurang 3 minggu untuk mengosongkan premis perniagaan mereka.

Jalan Kedai Payang

Nampaknya satu demi satu tapak dan premis bersejarah negeri Terengganu menyembah bumi demi pembangunan untuk membina tamadun.

Gambar di atas menunjuk (tanda X) dua bangunan bersejarah yang telahpun lama hilang dari muka bumi ini. Yang sebelah kiri kini adalah tempat letak kereta Pasar Payang manakala yang ditengah ialah Jam Besar yang amat bersejarah digantikan hanya dengan jalan berturap tar tanpa apa-apa erti kepada sejarah. Kini bangunan sebelah kanan (tanda panah) pula yang hendak dimusnakkan.

Ketika cuba mendapat maklumat lanjut dari LTAWNT tidak membuahkan apa-apa penjelasan kerana kesemuanya amat jelas tidak berani memberi komen. Walhal para peniaga tertanya-tanya apakah tindakan yang harus mereka ambil dalam tempoh yang amat singkat.

Ada peniaga yang telah mula menambahkan stok mereka bagi menyediakan kedatangan Ramadan dan sambutan Raya Aidil Fitri. Kebanyakkan mereka merungut bahawa di dalam suasana ekonomi yang amat tidak menggalakkan mereka berdepan pula dengan suasana paksaan kerajaan untuk berpindah.

Para sejarahwan mula bertanya kewajaran tindakan kerajaan. Malah mereka mempersoalkan pula lembaga untuk amanah warisan negeri tetapi memusnahkan warisan yang berharga. Di sinilah bermulanya para peniaga negeri Terengganu lebih seratus tahun lalu. Di sinilah terletaknya kedai-kedai yang bersejarah yang banyak disebut di dalam buku unik “Growing Up in Trengganu” karangan Awang Goneng (Wan Hulaimi). Malah, satu-satunya kedai yang masih kekal perniagaan asalnya dari mulanya masih bertapak di premis asalnya Alam Akademik Sdn Bhd. (Keda Pok Loh Yunang).

janganlah diroboh lagiTOLONG SELAMATKAN WARISAN-WARISAN YANG ADA DI TERENGGANU.

Sudah cukuplah satu demi satu bangunan bersejarah yang telah ranap menyembah bumi.

Jangan hanya berslogan:

Memahat Sejarah Mencipta Tamadun

tetapi bertindak secara:

Meruntuhkan Tamadun dengan Melupakan Sejarah

Read Full Post »

Penduduk Batu Rakit nikmati prasarana disediakan kerajaan

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.4 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk membina ruang niaga dan menyelesaikan masalah air paip berkarat membuktikan kerajaan prihatin dengan permasalahan rakyat dan adil dalam pengagihan belanjawan untuk menyediakan prasarana demi keselesaan penduduk di Kampung Maras, Batu Rakit.

Lebih 7,000 penduduk di kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu, bangga apabila semua masalah dihadapi dan dibangkitkan melalui muzakarah pada setiap kali perjumpaan diselesaikan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat, berkata antara masalah dihadapi penduduk di kampung itu ialah ketiadaan pasar, longkang dan parit tertimbus, air paip berkarat serta ketiadaan dewan untuk penduduk mengadakan perjumpaan dan aktiviti.

Bagaimanapun, katanya, masalah dihadapi dan dibangkitkan penduduk melalui muzakarah pada mesyuarat JKKK berjaya diselesaikan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk keselesaan penduduk.

“Antara projek dilaksanakan ialah membina rumah kedai dua tingkat sebanyak empat pintu membabitkan peruntukan berjumlah RM1 juta; pembinaan pasar dan dewan serbaguna masing-masing membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta.

“Bagi menangani masalah air berkarat, kerajaan menyediakan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja penukaran saluran paip, membaiki parit dan longkang, RM200,000 serta menaik taraf beberapa jalan kampung membabitkan perbelanjaan RM300,000,” katanya.

Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, berkata lebih membanggakan apabila JKKK Kampung Maras diberi tanggungjawab penuh kerajaan untuk mengendalikan dewan serbaguna yang turut mengandungi dua gelanggang badminton.

Katanya, JKKK itu juga diberi tanggungjawab mengendalikan kelas komputer yang ditempatkan di bangunan dewan serbaguna selain menguruskan sewaan dewan dan tiga bilik penginapan musafir.

“JKKK Kampung Maras adalah JKKK pertama di negeri ini diberi tanggungjawab penuh kerajaan untuk mengendalikan dewan dan ia adalah penghargaan paling istimewa,” katanya.

Kamaruddin Mohd, 58, yang diberi tanggungjawab menguruskan dewan serbaguna itu, berkata kadar sewa ditetapkan untuk penggunaan dewan dan bilik penginapan berhawa dingin serta gelanggang badminton adalah berpatutan.

Katanya, hasil sewaan dewan itu digunakan untuk pembayaran bil elektrik, air dan bakinya akan dimasukkan ke dalam tabung JKKK bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan tanpa memohon bantuan daripada wakil rakyat.

“Kelas komputer dikendalikan dua guru iaitu Cik Akmal Harun dan Iza @ Noriza Wahab juga mendapat sambutan pelajar yang terdiri daripada anak penduduk di kampung ini.

“Seramai 33 pelajar yang sedang mengikuti kelas komputer dan mereka akan diberi sijil selepas mengikuti latihan selama tiga bulan,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Maras, Azami Ali, 55, berkata seluruh warga penduduk yang mendiami kampung itu berbangga kerana semua masalah terutama berkaitan prasarana termasuk masjid mampu diselesaikan kerajaan dalam tempoh yang singkat.

Katanya, masalah parit tersumbat dan ketiadaan longkang sehingga menyebabkan berlakunya kawasan ditenggelami air juga selesai apabila RM200,000 diluluskan kerajaan negeri untuk membaiki saliran air.

“Kita juga akan memohon kepada kerajaan agar dapat membina longkang hingga ke sawah padi bagi menyelesaikan masalah sawah kekeringan air,” katanya.

Azami berkata, JKKK akan mengadakan mesyuarat setiap bulan serta ahli jawatankuasa diberi kebebasan untuk mengemukakan masalah dihadapi penduduk, sebelum ia dipanjangkan kepada Khazan.

“Kaedah menghentam kerajaan dan wakil rakyat kerana kekurangan kemudahan asas melalui persidangan di warung kopi tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya semua penduduk tanpa mengira fahaman politik diberi hak menyuarakan pendapat melalui muzakarah yang diadakan setiap bulan,” katanya.

Read Full Post »