Oleh IRMAN HASHIM
![]() |
DUA kakitangan Muzium Negeri memeriksa keadaan genta atau loceng tembaga gergasi yang akan dibunyikan bagi menandakan waktu berbuka puasa dan waktu imsak sepanjang bulan Ramadan di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, semalam.
|
KUALA TERENGGANU 9 Sept. – Setiap kali bulan puasa, bunyi genta yang kuat dari Bukit Puteri di sini akan dapat didengari oleh penduduk bandar raya ini sebagai tanda bahawa sudah sampai masanya untuk berbuka puasa atau tamatnya waktu bersahur.
Genta atau loceng besar yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini boleh didengar sejauh kira-kira tujuh kilometer iaitu sehingga ke Kampung Bukit Tumbuh di sini.
Sudah beratus-ratus tahun genta tersebut berkhidmat untuk rakyat Terengganu walaupun pada awal pembinaannya, ia mempunyai lebih banyak fungsi daripada sekadar menandakan waktu berbuka dan bersahur.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, genta itu dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pada 1908 atau bersamaan 1326 Hijrah.
‘‘Tujuan pembinaan genta ini adalah untuk memasyhurkan sesuatu ancaman yang melanda negeri seperti orang mengamuk dan kebakaran.
‘‘Genta itu juga digunakan sebagai isyarat seperti musuh melanggar negeri dan sultan berangkat ke masjid untuk mengerjakan solat,” katanya.
Menurutnya, genta berdiameter 228 sentimeter (sm) dan 78 sm tinggi serta seberat 175 kilogram itu dibina oleh Wan Ali Wan Awang dengan dibantu beberapa tukang lain.
Jelasnya, penjagaan genta ditugaskan kepada seorang penjaga yang lebih dikenali sebagai ‘budak raja’.
Katanya, ‘budak raja’ akan membunyikan genta mengikut keperluan berita yang ingin disampaikan kepada rakyat.
‘‘Mengikut adat negeri, apabila genta dibunyikan tidak menentu serta pukulan kencang, penduduk akan menutup pintu rumah dan kedai masing-masing.
‘‘Para pembesar dan hamba akan berlari menuju istana untuk menerima arahan dan senjata,” tambahnya.
Beliau memberitahu, pada bulan puasa genta mula dibunyikan pada waktu petang sebelum waktu berbuka bagi menandakan telah hampir waktu untuk umat Islam berbuka puasa.
‘‘Apabila genta dibunyikan dengan kencang dikenali sebagai goncang pada tengah malam, ia menandakan waktu memasak untuk bersahur dan diikuti tembakan meriam satu das.
‘‘Pada Hari Raya Aidilfitri, genta dibunyikan kencang serta bertingkah-tingkah lagunya pada waktu sembahyang, sewaktu sultan berangkat ke masjid tetapi adat ini dibatalkan pada pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah,” jelasnya.
Mohd. Yusof berkata, penempatan genta di Bukit Puteri bukan satu kebetulan kerana lokasi itu juga menempatkan beberapa monumen dan artifak sejarah Terengganu yang tidak ternilai.
‘‘Selain genta, Bukit Puteri juga menempatkan meriam beranak, tiang bendera, rumah api, kubur Syed Yasin dan kubu pertahanan,” tambahnya.
Menurutnya, terdapat beberapa cerita mengenai sejarah dan asal-usul Bukit Puteri itu.
‘‘Ada cerita menyatakan ketika Datuk Bendahara Padang Saujana menghantar wakilnya, Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) untuk memerintah Terengganu, bukit tersebut telah pun dikenali sebagai Bukit Puteri.
‘‘Cerita lain menyatakan Bukit Puteri berasal dari nama Tok Raja Maha Menteri dari Johor yang membuka Bukit Puteri,” katanya.
Beliau memberitahu, pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II, Bukit Puteri dijadikan kubu pertahanan semasa perang saudara.
Leave a Reply