Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘kemalangan’

KUALA TERENGGANU 2 Julai – Baru dua bulan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu, dua anggota polis maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan treler membawa muatan besi di Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas di sini hari ini.

Konstabel Mohd. Akmal Akram Ismail, 20, dan rakannya, Konstabel Nor Syazana Abdul Razak, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 2.35 petang itu.

Mohd. Akmal berasal dari Peramu Jaya, Pekan, Pahang manakala Nor Syazana dari Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Alias Hashim memberitahu, kemalangan berlaku ketika Mohd. Akmal yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan menghantar Nor Syazana untuk bertugas di IPD Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan lori treler terbabit, menyebabkan mangsa terjatuh ke jalan sebelum dirempuh tayar treler itu.

“Bagaimanapun, kita belum dapat mengesahkan bagaimana kemalangan itu berlaku. Polis meminta sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya kepada pemberita di pekarangan Rumah Mayat HSNZ di sini.

Menurutnya, berikutan kemalangan itu, treler terbabit yang sebelum itu cuba melarikan diri berjaya ditahan di Kelulut, Marang tidak lama selepas kejadian untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, Mohd. Akmal baru melaporkan diri di IPD Kuala Terengganu pada 3 Mei lalu selepas setahun menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis di Kuching, Sarawak.

Nor Syazana pula melapor diri di balai yang sama pada 1 April lalu sejurus selesai tamat latihan di Pusat Latihan Polis di Jempol, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, seorang saksi, Hisyamudin Mohd. Nawi, 35, ketika ditemui memberitahu, dia mengetahui kejadian itu setelah terdengar bunyi perlanggaran sebelum mendapati dua mangsa sudah terbaring di atas jalan raya.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua mangsa meninggal dunia,” ujarnya.

Read Full Post »

BESUT (Sinar Harian)– Majlis akad nikah pasangan pengantin di Kampung Tok Dor Baru, dekat Jabi, di sini, bertukar menjadi majlis tahlil, apabila pengantin perempuan meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya pada sebelah pagi, iaitu hari sama dia dijadualkan diijabkabul, kelmarin.

Ibu mangsa, Ku Aini Raja Talib, 49, berkata, anak su-lungnya, Nik Afiza Jamil, 28, dijadual diijabkabulkan dengan bakal suami, Mohd Amin Zakaria, 25, dari Kam-pung Bintang, Setiu pada sebelah malam di Masjid Kampung Tok Dor Dalam.

Berikutan kejadian, majlis akad nikah terpaksa dibatalkan dan ditukar kepada majlis tahlil arwah yang meninggal dunia setelah motosikal ditunggang bersama adiknya, Nik Aida Kasuma, 14, bertembung sebuah motosikal lain kira-kira jam 7.45 pagi.

“Kejadian berlaku ketika dia menghantar adiknya ke Sekolah Menengah Kebang-saan Renek yang sebelum itu ketinggalan bas. Sebaik tiba di Kilometer 105 Jalan Terengganu-Kelantan dekat Tok Dor, motosikalnya bertembung sebuah motosikal yang ditunggang seorang perempuan,” katanya.

Menurutnya, Nik Afiza dibawa ke Hospital Besut dan disahkan meninggal dunia jam 11. 25 pagi pada hari sama akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

“Kami telah membuat persiapan majlis akad nikah termasuk persiapan makanan tetamu. Cuma ayam belum diambil. Kami sekeluarga tidak sangka hari yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan bertukar menjadi tragedi dan kesedihan,” katanya.

Adik mangsa, Nik Aida yang terlibat dalam kemalangan masih trauma dan sedih menyebabkan dia enggan ditemubual.

Menurut Ku Aini, sebelum kejadian, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa, selain kelihatan gembira mungkin kerana malamnya, dia akan dinikahkan dengan tunangnya.

“Dia bertunang kira-kira setahun lepas dan dijadualkan selepas akad nikah malam kelmarin majlis kenduri kahwin akan diadakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Dor Dalam selepas Asar kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, memaklumkan penunggang motosikal yang bergesel dengan Nik Afiza, iaitu Rohana Mahmud, 48, juga dari Tok Dor, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Read Full Post »