
DUNGUN (Sinar Harian)- Usaha Sinar Harian menyiarkan kisah kehilangan murid Tahun Tiga semalam tidak sia-sia apabila kanak-kanak terbabit akhirnya berjaya ditemui orang awam petang semalam.
Mohd Amirul Aizat, 9, yang dilaporkan hilang sejak 31 Mei, ditemui seorang peniaga, Wan Mohd Shukri Wan Awang, kira-kira jam 4.30 petang, ketika anak sulung dari empat beradik itu sedang tidur di gerai ikan, Pasar Payang Kuala Terengganu.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, kanak-kanak itu ditemui selepas lebih dua minggu hilang ketika keluar untuk mengunjungi sebuah kafe siber dengan jarak kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Limbong, Paka, Dungun.
“Mohd Amirul dipercayai hilang pada 31 Mei, namun keluarganya membuat laporan polis pada 7 Jun. Sebaik menerima laporan, kita mengarahkan semua anggota termasuk Unit Kereta Peronda menjejaki mangsa. Poster diedarkan kepada orang ramai memaklumkan kehilangan murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Paka itu.
“Petang sema-lam, lebih kurang jam 4.30 petang, orang awam menghubungi polis memaklumkan Amirul dijumpai di gerai ikan, Pasar Payang Kuala Terengganu. Selepas identitinya disahkan ahli keluarga, polis membawa Mohd Amirul ke Dungun lalu diserahkan kepada ibu bapanya,” kata Dahlan.
Menurut Dahlan, Amirul ditemui dalam keadaan sihat dan sempurna sekali gus menolak kemungkinan ada unsur jenayah.
“Pada hari kejadian, mangsa dipercayai pergi ke Kuala Terengganu menaiki bas ekspres, bagaimanapun kita bersyukur kerana dia ditemui dalam keadaan selamat.
“Penemuan mangsa adalah hasil kerjasama polis, media dan juga masyarakat,” kata Dahlan yang turut menasihati Amirul agar berkelakuan baik dan tidak mengulangi kelakuan sama serta menjadi anak yang patuh kepada nasihat ibu bapa.
Sementara itu, sebaik Amirul tiba di bilik mesyuarat IPD Dungun, suasana bertukar sayu seketika apabila ibunya, Asiah Seman, 31, tidak dapat menahan sebak terus memeluk erat anak kesayangannya itu, selepas 17 hari berpisah.
Asiah yang mengalirkan air mata tanda kegembiraan meluahkan rasa terharu atas usaha yang dilakukan akhbar ini sehingga menemukan semula anaknya.
“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada akhbar Sinar Harian dan wartawannya kerana sanggup datang ke rumah dan menyiarkan berita kehilangan Amirul sehingga orang ramai berjaya menemuinya semula. Terima kasih juga kepada individu yang telah menemuinya serta menghubungi saya.
“Kepada pihak berkuasa yang bertungkus lumus mencari anak saya sehingga berjaya membawanya pulang, saya ucapkan terima kasih,” kata ibu kepada empat anak itu.