Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘dadah’

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Hanneeyzah Bariah Baharin

am@hmetro.com.my

HULU TERENGGANU: “Nak kahwin macam mana, suami masih ada,” kata Mek Wook Kundor yang berang dengan dakwaan pihak tertentu konon dia akan berkahwin lain kerana suaminya, Mat Noor Che Musa, kini ditahan di Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) di Sungai Besi, Kuala Lumpur, selama dua tahun selepas disahkan positif heroin.

Ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini, semalam, Mek Wook kesal dakwaan itu kerana ia tidak benar sedangkan dia sanggup menunggu suaminya itu kembali kepadanya.

Menurutnya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas yang boleh menjatuhkan maruahnya.

Katanya, dia tidak pernah menyebut sepatah perkataan pun untuk berkahwin lagi, sebaliknya tegas memberitahu masih menyayangi Mat Noor hingga akhir hayat kerana lelaki itu sentiasa dalam ingatannya dan tidak pernah berkasar dengannya.

“Kita orang Islam dan Melayu, ada undang-undang dan adat. Mana boleh buat kerja suka hati tanpa ikut saluran betul.

“Saya tidak reda sedikit pun apa yang dikatakan orang kerana ia bukan dari mulut saya,” katanya sambil mengetap bibir kerana terlalu marah mendengar berita berkenaan.

Mek Wook berkata, dia masih menyayangi Mat Noor kerana lelaki itu sanggup menjaganya ketika susah dan senang serta sentiasa mendoakan kesejahteraan suaminya itu.

Sepanjang Ramadan ini, Mek Wook tidak pernah ketinggalan menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran selain mengaji al-Quran dan berzikir.

“Saya hanya berbuka puasa berseorangan di rumah secara ala kadar. Kadang-kadang anak saudara, Noraini Yusof, 56, menghantar lauk tetapi ada ketikanya berbuka di rumah jiran bagi menghilangkan rasa sunyi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mek Wook yang mencetuskan kontroversi empat tahun lalu kerana berkahwin dengan lelaki yang layak digelar cucu ketika usianya didakwa 103 tahun, bukan wanita tertua di negara ini selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri mengesahkan warga emas itu baru berusia 84 tahun.

Mengikut daftar JPN negeri, warga emas yang menjadi tumpuan ramai kerana pernah berkahwin 22 kali itu dilahirkan pada 11 April 1925 manakala rekod wanita tertua di negara ini yang pernah dicatatkan dan disahkan JPN negeri dipegang Safiah Yusof, dipercayai berusia lebih 120 tahun dan berasal dari Kuala Berang.

Pengarah JPN negeri, Abu Bakar Abd Rahman ketika dihubungi berkata, banyak faktor untuk menentukan usia sebenar Mek Wook yang mendakwa berusia lebih 100 tahun kerana JPN mendaftarkan kelahiran seseorang individu berdasarkan maklumat diberi.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan kesihatan dan fizikal Mek Wook yang masih tegap, pihaknya percaya kemungkinan dia berusia 84 tahun seperti direkodkan berasas dan munasabah.

Bagaimanapun, menurutnya, JPN negeri bersedia mengendalikan proses mengenal pasti usia sebenar Mek Wook seperti dilakukan terhadap Safiah dan kelebihan warga emas itu yang masih mampu bercakap dipercayai akan memudahkan usaha menentukan kesahihan usianya.

“Jika kami lihat fizikal Mek Wook yang masih mampu berjalan tanpa bantuan selain boleh bercakap dengan terang dan lancar, kami tidak menolak kesahihan usianya 84 tahun itu. Bagaimanapun, kemungkinan usianya lebih 84 tahun juga benar berdasarkan pertimbangan dalam beberapa perkara termasuk kelaziman orang dulu yang sering lewat mendaftarkan kelahiran anak.

“Namun, kami bersedia dan boleh menentukan usia sebenar Mek Wook melalui perbualan dan semakan beberapa dokumen. Oleh kerana dia masih mampu bercakap dan ingatannya masih baik, proses menemubual mengenai sejarah hidupnya mungkin mudah berbanding Allahyarham Safiah yang sudah tidak mampu mengingat dan bercakap, sebaliknya hanya diwakili ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu Mek Wook yang pertama kali menunjukkan kad pengenalannya kepada media semalam berkata, dia hanya memberitahu maklumat sekadar yang ingat dan tahu kepada JPN.

Anak saudaranya, Noraini pula mendakwa usia Mek Wook melebihi 84 tahun kerana ibu mentuanya, Fatimah yang juga adik wanita itu berusia 85 tahun.

*************

Posting sebelum ini:

Advertisement

Read Full Post »

HULU TERENGGANU 7 Julai (Utusan Malaysia)- Kisah unik wanita tertua di Terengganu, Wook Kundur yang berusia 107 tahun selain mempunyai seorang suami yang jauh lebih muda, pernah menggemparkan negara.

Namun, saat manis mereka seolah-olah tidak bertahan lama apabila suaminya itu, Mohd. Nor Musa ditangkap oleh sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana disyaki menagih heroin.

Mohd. Nor, 38, ditangkap di pekarangan rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang kira-kira pukul 2.20 petang ini.

Dia didapati positif mengambil dadah jenis heroin kemudian dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk rawatan selama dua tahun.

Penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan Pindaan 1998.

Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Rohana Hitam berkata, ketika Mohd. Nor ditahan, isterinya, Wook tiada di rumah.

“AADK menjalankan siasatan terhadap Mohd. Nor selama dua bulan selepas mendapat maklumat orang ramai mengenai penglibatannya dengan dadah.

“Malah, dia mengaku pernah dimasukkan ke Pusat Serenti Tampin, Negeri Sembilan,” katanya di sini hari ini.

Pasangan suami isteri itu pernah mendapat liputan meluas apabila berkahwin pada tahun 2005 dan hidup bahagia walaupun berbeza jarak usia hampir 69 tahun.

Ia adalah perkahwinan pertama Mohd. Nor manakala yang ke-22 buat Wook. Bagaimanapun hasil perkahwinan pasangan itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Menurut Rohana, Mohd. Nor dihantar ke Puspen selepas dia sendiri sanggup untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan itu.

Katanya, sekiranya berkelakuan baik dan menunjukkan pemulihan, Mohd. Nor boleh dibebaskan lebih awal.

Sementara itu, Wook berkata, dia berharap suaminya cepat berubah untuk kembali pulih selain bertaubat serta sentiasa mengingati tuhan.

“Dulu memang dia kerap keluar malam jumpa kawan-kawan. Dia juga jual kereta dan cincin saya, tapi saya tak syak apa-apa. Tapi hari ni, ada orang datang beritahu dia kena tangkap, kena gari.

“Saya memang sedih tapi nak buat macam mana, eloklah dia berubat dulu,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK di Ajil.

Walaupun Mohd. Nor ditangkap, Wook tetap memaafkan suaminya dan bersedia menerimanya kembali.

Menurutnya, dia sempat mengirimkan tasbih, kain pelikat dan kopiah kepada suaminya itu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Polis Terengganu melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menahan sepasang suami isteri yang sedang khayal bersama bayi berusia 4 bulan kerana mengedar dadah dalam serbuan di rumah mereka di Chendering, Khamis lalu.

Taktik menyembunyikan dadah dalam patung ‘Garfield’ gagal apa-bila polis berjaya merampas satu kilogram ganja, enam botol heroin dan 800 biji pil Wy bernilai kira-kira RM35,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menemui wang tunai sebanyak RM25,950 dipercayai hasil jualan dadah kepada penagih.

“Selain wang tunai, kita turut menyita harta suspek kira-kira RM101,000 berupa kereta Proton Perdana, Toyota Corola dan sekarang kita sedang kesan harta suspek yang lain,” katanya semalam.

Menurutnya, serbuan hasil risikan dan maklumat orang awam itu dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi ketika pasangan suami isteri berusia 33 dan 30 tahun yang mempunyai empat anak termasuk bayi masih menyusu sedang khayal akibat mengambil dadah.

“Berdasarkan siasatan, suspek lelaki ini mempunyai rekod jenayah narkotik lampau sejak enam tahun lalu dan dia baru sahaja dibebaskan akhir tahun lalu setelah ditahan di Simpang Renggang atas kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu adalah dalang sindiket dadah terbesar Terengganu yang berjaya dilumpuhkan dalam masa seminggu selain dua sindiket lain di Besut dan Hulu Terengganu.

Penangkapan kedua-dua suspek yang merupakan perancang utama sindiket mempunyai kira-kira 20 ahli, polis percaya berjaya melum-puhkan aktiviti pengedaran dadah di lima daerah terutama Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Suspek merupakan pengedar terbesar dan mereka mampu mem-beri bekalan dadah kepada kira-kira 500 penagih sehari. Setakat ini kita sudah tangkap 18 orang dan mengesan dua individu,” katanya.

Sementara itu kata Roslan, pihaknya turut menangkap seorang lelaki berusia 23 tahun bersama pil Wy sebanyak 600 biji dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Bukit Kenak, Jertih, Besut kelmarin.

“Hasil soal siasat ke atas suspek yang mengaku mengambil bekalan daripada seseorang, kita melakukan serbuan di rumah di Bukit Yong, Pasir Putih dan menangkap dua lelaki 20 dan 21 tahun.

“Kita turut merampas 600 biji lagi pil Wy menjadikan jumlah 1,200 bernilai RM60,000, ketiga-ti-ga suspek dan pasangan suami isteri ini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman gantung,” katanya.

Roslan berkata, selain dua sindiket itu pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket dadah kecil-kecilan di Hulu Terengganu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Kehidupan mewah seorang lelaki bergelar usahawan dengan berselindung di sebalik projek tanaman pisang secara komersial terbongkar apabila polis menyerbu sebuah pondok di ladang miliknya yang dijadikan makmal memproses dadah, kelmarin.

Tauke pisang yang dipercayai memiliki kepakaran menghasilkan dadah itu kini berdepan hukuman gantung mandatori apabila polis menemui 450 pil kuda dan 125 gram ketamin bernilai lebih RM20,000 yang dijadikan bahan untuk memproses dadah jenis baru dengan mencampurkannya bersama tepung ubi, gula halus, tepung pulut dan pewarna.

Semua bahan itu dikeringkan menggunakan haba lampu yang dipasang dalam sebuah almari kayu ditemui ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri diketuai Inspektor Shahrul Efendi menjalankan pemeriksaan sebaik menyerbu ladang berkenaan, kira-kira jam 11.30 malam.

Selain dadah, polis turut merampas senapang angin buatan sendiri menggunakan peluru bola besi dipercayai diseludup dari Thailand.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan di ladang seluas 12.8 hektar di Kampung Gemuroh dilakukan selepas polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan lelaki berusia 36 tahun itu.

Menurutnya, selain maklumat awam, soal siasat terhadap beberapa pengedar dadah yang ditahan sebelum ini banyak membantu polis mengesan hingga tertangkapnya lelaki terbabit.

Beliau berkata, suspek dari Kampung Bukit Jong, di sini, dikatakan licik apabila menjadikan perniagaan pisang secara komersial sebagai topeng menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan tujuh lelaki dipercayai pekerja ladang berkenaan berusia 25 hingga 39 tahun dalam keadaan khayal dan pemeriksaan air kencing terhadap suspek dan tujuh lelaki terbabit mendapati seorang daripada mereka bebas dadah manakala tujuh lagi positif dadah jenis ketamin,” katanya, semalam.

Difahamkan, selain menjadi pekerja ladang, semua lelaki tempatan itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata, pihaknya tidak pasti sama ada dadah jenis baru itu dihasilkan dalam bentuk serbuk atau pil kerana pemeriksaan dalam almari dan pondok berkenaan tidak menemui sebarang bekas atau acuan.

Menurutnya, suspek dipercayai mendapatkan bekalan pil kuda dan ketamin dari Thailand dan mengambil kesempatan memasuki negara itu ketika pulang menemui isteri dan anaknya yang tinggal di Tanah Merah, Kelantan.

Read Full Post »