KUALA TERENGGANU 5 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan disaran menggunakan khidmat ‘doktor bangunan’ untuk memeriksa kemudahan awam seperti stadium, lapangan terbang dan stesen bas setiap dua tahun sekali bagi mengelak tragedi seperti runtuhan berlaku.
Presiden Persatuan Alumni Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Fathi Abdul Rahman berkata, juru ukur bangunan profesional yang dikenali sebagai ‘doktor bangunan’ di luar negara mampu mengesan kelemahan dan kecacatan bangunan di peringkat awal.
Katanya, juru ukur bangunan profesional diiktiraf oleh Institut Surveyor Malaysia (ISM) dan mempunyai kecekapan untuk melakukan pemeriksaan keseluruhan bangunan termasuk struktur, tetulang, bumbung serta cerucuk.
Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 juru ukur bangunan profesional di negara ini berbanding Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mempunyai dua atau tiga orang pakar sahaja.
”Kalau doktor perubatan, mereka akan diagnosis jika seseorang itu sakit perut, demam atau sebagainya. Doktor bangunan pula akan membuat diagnosis kerosakan bangunan dan dari pemeriksaan ini kita boleh cegah tragedi sebelum berlaku,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.
Berikutan kejadian itu, kerajaan negeri semalam mengarahkan JKR membuat pemantauan tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap iaitu terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Mohd. Fathi memberi contoh, jika berlaku kebocoran dalam satu-satu bangunan, ia akan mengenai tetulang bangunan menyebabkannya berkarat.
Menurutnya, jika dibiarkan tanpa pemeriksaan, ia akan melemahkan struktur dan akhirnya menyebabkan bumbung atau binaan runtuh.
”Jika keadaan ini tidak diperiksa, lama-lama retakan berlaku dan bangunan boleh runtuh,” ujarnya.
Mohd. Fathi memberi contoh kejadian runtuhan bangunan yang berlaku kerana tiada pemeriksaan iaitu tragedi runtuhan Highland Tower di Selangor.
”Jika kerajaan boleh tetapkan peraturan pemeriksaan dua tahun sekali ini, juru ukur bangunan boleh memeriksa semua aspek pembinaan bangunan dan segala kelemahan boleh dibaiki segera,” ujarnya.