Makan ulam, minum air suam rahsia kekal sihat
KUALA TERENGGANU Berita Harian): Kegemaran makan pelbagai jenis ulam, mengamalkan minum air suam dan sentiasa aktif ketika zaman mudanya menjadi rahsia ibu tertua di Kuala Terengganu, Ngah Man yang usianya kini mencecah 100 tahun masih kekal sihat serta ceria.

NGAH bersama keluarganya diraikan oleh Ri-Yaz Heritage Resort & Spa sempena Hari Ibu Sedunia.
Ibu tunggal sembilan anak dari Kampung Wakaf Mempelam di sini, yang mesra dengan panggilan Tok, sejak usia mudanya juga pantang meminum minuman sejuk dan masih kuat ingatan terutama dalam mengingati tarikh dan kejadian penting dalam hidupnya.”Tok tak amal apa-apa petua. Cuma pantang minum ais dari dulu lagi, selain suka makan ulam terutama yang pahit kerana Tok percaya khasiatnya sangat banyak.
“Alhamdulillah, Tok bersyukur kepada Allah kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun terpaksa bergerak dengan kerusi roda kerana penyakit osteoporosis sejak lima tahun lalu.
“Tok juga bersyukur kerana semua tujuh anak Tok yang masih hidup sentiasa mengambil berat keadaan Tok dan menjaga Tok dengan baik sehingga masih mampu meraikan Hari Ibu hari ini (semalam),” katanya ditemui pada Majlis Meraikan Ibu Tertua di Kuala Terengganu sempena Hari Ibu di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa (Ri-Yaz Heritage) di sini, semalam.
Sebagai meraikan Ngah, pihak pengurusan Ri-Yaz Heritage memberi penghargaan dan hadiah penginapan satu malam di Royal Challet bernilai RM3,500 semalam.
Ngah yang diiringi oleh adik beradik, anak serta cucu dan cicitnya berkata, dia tidak pernah menyangka akan dikurniakan umur yang panjang untuk menikmati peluang penginapan eksklusif dan hidangan makanan mewah dan enak seperti itu.
“Terima kasih banyak kepada pihak resort yang sudi menaja hadiah Tok dan keluarga. Oleh kerana Tok orang susah, Tok tak pernah bermimpi dapat peluang sebegini. Siapa sangka pada usia Tok 100 tahun baru Tok diraikan sebegini rupa.
“Tok sangat gembira dan bersyukur. Ini satu pengalaman manis buat Tok di penghujung usia ini. Tok berdoa dipanjangkan umur dan dapat merasai lagi pengalaman sebegini walaupun sudah tua,” katanya sambil berlinang air mata.
Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Korporat Ri-Yaz Heritage, Adlin Masood berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri bagi mengenal pasti ibu tertua di Kuala Terengganu untuk diraikan sempena sambutan Hari Ibu dianjurkan pengurusan resort.
“Kita kagum dengan keadaan Tok yang masih sihat dan kuat ingatan walaupun usianya sudah mencecah satu abad. Jadi, kita memutuskan untuk meraikannya dan keluarga, apatah lagi beliau tidak pernah diraikan sebegini sebelum ini,” katanya.
Read Full Post »