KUALA TERENGGANU, 22 Jun (Bernama) — Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu merampas pelbagai barangan belum dilulus jabatan itu bernilai RM377,245.20, yang melibatkan pengelakan duti dan cukai sebanyak RM923,862.24 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua KDRM negeri, Datuk Azis Yacub berkata antara barangan yang paling banyak dirampas ialah rokok diikuti kenderaan, telefon bimbit, minuman keras dan beras.
“Terengganu adalah antara lokasi penyeludupan tertinggi rokok di negara ini,” katanya selepas taklimat Operasi Outlet Bersepadu, KDRM Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata antara barangan yang dirampas dalam tempoh itu ialah 677,555 batang rokok bernilai RM141,717.40, 12 buah kenderaan (RM227,700), 35 unit telefon bimbit (RM3,040) dan 364 liter minuman keras (RM4,288.80).
Katanya kejayaan terbaru yang diperolehi KDRM Terengganu ialah pada 11 Jun lepas apabila menyita 3,460 karton rokok keretek seludup bernilai RM52,900 dan sebuah lori di ladang kelapa sawit Felda Jerangau, Dungun.
Azis berkata jumlah duti dan cukai barangan itu ialah RM224,022.80 dan pemandu lori terbabit berjaya melarikan diri kerana ketika itu hujan lebat.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan barang-barang belum lulus kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kastam 1976.
Sabit kesalahan, katanya, boleh didenda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai duti barangan berkenaan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Azis berkata kutipan cukai KDRM Terengganu tahun ini dijangka menurun berbanding tahun lepas kerana keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan lembab.
Beliau berkata jabatan itu mensasarkan kutipan cukai sebanyak RM1.121 bilion tahun ini berbanding RM1.2 bilion tahun lepas.
— BERNAMA