Feeds:
Posts
Comments

Archive for May 12th, 2009

(Utusan Malaysia) MEMENUHI tuntutan sebagai seorang pembina negara bangsa yang diletakkan ke bahu pendidik telah bermula sejak sebelum merdeka. Hingga kini, tanggungjawab itu tidak pernah sedikit pun berkurang.

Namun situasinya kini berbeza. Pelajar semakin ramai dengan sikap dan minda yang berbeza. Apatah lagi dengan keterbukaan dan kelantangan masyarakat memperkatakan tentang senario pendidikan negara maka peranan guru sebagai pembina negara bangsa semakin luas dan mencabar.

Inilah juga yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran melalui tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, sambutan Hari Guru yang ke-38 dan kali ini sambutannya diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu pada 16 Mei ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, guru alaf baru kini tugasnya bukan sahaja mendidik daripada segi akademik tetapi membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral. Ia penting untuk hidup sebagai sebuah masyarakat penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik.

Inilah juga yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2020 iaitu Membina Negara Bangsa dan ia sejajar dengan Wawasan 2020 yang kini hanya tinggal 10 tahun untuk direalisasikan menjadi Malaysia negara maju dalam acuannya sendiri.

“Walaupun negara bangsa telah wujud sejak kita mencapai kemerdekaan tetapi ia mesti ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana wujudnya persaingan globalisasi.

“Ia menuntut setiap negara mengukuhkan negara masing-masing daripada segi ekonomi mahupun pertahanan dan guru pula wajib memberi pendidikan terbaik untuk para pelajar,” ujarnya.

Kata beliau, peranan guru era pasca dan sebelum merdeka sama penting.

“Selepas negara merdeka, kita melihat pendidikan sebagai bidang yang amat penting kerana kerajaan telah memberi peruntukan yang besar berbanding kementerian-kementerian lain,” katanya.

Ini turut menjelaskan betapa kerajaan amat percaya dengan pelaburan yang besar itu ia boleh membawa pulangan yang besar kepada negara.

Katanya, cabaran untuk guru menambah ilmu dalam dunia ledakan maklumat bukan sahaja sesama mereka malah perlu bersaing dengan pelajar yang ada ketikanya lebih terkehadapan menerokai teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Kecanggihan pelajar menyebabkan guru kini perlu berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat, media massa dan pengaruh budaya luar. Maka amat penting untuk sekolah memastikan berlakunya pembangunan modal insan yang cemerlang,” tegasnya.

Modal insan yang cemerlang bermakna individu itu turut mahir dalam membuat keputusan, berakhlak dan bermoral tinggi, berani, amanah, jujur, bekerjasama dan bertanggungjawab, suatu acuan individu yang mempunyai daya tahan dalam erti kehidupan globalisasi.

“Beratkah tanggungjawab guru sekarang? Sudah pasti, jika dibandingkan dengan 20 tahun atau 30 tahun lalu tetapi inilah peluang untuk guru menunjukkan kebolehan,” katanya lagi.

Menurut Alimuddin, dedikasi, sabar dan tabah serta bertanggungjawab semasa menjalankan tugas adalah kunci utama untuk menangani kerenah masyarakat apatah lagi pelajar.

Dan sudah pasti peranan ibu bapa dalam dunia pendidikan bertambah memandangkan anak-anak mereka hanya berada di sekolah kirakira enam jam maka perhatian terhadap anak-anak perlu ditingkatkan.

Namun kata beliau, sikap masyarakat moden kini yang tidak suka “menjaga tepi kain orang lain” perlu dikembalikan.

“Menegur dan saling ingat-mengingatkan dan saya fikir banyak isu disiplin pelajar di luar sekolah dapat diselesaikan dengan sikap ini,” katanya.

Walau bagaimana berat sekalipun tanggungjawab yang dipikul oleh guru namun Kementerian Pelajaran tidak pernah alpa terhadap kebajikan mereka.

Pada masa ini, terdapat 17 laluan kerjaya kepada guru seperti guru cemerlang, Pengetua cemerlang, Guru Besar cemerlang, Pegawai Pendidikan cemerlang. Malah tahun lalu sahaja sebanyak 62,000 jawatan naik pangkat dan naik gred telah diberi kepada guru-guru.

Daripada segi kewangan pula, banyak elaun diberi kepada guru seperti elaun Guru Besar dan Pengetua, elaun warden, elaun mata pelajaran kritikal dan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI ) serta elaun guru kawasan pedalaman yang mencecah kepada RM1,500 sebulan.

“Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap guru malah apa juga imbuhan yang diberi kepada kakitangan kerajaan lain, guru juga menikmatinya misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan mahupun rawatan di hospital,” katanya.

Tegas Alimuddin, profesion perguruan kini sudah sampai ke tahap tinggi jika dilihat daripada permohonan untuk menjadi guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Tahun ini ia mencecah lebih 90,000 permohonan sedang kekosongan untuk diisi ialah sekitar 5,000 tempat sahaja.

Beliau turut menolak tanggapan masyarakat bahawa senario itu seperti sebelum ini yang diamalkan oleh graduan negara yang menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan akhir.

“Senario itu tiada lagi kerana banyak permohonan bermakna banyak pilihan. Hanya mereka yang layak diterima,” tegasnya.

Sementara itu, sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 akan bermula pada 14 Mei dengan pertandingan separuh akhir Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan kategori bahasa Malaysia dan kategori bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu sementara pertandingan akhir pada 15 Mei.

Keesokannya, Majlis Menjunjung Budi untuk guru-guru di kawasan pedalaman dan guru di pulau serta guru kurang upaya akan diadakan. Ia turut melibatkan guru integriti dan guru di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang.

Satu Forum Pendidikan akan diadakan di Wisma Darul Iman bertajuk Guru Pembina Negara Bangsa.

Ahli-ahli panel forum terdiri daripada tokoh pendidik Tan Sri Wira Dr. Abdul Rahman Arshad, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Sebagai menghargai usaha guru, Guru Besar dan Pengetua dalam memperkasakan ICT di sekolah, Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Anugerah Pemimpin TMK juga akan diadakan.

Sempena sambutan Hari Guru itu juga, Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan mengadakan Festival Hari Guru Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula 14 Mei sehingga 17 Mei dengan pelbagai acara menarik untuk orang ramai.

Read Full Post »

MARANG (Berita Harian): Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk membina lima balai raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagi menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat menjalankan aktiviti komuniti dan sosial.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata walaupun Rhu Rendang adalah kawasan dikuasai parti pembangkang, kerajaan negeri tetap prihatin dan memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan serba lengkap dan moden.

Beliau berkata, pembinaan balai raya berharga RM200,000 sebuah itu adalah bukti kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan pembangunan, termasuk di kawasan pembangkang dan semua DUN menerima kemudahan sama rata.

“Dalam lawatan ini, saya menerima permintaan daripada penduduk yang mahu membina balai raya untuk kemudahan mereka menjalankan aktiviti riadah dan sosial, justeru, saya bersetuju meluluskan RM1 juta untuk membina lima balai raya yang dilengkapi kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Cuma kita harap dengan apa yang kita lakukan, dengan pemberian ini, rakyat dapat menghargai dan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang,” katanya selepas merasmikan Balai Raya Kampung Seberang Marang sempena program Sehari Bersama Menteri Besar di DUN Marang di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri yang juga Ketua Umno Bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad berkata, semua pembangunan yang dijalankan kerajaan negeri juga adalah sebahagian usaha untuk merakyatkan pembangunan dan pentadbiran bagi memastikan Terengganu terus maju, selain mencapai matlamat membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk negeri ini.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 11 Mei (Utusan Malaysia)- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot yang dinaiki 19 nelayan warga Vietnam kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd. Fuzi Syed Hassan berkata, kejayaan pertama terhasil apabila bot kilat APMM yang diketuai Bintara Kanan Maritim Rifin Stephen menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang mengalami kerosakan enjin bersama seorang tekong dan sembilan awak-awak.

Katanya, mereka ditahan pada pukul 11.30 pagi, kira-kira lima batu nautika dari Pelantar Minyak Resak atau 47 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Selepas itu, bot kilat APMM meneruskan rondaan dan terserempak dengan sebuah lagi bot yang dinaiki seorang tekong dan lapan awak-awak pada pukul 12.35 tengah hari lalu menahannya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan ditahan kira-kira sembilan batu nautika dari Pelantar Minyak Resak atau 51 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Syed Mohd. Fuzi memberitahu, sebaik sahaja menyedari kehadiran APMM, bot berkenaan cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas.

Katanya, APMM merampas hasil tangkapan ikan berjumlah 5,000 kilogram dari kedua-dua bot nelayan asing itu.

Tambah beliau, kesemua nelayan yang berusia antara 16 hingga 49 tahun itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain tiada permit untuk menangkap ikan.

Menurutnya, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak pula RM100,000 seorang.

Read Full Post »