
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)– Rakyat negeri ini berpeluang melalui jalan singkat ke Tasik Kenyir dengan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 apabila pakej 11 dan 12 siap menjelang akhir tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, dengan perkembangan terbaru itu, orang ramai hanya perlu mengambil masa 35 minit untuk perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke tempat pelancongan berkenaan.
“Sekarang ini (perjalanan ke Tasik Kenyir) mengambil masa sekitar satu jam, sebab itu usaha untuk memajukan Tasik Kenyir lebih cepat tercapai dengan siapnya pakej 11 dan 12 nanti kerana kita berpeluang menggunakan laluan ke Tasik Kenyir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatannya ke tapak projek LPT Fasa 2, semalam.
Menurut Ahmad, pakej 12 membabitkan jarak lebih kurang tujuh kilometer ketika ini siap kira-kira 83 peratus dan diberi jaminan akan siap sepenuhnya sebelum tahun depan.
Bagaimanapun, Ahmad berkata, pakej 11 kini masih menunggu keputusan tender untuk premix berikutan kontraktor sebelum ini telah menyerahkannya kepada LPT Fasa 2.
Ahmad berkata, peningkatan harga premix menyebabkan dua syarikat, JBQ dan Bukit Puteri tidak mampu melaksanakan projek itu kerana risiko kerugian.
“Masalah kos harga premix yang meningkat sekali ganda menyebabkan projek di bawah pakej itu tertangguh ketika ini. Saya yakin proses pelaksanaan premix boleh disiapkan dalam tiga hingga empat bulan,” katanya.