KUALA TERENGGANU 6 Mei (Utusan Malaysia)- Felda Wilayah Terengganu akan bertindak tegas termasuk tindakan undang-undang terhadap 65 peneroka di dua tanah rancangan berikutan kedegilan menyertai program tanaman semula sawit.
Pengurus Besar Wilayahnya, Faizoull Ahmad berkata, mereka yang bakal dikenakan tindakan itu ialah peneroka Felda Kertih 3 dan Felda Kerteh 5 di Dungun dan Kemaman.
Beliau memberitahu, tindakan tegas perlu kerana mereka belum menandatangani perjanjian menanam semula meskipun beberapa siri perundingan bersemuka telah dilakukan.
“Notis untuk tindakan tersebut akan dikeluarkan secepat mungkin dan kami memberi tempoh seminggu untuk mereka berbuat demikian,
“Jika mereka masih ingkar, tindakan akan menyusul, jangan salahkan kami kerana segala perundingan secara bersemuka telah dilakukan.
“Kita hairan kenapa mereka berdegil sedangkan kerajaan sendiri beri jaminan akan memberikan segala bantuan untuk memastikan program tanam semula dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada Januari 2008, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri pernah mengumumkan kenaikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil peneroka yang menanam semula sawit dan getah bermula 1 Mac 2008.
Menurut Najib, menerusi kaedah itu kerajaan bersetuju mengkaji semula kadar pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil bagi peneroka yang menanam semula bersama Felda.
Ia berdasarkan senario harga purata minyak sawit mentah (MSM) sepanjang 2007 sebanyak RM2,500 setan manakala harga purata bulan Januari 2008 mencecah RM3,200 setan.
Mengulas lanjut, Faizoull berkata, mereka yang bakal dikenakan tindakan undang-undang masih belum mendapat hak milik atas tanah yang diusahakan.
Katanya, mereka tidak boleh menghalang Felda daripada melaksanakan tugas menjalankan untuk program penanaman semula sawit yang dirancang.
“Tujuan kami bukan untuk menyusahkan tetapi adalah bagi mencapai objektif iaitu memastikan peneroka mendapat pendapatan terjamin,” katanya.
Faizoull menambah, bagi penanaman semula Felda menyediakan sara hidup dan pendahuluan hasil kepada para peneroka bagi program tanam semula sawit dan getah.
Katanya, ia kaedah baru bagi membantu golongan itu menikmati hasil yang diperoleh di ladang masing-masing.
“Bagi peneroka yang mengikuti kaedah tanam semula, pinjaman sara hidup diperkenalkan mulai 2004 bagi membolehkan peneroka meneroka kehidupan sementara menantikan pokok mereka mengeluarkan hasil.
“Jumlah pinjaman dan pendahuluan hasil sentiasa meningkat setiap tahun berikutan produktiviti yang ditunjukkan oleh para peneroka dalam mengeluarkan hasil mereka,” katanya.
Read Full Post »