Feeds:
Posts
Comments

Archive for May 21st, 2009

Projek pendekkan perjalanan dari LTSM ke Tasik Kenyir 30 minit

KUALA TERENGGANU: Penyempurnaan pakej 11 dan 12 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 menghubungkan Batu Hampar dan Gemuruh yang dijangka siap tahun depan akan memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSM) di Kuala Terengganu ke Tasik Kenyir kepada 30 minit, berbanding lebih sejam sekarang.

Bagaimanapun, kegagalan kontraktor meneruskan kerja menurap jalan menyebabkan kerja pembinaan pakej 11 sepanjang enam kilometer sudah lewat 10 peratus daripada jadual dan perlu ditender semula, manakala pakej 12 sepanjang lapan kilometer sudah 83 peratus siap.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pakej 11 sepatutnya sudah 52 peratus siap tetapi kontraktor menarik diri daripada projek itu kerana harga bitumen yang meningkat sekali  ganda berbanding kos sebut harga dalam tender menyebabkan syarikat menanggung kerugian besar.

“Batu sudah dimasukkan cuma premix bitumen tidak dapat diturap kerana kos meningkat sekali ganda menyebabkan mereka (pemaju) tak mampu laksanakan.

“Kalau buat pun, mereka (akan) mengalami kerugian. Sebab itulah mereka tarik diri dan kita tender semula pakej itu membabitkan enam kilometer dan sekarang dalam proses menunggu keputusan daripada Lembaga Tender,” katanya ketika melawat Projek LPT Fasa 2 (Pakej 12) di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, kelmarin.

Projek LPT Fasa 2 adalah sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuruh sepanjang 180 kilometer.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan akan memastikan proses tender menurap bitumen berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Dalam perkembangan sama, kerajaan juga sedang mengenal pasti kontraktor lain untuk menamatkan kontrak mereka kerana gagal menurap bitumen bagi mengelak mereka menanggung kerugian yang lebih besar serta disenaraihitamkan daripada membina projek lebuh raya lain.

Projek LPT Fasa 2 adalah sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuruh sepanjang 180 kilometer.

Sebanyak 70 peratus daripada skop kerja diuruskan Jabatan Kerja Raya secara tender (50 peratus terbuka dan 50 peratus Bumiputera tempatan) manakala 30 peratus dilaksanakan secara reka dan bina secara rundingan terus di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Ahmad berkata, jajaran asal lebuh raya itu adalah sepanjang 112 meliputi dua bahagian iaitu dari Jabur ke Bukit Besar dan dari Bukit Payung ke Kampung Gemuruh membabitkan lima persimpangan bertingkat iaitu Cheneh, Air Putih, Kubu, Bandar Al Muktafibillah Shah dan Gemuruh, menyusuri bersebelahan Jalan Jerangau-Jabur.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri meminta jajaran dari Cheneh ke Bukit Besi dialihkan kerana selain mendapat bantahan daripada pemilik tanah, laluan berkenaan juga sudah hampir dengan bandar di kawasan pesisir pantai seperti Kijal, Kertih dan Dungun.

Advertisement

Read Full Post »

Kini Alam Akademik telah di”link”kan di Google Map – http://maps.google.com/

Dengan mengguna pautan (link) url ini:

http://maps.google.com/maps?f=q&source=s_q&hl=en&geocode=&q=alam+akademik&vps=2&jsv=159e&sll=5.093634,102.989615&sspn=4.091815,8.063965&g=terengganu&ie=UTF8&latlng=5334795,103135710,998622378700102430&ei=ZTEVSreaAprIuwOenuXUAw&cd=2&dtab=0&oi=&sa=X (KLIK)

anda dapat akses ke maklumat Alam Akademik di Google Map:

AA-google map

Read Full Post »

Nikmat 2 bulan bekerja di pasar raya berakhir
CHUKAI (Berita Harian): Kegembiraan lebih 170 penduduk sekitar bandar ini apabila mendapat kerja di Pasar Raya Besar Giant di Kompleks Mesra Mall, di sini tidak berpanjangan apabila gedung yang sepatutnya mula beroperasi pada Oktober tahun lalu, kini membatalkan rancangan pembukaannya kerana dikatakan gagal mendapat lesen perniagaan.

Berikutan itu, semua penduduk tempatan yang sudah bekerja dengan rangkaian gedung peruncitan terkemuka itu yang mana lebih 90 peratus datang daripada kalangan keluarga miskin, hilang pekerjaan dan terpaksa mencari mata pencarian baru bagi menyara keluarga.

Pasar Raya Giant sepatutnya menjadi penyewa utama di Mesra Mall yang dibina Petronas bagi memenuhi keperluan peruncitan di kalangan penduduk tempatan, termasuk kakitangan syarikat minyak itu di Kertih dan Paka.

Bagaimanapun, selepas dua bulan gagal beroperasi sesudah semua stok barangan jualan dimasukkan, Giant akhirnya pada Januari lalu memutuskan untuk menarik diri daripada Mesra Mall dan membatalkan pembukaan cawangan itu, sekali gus terpaksa memberhentikan 170 pekerja berkenaan.

Ketiadaan Giant sebagai penyewa utama juga dikatakan menjadi punca kompleks beli-belah yang berkonsepkan Suria KLCC, Kuala Lumpur itu gagal menarik ramai pengunjung sekali gus menjejaskan peniaga ruang peruncitan lain yang tidak dapat mencatatkan hasil jualan memuaskan.

Seorang bekas pembantu jualan Giant, Azim Azimudin Abdul Aziz, 21, dari Perumahan Awam Kos Rendah, Kemasek, berkata dia berasa sangat kecewa dan tertekan kerana hanya sempat bekerja selama dua bulan sebelum diberi notis berhenti kerana syarikat tidak dapat memulakan perniagaan kerana tidak diberikan lesen perniagaan.

Dia yang mempunyai isteri dan seorang anak perempuan berkata, kehilangan pekerjaan menyebabkannya berasa hilang punca mengenangkan masa depan mereka yang agak kelam selepas kerjaya yang diharapkan dapat membantu mengubah masa depan mereka sekeluarga hilang sekelip mata.

“Selepas mencari kerja di merata tempat, saya berasa cukup gembira kerana akhirnya berjaya mendapat pekerjaan yang lebih terjamin dengan gaji yang memuaskan di Giant memandangkan pendapatan saya sebagai tukang sapu sebelum ini tidak cukup untuk menampung kos kehidupan sekarang.

“Bagaimanapun selepas dua bulan bekerja, majikan memaklumkan bahawa mereka terpaksa memecat pekerja kerana pasar raya itu tidak dapat beroperasi.

“Saya berasa sungguh kecewa dan sedih mengenangkan apa akan jadi dengan anak isteri di rumah kerana bukan senang untuk mendapat kerja di kawasan ini terutama ketika dunia dilanda kemelesetan ekonomi,” katanya ketika di temui di Mesra Mall baru-baru ini.

Rakannya, Norliza Mohamad, 22, dari taman perumahan sama, berkata dia terkilan dan kecewa kerana tempoh empat bulan menjalani latihan di Pasar Raya Besar Giant, Shah Alam dan Damansara, terbuang begitu saja.

Dia berkata, selepas ketiadaan bapa, dia terpaksa menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah kerana ibunya tidak dapat bekerja disebabkan masalah kesihatan.

“Saya masih ingat betapa gembira adik dan ibu apabila saya mendapat pekerjaan di pasar raya berkenaan kerana sebelum ini hidup kami cukup terhimpit.

“Walaupun diberi pilihan untuk bekerja di cawangan lain di Lembah Klang, tetapi saya terpaksa menolak kerana tidak sanggup meninggalkan ibu yang tidak berapa sihat. Di sini saya tidak perlu risau mengenai sewa atau belanja makan kerana rumah terletak berhampiran tempat kerja,” katanya.

Seorang lagi bekas pekerja, Wan Fauzi Wan Ali, 32, berkata dia sangat berharap supaya Giant dapat beroperasi semula kerana terpaksa menanggung 10 adik beradik yang masih bersekolah.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Abdul Rahman Yahya, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai masalah itu.

“Masalah ini susah untuk saya dijelaskan, jadi saya tak mahu dan tak berani komen apa-apa,” katanya.

Pengurus Mesra Mall, Michael Vong, berkata gedung Giant yang menyewa ruang seluas 71,000 kaki persegi sepatutnya dibuka pada 10 Oktober.

Katanya, kompleks itu menarik 200,000 pengunjung sebulan dan jumlah itu dijangka jauh lebih tinggi jika ada sebuah pasar raya besar beroperasi di situ.

******************************

Terkini: https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/28/giant-hypermarket-at-masra-mall-set-to-open/

Read Full Post »