Feeds:
Posts
Comments

Archive for May 16th, 2009

JERTIH (Sinar Harian) – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluluskan peruntukan segera sebanyak RM30,000 kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Ittifakiah, di sini, untuk melengkapkan kemudahan perpustakaan sekolah itu.

Ahmad mengumumkan peruntukan itu pada ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-9 sekolah berkenaan, semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan membeli sebuah bas untuk kegunaan sekolah itu pada tahun hadapan, sebagaimana permohonan yang disampaikan Yang Dipertua PIBG, Abdul Majid Ahmad untuk kemudahan pelajar.

“Tahun depan sekolah ini akan memperoleh bas tersebut.

“Selain itu, walaupun tidak diminta, namun memandangkan tanah kosong masih ada di kawasan sekolah ini, kerajaan negeri meluluskan peruntukan pembinaan dua blok bangunan tambahan sekolah untuk menampung bilangan pelajar yang semakin ramai memohon masuk ke sekolah agama,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk Shaikh Harun Ismail; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ariffin Embong; Pegawai Daerah Besut, Wan Mohd Wan Ibrahim; pengetua sekolah, Jusoh Mat dan pegawai terlibat.

Kata Ahmad, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk pendidikan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pelajaran yang baik dan mengubah taraf ekonomi rakyat.

“Berbanding negeri lain, kerajaan negeri memperuntukkan wang yang banyak supaya pelajar mendapat kemudahan terbaik dan lebih ramai pelajar dan sekolah cemerlang dapat dilahirkan,” katanya.

Dalam majlis sama Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada pelajar, guru dan kakitangan cemerlang.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 16 Mei (Bernama) — Kepimpinan kerajaan negeri Terengganu akan terus diterajui oleh Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perubahan jawatan Menteri Besar Terengganu itu tidak pernah berbangkit serta dibincangkan sebelum ini.

“Siapa kata (ada perubahan jawatan Menteri Besar Terengganu). Setakat ini, saya tak dengar apa-apa,” katanya ketika diminta mengulas desas-desus kononnya akan ada perubahan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu tidak lama lagi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2009 peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man di sini hari ini.

Isu itu timbul apabila ada di kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Ahmad dan mahu beliau ditukarkan.

Polemik itu wujud berikutan ura-ura Adun BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lepas, tetapi ia tidak berlaku.

Bagaimanapun, pada hari kedua sidang DUN, 10 Adun BN tidak hadir atas alasan tiga daripada wakil rakyat berkenaan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap dengan penjelasan itu, situasi politik Terengganu akan bertambah baik kerana yang lebih penting ialah untuk melihat Umno dan BN bertambah kuat di negeri itu terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya percaya semua pimpinan Umno termasuk di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat dan pimpinan (Umno) Bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk mewujudkan satu persefahaman yang lebih baik kerana kita sayangkan Terengganu.

“Rakyat telah beri kepercayaan…kita perlu tumpu perhatian sepenuh masa untuk membangunkan Terengganu kerana Terengganu negeri yang mempunyai banyak sumber, hasil negeri banyak, minyak pun ada,” katanya.

Beliau berkata jika ada perselisihan faham, ia perlu diselesaikan secara baik kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan negeri itu selepas diberi kepercayaan oleh rakyat.

“Sama ada Adun, bukan Adun, pemimpin parti, berjawatan atau tidak berjawatan…kalau berganding bahu, kalau pentingkan rakyat dan pertahankan kedudukan di Terengganu. Rakyat telah memberi keyakinan, jangan kita abaikan,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) — Buku “Manual Guru: Pencegahan Buli di Sekolah”, yang mengandungi panduan lengkap kepada guru dalam menangani insiden buli di kalangan pelajar, dilancarkan Jumaat sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sini, esok.

Pelancaran buku setebal 150 muka surat dan berharga RM24 senaskhah itu disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di sini.

Ketua penulis buku berkenaan, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub berkata manual tersebut dihasilkan dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai pihak yang telah menjayakan kajian perintis program intervensi buli di beberapa buah sekolah di Lembah Klang.

“Antaranya kita mendapat maklumat daripada responden yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, ibu bapa dan guru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noran Fauziah berkata kajian itu dibiayai oleh Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) sementara HELP University College mencetuskan inisiatif ke arah penerbitan manual berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan Hari Guru peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dekat sini, esok.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) — Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah di luar bandar antaranya dengan memantapkan korikulum pendidikan, kualiti guru dan kemudahan infrastruktur.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkara yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ialah merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Kita mahu sekolah di luar bandar mempunyai kemudahan sama dan setaraf dengan sekolah di bandar. Saya amat komited kepada agenda pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Hari Guru Kebangsaan 2009, anjuran Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, di sini Jumaat.

Sempena Hari Guru esok, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang festival selama empat hari itu, antaranya Telekom Smart School (TSS), pameran hari guru, bengkel pembelajaran dan pendidikan, forum, ekspo dan seminar kerjaya.

— BERNAMA

Read Full Post »

Pengguna kecewa sistem baru memburukkan keadaan

Peta laluan sehala [klik di sini]

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan skim laluan sehala di beberapa jalan utama di pusat bandar raya ini sejak April lalu untuk mengurangkan kesesakan tidak menjadi kenyataan.

Malah, tinjauan Berita Harian di di Jalan Batas Baru, Jalan Sultan Sulaiman dan Jalan Air Jernih mendapati, kesesakan trafik bertambah buruk berbanding sebelumnya terutama pada waktu puncak iaitu antara jam 8.30 hingga 10.00 pagi dan jam 3 hingga 6 petang.

Orang ramai dan pemandu kenderaan di sekitar bandar raya ini menunjukkan reaksi sama dan masing-masing bersetuju bahawa langkah berkenaan tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan trafik kerana terdapat beberapa kelemahan ketara dalam pelaksanaannya.

Rohaizi Yusof, 31, pekerja swasta dari Kampung Seberang Takir, berkata sejak jalan berkenaan diubah menjadi laluan sehala, kesesakan lalu lintas semakin bertambah berbanding sebelumnya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.

Beliau yang perlu memandu melalui jalan berkenaan setiap hari untuk ke tempat kerja berkata, pada awalnya dia menyokong pendekatan itu kerana berharap masalah kesesakan dapat diatasi, tetapi akhirnya kecewa kerana masalah trafik menjadi bertambah buruk kerana pelaksanaannya tidak dibuat bersandarkan perancangan rapi.

“Jika kita mengamalkan sistem jalan sehala, kenapa perlu ada banyak lagi lampu isyarat di sana-sini. Ini yang menyebabkan kesesakan trafik yang semakin buruk, tambahan pula penguat kuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang meletak kereta di tepi jalan,” katanya.

Pegawai bank, Mohamad Razali Ali, 39, berkata ketika rancangan jalan sehala diumumkan, dia menyokong cadangan itu kerana model jalan sehala yang diamalkan di beberapa bandar lain berjaya mengatasi kesesakan trafik dan berharap perkara sama berlaku di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, sangkaannya meleset kerana berdasarkan ada yang terpaksa dilaluinya setiap hari, keadaan trafik adalah jauh lebih teruk berbanding sistem jalan dua hala diamalkan sebelum ini.

“Saya terpaksa keluar rumah lebih awal dari dulu kerana perlu mengharungi kesesakan bermula dari Jambatan Sultan Mahmud hingga ke Jalan Air Jernih,” katanya yang juga mengaitkan kesesakan buruk itu dengan perancangan tidak sempurna.

Pekerja swasta, Noriza Aripin, 28, berkata sistem jalan sehala itu menyusahkan pejalan kaki kerana kemudahan seperti jejantas atau lintasan `zebra’ tidak disediakan.

Katanya, MBKT sepatutnya mencontohi negara maju seperti Singapura yang menitikberatkan kepentingan semua pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki dalam setiap pelaksanaan jalan sehala.

“Di Singapura, mereka membina terowong bawah tanah untuk kemudahan orang ramai melintas kerana jalan sehalanya luas dan kereta sentiasa bersesak-sesak boleh membahayakan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, pada pendapat saya pembinaan jejantas sudah memadai dan saya harap MBKT dapat menyegerakan pembinaannya sebelum berlaku kejadian tidak diingini terutama di Jalan Sultan Ismail yang menempatkan banyak bank,” katanya.

Pendapat sama turut diutarakan peniaga gerai, Karim Ariffin, 40, dari Kampung Tok Jembal yang menggesa MBKT supaya menyediakan jejantas atau lintasan di jalan berkenaan secepat mungkin bagi mengelak kemalangan.

Dia berkata, kenderaan yang bergerak laju dan jalan sehala yang luas boleh membahayakan pejalan kaki terutamanya orang tua dan kanak-kanak.

“Saya sendiri berasa gerun untuk melintas di sini kerana semua kenderaan bergerak laju sehingga terpaksa menunggu lama untuk melintas,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Azhar Ahmad, 33, dari Kampung Durian Burung berkata, pelaksanaan jalan sehala tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan kerana ia berpunca daripada kekurangan tempat parkir kenderaan di pusat bandar.

“Dari awal lagi saya tidak menyokong pendekatan jalan sehala kerana berdasarkan pemerhatian, masalah sebenar kesesakan di bandar raya ini ialah kekurangan tempat meletak kenderaan.

“Tidak guna mengambil pendekatan jalan sehala atau membuka jalan sehingga empat lorong, tetapi kesesakan trafik masih berlarutan kerana pengguna jalan masih perlu berhenti di beberapa lampu isyarat dan kereta yang diletak secara haram di depan bank dan premis perniagaan,” katanya.

****************************

Artikel sebelum ini:

Read Full Post »

Dimaklumkan bahawa Kursus Mediasi anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dengan kerjasama PGSM dan Accord Group Australia yang dijadualkan pada 19 hingga 25 Mei 2009, di Bukit Kluang Resort, Besut, Terengganu MASIH TERDAPAT 3 KEKOSONGAN.

Kursus secara sepenuh masa (selama 40 jam) Yuran penyertaan RM1500 sahaja.  SEGERA hubungi Timbalan Presiden PGSM, Encik Musa Awang di talian 019-3870105 atau 03-2274 1499 (sekretariat) atau e-mail ke sekretariatpgsm@yahoo.com.

Read Full Post »