Feeds:
Posts
Comments

Archive for May 18th, 2009

JERTIH: Enam beradik yatim piatu yang hilang tempat bergantung hidup setelah ibu mereka meninggal dunia dihempap pokok kekabu Ahad lalu, mendapat perhatian Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, apabila agensi itu menyampaikan bantuan segera kepada mereka semalam.

Ibu mereka, Tengku Asmayuzam Tuan Daud, 36, yang sebelum ini bekerja sebagai buruh am di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong di sini, meninggalkan enam anak termasuk tiga yang masih belajar di sekolah menengah, dua sekolah rendah dan seorang lagi berusia empat tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya mengambil daya usaha memberi bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada mereka selepas membaca laporan akhbar mengenai tragedi yang menimpa ibu tunggal terbabit.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan kejadian seorang ibu tunggal di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, yang sedang membersihkan daun mempelam di depan rumahnya, terbunuh selepas dihempap pokok kekabu yang mempunyai ukur lilit semeter.

Majlis penyerahan cek di bawah Program Sara Hidup Untuk Pelajar itu adalah yang pertama disalurkan oleh Maidam kepada mereka yang ditimpa kemalangan seumpama itu pada tahun ini.

Cek disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Nawi Mohamad kepada nenek mereka, Tuan Yah Tuan Mahmood, 86, di rumahnya di Kampung Bukit Payong, dekat sini.

Tuan Yah berkata, dia terharu dan bersyukur dengan keprihatinan Maidam dan Adun yang datang menziarahi cucunya sambil menghulurkan sumbangan itu.

“Saya akan menggunakan wang ini untuk perbelanjaan sekolah anak arwah yang sudah meninggal dunia selepas dihempap pokok kekabu,” katanya sambil menambah bantuan itu dapat meringankan bebannya menyara anak yatim piatu berkenaan selepas bapa mereka meninggal empat tahun lalu.

Tuan Yah berkata, dia akan menjaga semua anak arwah dan tidak mahu menyerahkan kepada orang lain walaupun terpaksa menanggung beban kerana sayang dan tidak mahu berpisah dengan mereka.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 17 Mei – Kerajaan negeri akan membelanjakan lebih RM5 juta bagi memajukan pantai Batu Rakit di sini sebagai pusat rekreasi yang berdaya maju tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kawasan seluas tiga hektar itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kedai dan taman permainan kanak-kanak.

Katanya, buat masa ini kerajaan sedang dalam proses pengambilalihan tanah di kawasan pantai itu.

”Kita melihat pantai ini amat bersesuaian untuk dimajukan ke arah itu selepas ia menjadi tumpuan pengunjung setiap petang,” katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Kawasan Luar Bandar 2009 di Pantai Batu Rakit di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Khazan memberitahu, program merakyatkan seni budaya diadakan bagi memupuk nilai-nilai murni dan semangat kerjasama di kalangan masyarakat dalam usaha memulihara dan mengekalkan seni budaya bangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan program tersebut setiap tahun kerana menerusi kegiatan seumpama itu yang meliputi warisan seni budaya agar ia dapat ditonjolkan kepada masyarakat setempat terutama golongan muda.

”Kita percaya kebanyakan generasi muda hari ini tidak mengetahui mengenai permainan gasing, silat gayung dan wau tetapi melalui demonstrasi di program itu mereka dapat melihat secara lebih dekat lagi bagaimana permainan itu dikendalikan,” ujarnya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 17 Mei – Kegiatan tiga beranak yang memproses dan mengedar air daun ketum akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas polis di Kampung Jelapang, Sungai Lerek di Setiu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, tiga beranak berkenaan ialah pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 44 dan 39 tahun serta anak lelaki mereka yang berusia 25 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat pada pukul 4.15 petang, lelaki berusia 44 tahun itu sedang memproses air ketum untuk dijual di sekitar kawasan tersebut.

Katanya, lelaki itu turut dibantu anak lelaki dan isterinya.

Menurut beliau, lelaki itu pernah ditahan enam kali berkaitan dengan kes dadah iaitu kes pertamanya, dia telah dijatuhi hukuman sementara dua kes lagi masih dalam proses mahkamah dan tiga kes di peringkat siasatan.

“Dalam serbuan itu, polis menemui 96 paket plastik lutsinar kecil yang mengandungi cecair kehijauan yang disyaki dadah dalam peti ais di bahagian dapur rumah itu.

“Selain 48 liter air ketum, polis juga merampas sebuah dapur memasak, dua tong gas, satu mesin pengisar dan alat penimbang yang menjadi peralatan untuk memasak cecair itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Read Full Post »

Seorang petugas melakukan kerja-kerja membungkus jus roselle keluaran Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad di Rhu Tapai, Setiu. – UTUSAN/ADNAN MOHAMA


SETIU 17 Mei – Tahukah anda bahawa produk minuman atau makanan berasaskan roselle antara lain didapati berkhasiat sebagai bahan antipenuaan atau menjadikan awet muda kepada penggemarnya.

Justeru tanaman secara komersial roselle kini diperluaskan di seluruh negara kerana produk berasaskannya semakin mendapat sambutan di pasaran dalam dan luar negara.

Koperasi Tani (Koptani) Lembah Bidong Terengganu Berhad di sini adalah sebagai pembekal utama produk roselle di negeri ini sekali gus dapat membantu petani Projek Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rhu Tapai di sini menambah pendapatan.

Sebelum ini, penanaman roselle yang merupakan punca pendapatan sampingan bagi para petani di kawasan itu terpaksa dihentikan selama empat tahun akibat beberapa masalah yang menyebabkan kilang memproses roselle ditutup.

Bagaimanapun, apabila Koptani itu ditubuhkan awal April 2007 dengan modal berbayar RM100,000, ia dilihat dapat merealisasikan hasrat untuk membantu golongan pendapatan rendah.

Ia juga membantu membangunkan semula tanaman roselle yang kini jarang diusahakan oleh para petani lain.

Melalui Koptani itu, seramai 30 petani PPRT di Rhu Sepuluh yang mengusahakan tanaman roselle itu untuk dijual sebagai bahan mentah kepada kilang milik koperasi berkenaan.

Pengerusi Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad, Abdul Malik Muda berkata, sebelum penubuhan koperasi itu, pihaknya membuat kajian mendapati produk roselle yang dibuat kordial, jus, jem, sos dan halwa mendapat pasaran yang memuaskan dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, pokok roselle yang berasal dari Afrika Barat mengandungi pelbagai khasiat seperti mengurangkan tekanan darah tinggi, merendahkan suhu badan dan mengawal pertumbuhan barah.

Katanya, khasiat lain ialah antipenuaan atau awet muda, pencegahan penyakit kadiovaskular, deman panas dan resdung.

”Kami juga sentiasa bekerjasama serta mendapat bimbingan daripada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan beberapa agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

”Sekarang dengan berkat kerjasama serta sokongan ahli-ahli Koptani ini, kita mampu mengeluarkan lebih 30,000 unit pelbagai barangan dalam masa sebulan daripada hasil roselle itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Malik memberitahu, daripada 30,000 unit barangan tersebut termasuk 15,000 unit/cawan jus roselle dibekalkan kepada tiga buah koperasi di sekolah menengah di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menjadi pembekal tetap kepada tiga buah sekolah menengah setiap bulan dan minuman jus roselle dijual dengan harga RM1.

Sementara itu, selebihnya barangan produk tanaman itu dijual di pasaran tempatan khususnya di negeri ini dan ada kalangan mereka datang sendiri membeli di kilang itu.

”Setakat ini, sambutan terhadap produk ini amat menggalakkan di kalangan pengguna selain kami mendapat tempahan jus roselle dari beberapa buah sekolah lain di negeri ini.

”Tetapi Koptani terpaksa menolak tawaran itu kerana kami tidak mampu membekalkan minuman itu kepada mereka disebabkan kilang kami masih lagi menggunakan mesin yang hanya mampu mengeluarkan 5,000 unit sehari,” ujarnya.

Abdul Malik berkata, dengan kemudahan yang sedia ada serta peralatan mesin yang tidak mencukupi menyebabkan juga koperasi itu hanya dapat memasarkan barangan mereka di pasaran tempatan sahaja.

Beliau memberitahu, untuk pasaran ke negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Selangor, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya kilang itu dapat memproses barangan tersebut 5,000 unit sehari.

”Tetapi disebabkan kekurangan modal, mesin dan peralatan menyebabkan usaha koperasi ini untuk memasarkan barangan roselle secara meluas sama ada dalam negeri dan luar negara beliau tercapai,” katanya.

Dengan masalah itu, ujarnya, Koptani yang mempunyai keahlian 100 orang itu sentiasa mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat supaya koperasi yang menjadi pemangkin kepada para petani di kawasan itu berdaya maju.

Sekiranya kerajaan menyumbang bantuan yang diperlukan itu menjadikan ia setanding dengan produk minuman serta makanan lain di negara ini selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak ahli koperasi di situ.

”Hasil tanaman roselle mempunyai pelbagai manfaat yang tersendiri dan ada juga barangan keluaran itu seperti Kordial Organik tanpa bahan pengawet yang pasti mendapat sambutan yang memuaskan para pengguna,” kata Abdul Malik.

Read Full Post »