KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Bagi menambah nilai kunjungan ke Pulau Wan Man, di sini yang tersohor dengan Masjid Kristal dan Taman Monumen, pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) memperkenalkan perkhidmatan ‘river cruise’ menggunakan perahu payang dan kolek untuk melihat pelbagai tempat menarik dan bersejarah di sepanjang Sungai Terengganu.
Pengurus Besar TTI Management Sdn Bhd, Mohd Khomsa Chik, berkata perkhidmatan menyusuri Sungai Terengganu akan membolehkan pengunjung yang melawat keunikan dan keindahan taman itu untuk turut sama meraih pengetahuan mengenai kehidupan rakyat negeri ini terutama yang berkaitan dengan nelayan dan pembuatan makanan popular, keropok lekor.
Katanya, perjalanan sepanjang 2.5 km itu bermula dan berakhir di Jeti Tok Ku Paloh, berhampiran Masjid Kristal akan melalui 14 tempat menarik termasuk Muzium Terengganu, Pulau Sekati, Seberang Takir, Pulau Duyung, Bazar Warisan, Pasar Kedai Payang, Kampung Cina dan Pengkalan Keropok.
“Kami memperkenalkan perkhidmatan pelayaran sungai ini bagi memanfaatkan Sungai Terengganu yang bersih serta memberi peluang kepada pengunjung mengenali Terengganu dengan lebih dekat menerusi kegiatan masyarakatnya di sepanjang sungai ini,” katanya selepas membawa media mengikuti pelayaran itu di sini, semalam.
Mohd Khomsa berkata, pengunjung dikenakan bayaran RM10 seorang dan mereka boleh memilih untuk menggunakan perahu payang yang boleh memuatkan 12 penumpang atau kolek untuk lapan penumpang. Kedua-dua jenis perahu berkenaan adalah bot tradisional yang digunakan nelayan di negeri ini.
Katanya, sejak dilancarkan tiga hari lalu, perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan terutama tempahan daripada pelawat berkumpulan.
“Kita harap perkhidmatan ‘TTI River Cruise’ akan menjadi pemangkin tambahan untuk membawa masuk lebih ramai pengunjung ke Taman Tamadun Islam hingga mencecah sasaran seramai 500,000 orang tahun ini,” katanya sambil menambah rancangan sudah disusun untuk memperkenalkan bot dua tingkat bagi membolehkan pelawat berkumpulan mengadakan jamuan makan sambil menyusuri Sungai Terengganu.
Hingga kini, TTI Management menyediakan lima perahu payang dan tiga kolek untuk perkhidmatan itu yang mana setiap bot disertakan dua krew yang bertindak sebagai jurumudi dan sebagai pemandu pelancong.
Mohd Khomsa berkata, selain river cruise, aktiviti berasaskan air di Pulau Wan Man juga meliputi berkayak dan menaiki bot kayuh yang disediakan di tasik di tengah Pulau Wan Man, sebagai aktiviti riadah keluarga.
“Kerajaan negeri sudah meluluskan geran untuk membolehkan kita mempunyai 20 bot kayuh tidak lama lagi,” katanya.
Leave a Reply