DUNGUN: Umat Islam di negeri ini diminta supaya sentiasa berusaha meningkatkan kefahaman terhadap isi kandungan al-Quran untuk dijadikan pedoman dalam menguruskan kehidupan seharian terutama bagi mendepani cabaran semasa dunia tanpa sempadan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata sekiranya umat Islam berpandangan jauh dan memahami isi kandungan al-Quran, ia boleh mengelakkan mereka daripada tergelincir dalam arus kemodenan.
Sehubungan itu, beliau meminta setiap umat Islam di negeri ini mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam semoga mereka berjaya dan cemerlang di dunia mahupun akhirat.
“Ilmu al-Quran sangat tinggi maknanya dan ia perlu dihayati oleh setiap umat Islam secara mendalam sama ada dari segi nahu, kefahaman ataupun membaca secara berlagu atau taranum.
“Oleh yang demikian, saya menyeru supaya umat Islam mempelajari serta menghayati al-Quran dengan penuh tawaduk kerana kerana isi kandungannya adalah panduan untuk kita menjalani kehidupan seharian di dunia dan menentukan kita selamat di akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Tilawah Al Quran Peringkat Negeri di sini malam kelmarin yang mana sebanyak 14 orang qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing.