Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘stesen bas’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)Peniaga di premis Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggesa pihak bertanggungjawab membuat rondaan dan pemantauan lebih kerap pada waktu malam, kerana didapati terlalu banyak gejala tidak sihat terutama membabitkan remaja, berlaku di sini.

Peniaga, Sharif Mamat, 56, berkata, kompleks itu dijadikan lokasi tumpuan golongan remaja berkumpul pada waktu malam dan melakukan aktiviti tidak sihat yang amat memalukan.

“Saya berniaga di sini sehingga malam dan sentiasa melihat gelagat remaja ini yang tanpa segan silu menjalankan aktiviti tidak bermoral. Ramai dalam kalangan mereka terutama remaja Islam, menjadikan premis ini sebagai pusat minum arak pada waktu malam.

“Di sini juga dijadikan lokasi pengedar dadah menghantar bekalan dan penagih dadah melepaskan gian secara terbuka. Keadaan premis yang agak suram pada waktu malam menjadi faktor utama mereka melakukan aktiviti ini tanpa rasa takut.

“Selain itu, premis ini turut dijadikan tempat pasangan bercinta bermadu asmara. Peniaga di sini sentiasa terserempak dengan pasangan yang sedang melakukan aktiviti tidak bermoral di belakang tiang dan di tempat yang agak sunyi dan gelap,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sharif, aktiviti yang tidak sihat ini jika tidak dibendung boleh menggugat keselamatan orang awam terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam.

“Di sini juga sering berlaku kes jenayah yang melibatkan orang awam yang sedang menunggu bas seperti ragut dan juga peras ugut wang terutama membabitkan kaki penagih dan pemabuk.

“Jadi, saya mewakili peniaga dan orang ramai yang sentiasa berada di sini berharap pihak bertanggungjawab tidak memandang remeh masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan orang awam.

“Pihak bertanggungjawab juga diharapkan dapat meletakkan senarai nombor telefon pihak Jabatan Agama Islam dan pegawai polis yang boleh dihubungi pada bila-bila masa, di setiap kawasan yang mudah dilihat supaya memudahkan kami membuat laporan dan aduan jika berlaku kejadian seperti ini,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Kerajaan bercadang akan menyediakan sebuah Kompleks Stesen Bas baru di Bukit Besar, di sini bagi menempatkan semua bas ekpres dan teksi untuk kemudahan serta keselesaan pengguna di negeri ini.

Pengarah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Rofi Yusof berkata, kompleks stesen bas MBKT yang sedia ada kini akan dijadikan sebagai stesen transit bagi bas yang beroperasi di dalam bandar.

“Kami sekarang giat menjalankan perancangan teliti bagi memastikan kompleks stesen bas akan dibina itu menepati kehendak yang dirancang, kami juga akan pastikan setiap aspek turut merangkumi kemudahan pengguna, keselamatan, fasiliti dan sebagainya disediakan dengan sebaik mungkin.

“Sehingga kini, kami telah membuat tinjauan di beberapa lokasi kompleks stesen bas di negeri lain bagi memastikan perancangan dan pembinaannya adalah terbaik,” katanya selepas menghadiri Majlis Dialog Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Ekspres dan Bas Henti-henti Daerah Kuala Terengganu.

Sementara itu, dalam sesi dialog berkenaan, Mohamed Nazri turut menjawab setiap permasalahan dikemukakan pengusaha bas ekspres dan bas henti-henti di sini, antaranya mengenai isu kesukaran untuk memohon insurans serta tempoh secaj yang dikenakan kepada penumpang sebanyak 30 peratus.

Turut dibangkitkan adalah masalah ulat tiket, pemohonan pengusaha bas untuk melanjutkan tempoh usia bas henti-henti daripada 15 tahun kepada 20 tahun, permohonan pengusaha menggantikan bas ekspres yang rosak kepada bas penyiaran dan juga tindakan perlu diambil kepada pemandu bas yang mengambil penumpang tanpa memberi tiket.

“Bagi masalah kesukaran memohon insurans, saya akui memang terdapat permasalahan itu kerana kebanyakan daripada syarikat insurans tidak mahu menerima permohonan insurans daripada pengusaha pengangkutan awam kerana berisiko tinggi tetapi saya akan cuba berbincang dengan syarikat insurans tertentu supaya mereka menawarkan syarat lebih ringan serta harga premium lebih istimewa kepada pengusaha bas di seluruh negeri.

“Mengenai tempoh secaj yang dikenakan sebanyak 30 peratus kepada penumpang, buat masa ini masih dikekalkan dan sekiranya ada perubahan kita akan umumkan,” katanya.

Menurut Mohamed Nazri, masalah ulat tiket sudah lama berleluasa dan pihaknya tidak pernah berdiam diri bagi mengatasi masalah itu.

“Pihak berkuasa kini rancak menjalankan operasi membanteras ulat tiket ini dan sekiranya orang awam juga mempunyai maklumat, saya memohon supaya memberi kerjasama sebaiknya.

“Mengenai tempoh usia bas henti-henti, usia bas tidak menjadi isu kerana yang penting adalah keadaan bas terbabit perlu dipastikan selamat digunakan,” katanya.

Menurut Mohamed Nazri, sekiranya bas terbabit sudah melebihi 15 tahun tetapi masih selamat dan dalam keadaan baik, ia tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Permohonan untuk pertukaran bas ekspres kepada bas persiaran sekiranya berlaku kerosakan, saya akan berbincang dengan pihak kementerian pelancongan berikutan bas persiaran di bawah kuasa kementerian berkenaan.

“Bagi pemandu bas yang mengambil penumpang tanpa tiket pula, kami akan mengenakan tindakan sewajarnya. Masalah ini tidak akan dipandang remeh kerana ia melambangkan imej sesebuah syarikat terbabit, justeru, saya berharap orang awam juga memberi kerjasama,” katanya.

Read Full Post »

Mohd. Hilmi Mohd. Noor (tengah) dan timbalannya, Ab. Ghani Harun (kanan) menunjukkan baju bercetak karekator Upin dan Ipin yang dirampas di Kuala Terengganu, semalam. – BERNA


KUALA TERENGGANU 14 Mei (Utusan Malaysia) – Sejumlah 434 pasang baju-T yang menggunakan karakter kartun Upin dan Ipin dirampas dari 13 gerai di Pasar Besar Kedai Payang dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam satu serbuan semalam.

Ketika serbuan oleh penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu yang diketuai Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor, peniaga berkenaan tidak sempat menyorok barangan itu kerana gerai masing-masing merupakan sasaran yang telah dikenalpasti.

Menurut Mohd. Hilmi, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu dan setelah mengenal pasti kedai terlibat, serbuan semalam terus menjurus ke gerai berkenaan.

‘‘Seramai 30 pegawai yang terlibat dalam serbuan ini dipecahkan kepada kumpulan kecil dua orang dan mereka terus ke gerai ditetapkan untuk membuat pemeriksaan.

‘‘Serbuan dijalankan di bawah Akta Hakcipta 1987 kerana gambar Upin dan Ipin adalah sebuah karya seni yang merupakan harta intelek dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, nilai rampasan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 3 petang itu adalah RM5,967.

Menurutnya, risikan yang akan disusuli dengan pemeriksaan akan diteruskan di seluruh Terengganu bagi mengesan pengedar barangan yang menggunakan karakter Upin dan Ipin.

‘‘Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti pengedar barangan ini sama ada dari Terengganu, Kuala Lumpur atau tempat lain,” ujarnya.

Beliau seterusnya menasihatkan peniaga supaya peka terhadap peruntukan undang-undang dalam menjalankan perniagaan masing-masing agar tidak dikenakan tindakan.

Jelasnya, menurut peruntukan Seksyen 41(1)(b) Akta Hakcipta 1987, adalah menjadi kesalahan untuk menjual, menyewakan atau secara dagangan mendedahkan atau menawarkan apa-apa salinan langgaran.

Katanya, mereka yang melanggar seksyen tersebut boleh didenda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara maksimum lima tahun.

Read Full Post »