Penstrukturan semula pastikan syarikat fokus terhadap skop niaga
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pemindahan beberapa pejabat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri dan penstrukturan semula pengurusan syarikat bertujuan menjimatkan kos pengurusan dan memastikan syarikat berkenaan fokus terhadap skop perniagaan mereka.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata beberapa syarikat termasuk Epic Bhd yang sebelum ini beribu pejabat di Kuala Terengganu dipindahkan pengurusannya ke Kompleks Bekalan Kemaman (KSB) kerana teras perniagaan syarikat itu banyak membabitkan aktiviti di KSB.
“Epic mempunyai kemudahan yang serba lengkap di Kemaman dan bangunan yang digunakan tidak perlu disewa. Dengan itu kita dapat menjimatkan kos dan bangunan sedia ada dapat disewakan atau dijadikan hotel yang mampu memberikan pendapatan kepada syarikat,” katanya menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha’ari Idris, berkata sepanjang Januari hingga Mac tahun ini kira-kira 400 keluarga miskin tegar berjaya keluar dari kepompong kemiskinan melalui pelbagai program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).
Beliau berkata, melalui pelbagai program peningkatan taraf hidup kebanyakan keluarga miskin tegar diberikan pendedahan dalam menjalankan pelbagai aktivti perniagaan termasuk diberi bantuan peralatan mesin untuk mengusahakan perniagaanmereka secara kecil-kecilan.
“Selain itu program Jati Diri yang dilaksanakan YPK sejak beberapa tahun kebelakangan dengan kerjasama beberapa agensi lain juga membuahkan hasil yang memberangsangkan dan berjaya membantu keluarga miskin tegar mengubah kehidupan mereka,” katanya menjawab soalan Ramlan Ali (BN-Jabi).
Selain itu katanya, YPK turut menjalankan pelbagai program dengan memberikan tumpuan terhadap pembangunan dan latihan kepada ibu tunggal bagi membantu mengubah kehidupan mereka melalui bantuan yang disalurkan terus kepada persatuan ibu tunggal yang berkenaan.
Katanya, menerusi inisiatif bantuan berkenaan, persatuan boleh mengadakan pelbagai program dan aktiviti khusus untuk meningkatkan taraf hidup dan melatih ibu tunggal terbabit secara serius dalam perniagaan secara kecil-kecilan atau menerusi latihan dalam pelbagai bidang lain yang khusus bagi membantu menambah pendapatan.
Leave a Reply