Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 1st, 2009

Bandaraya Kuala Terengganu – Afidavit Emosi, Kemahuan & Harapan.
dipetik dari: http://www.amarrazali.com/archive/2008/01/22/bandaraya-kt.html

Hasil tulisan bersama:
Razali Ismail dan Amar Razali.

“Tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat bermain.”

Pada 25 Disember yang lalu, Awang Goneng telah melancarkan karya kenangannya, “Growing Up in Terengganu” di sebuah toko buku yang kecil di Bandar Kuala Terengganu. Toko buku ini dulunya bagi orang Terengganu dikenali sebagai “Kedai Buku Pak Lah Yunan,” toko ini menyimpan sejarah yang istimewa dalam mengimarahkan budaya ilmu di negeri ini. Dalam memoir ini, Awang Goneng mengungkap panaroma dan iklim sosio-budaya Kuala Terengganu di tahun 50an dengan menggunakan banyak istilah kolokial “Teganung” dan satu glosari yang panjang untuk menerangkannya.

Menariknya pelancaran karya Awang Goneng ini dibuat dicelah keghairahan warga Kuala Terengganu yang menunggu hari perisytiharan Kuala Terengganu pada 1 Januari 2008 sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air (KTBWPA). Menariknya juga Awang Goneng yang berusia lingkungan 60an, kini menetap di kota metropolitan London sebagai seorang ‘freelance writer’ (nama sebenar Wan A. Hulaimi) mengimbau kembali zaman kanak-kanak dan remajanya. Awang Goneng menggarap suasana sosio-budaya Kuala Terengganu dalam “Growing Up in Terengganu,” merupakan khazanah ilmu bagi generasi baru, di samping memugar bahan nostalgia bagi warga tua yang menyaksikan satu episod pembangunan yang menarik sebagai sebuah bandaraya.

Awang Goneng yang hampir 30 tahun menetap di London, singgah seketika di tempat tumpah darahnya menyaksikan perubahan ketara bandar Kuala Terengganu. Setelah melihat dengan mata sendiri panorama Kuala Terengganu baru dengan muara sungai yang berubah, Pulau Duyong sebagai pusat sukan air Monsoon Cup, Pulau Wan Man sebagai pusat replika 21 binaan masjid simbol tamadun Islam, Seberang Takir bakal menyaksikan binaan hotel dan pusat pelancongan lima bintang yang membawa pelancong antarabangsa melalui rangkaian kapal mewah Star Cruise, Batu Burok sebagai taman rekreasi, Padang Hiliran sebagai pusat perniagaan, Kampong Cina dan Kedai Payang yang berwajah baru. Barangkali dalam fikiran Awang Goneng ada hasrat terpendam untuk menulis tentang Bandaraya Kuala Terengganu baru dalam dimensi futuristik pula.

Lima dasawarsa yang mendatang pasti menjanjikan satu senario baru, landskap Kuala Terengganu dalam kerangka pembangunan mega Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang menelan RM112 billion bakal membawa dimensi baru. Pembangunan infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan industri pembuatan bakal mengubah suasana dan menyaksikan gelombang baru wilayah ini yang dahulunya mundur dan tercorot dalam senarai pembangunan. Lima puluh tahun yang mendatang bakal mengubah wajah wilayah timur ini sebagai wilayah baru yang berpotensi menjadi ‘movers-and-shakers’ dalam pembangunan Malaysia.

Bandaraya Kuala Terengganu menempa wajahnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air (KTBWPA). Istimewanya Kuala Terengganu ialah lokasinya. Terletak di muara sungai dan di pesisir pantai yang memutih menghadapi Laut Cina Selatan sekaligus, menjadikan satu-satunya bandaraya yang mempunyai panaroma sungai dan pantai yang unik dan mengasyikkan. Penduduknya 96% Melayu daripada 361,800 orang penduduk dengan keluasan 60,500 hektar.

Kuala Terengganu menempa nama sebagai bandaraya pertama di Pantai Timur, menyaksikan proses pembangunan infrastruktur yang pesat. Antaranya binaan Lapangan Terbang Antarabangsa, Kompleks Sukan, Kampus Universiti Darul Iman, Kampus Universiti Malaysia Terengganu, Kompleks Teluk Warisan Pulau Duyong dan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, laluan Lebuhraya Pantai Timur, projek penambakan dan benteng pemecah ombak Seberang Takir dan pembangunan bandar sebagai pusat perniagaan dan pembuatan termasuk Global Animation Centre di Padang Hiliran.

Pemimpin yang telah diberi amanah begitu ghairah memastikan segala projek pembangunan berjalan lancar. Komitmen yang diberikan cukup tinggi untuk menjadikan Terengganu sebagai ‘trend setter’ kepada sebuah pembangunan bandaraya dengan penerapan prinsip-prinsip Islam.

Dengan bingkai rujuk kepada pembangunan berteraskan nilai Islamik, Bandaraya Kuala Terengganu akan memperlihatkan satu kesinambungan ciri-ciri ketamadunan Islam untuk digilap semula, menjadikan warganya sentiasa prihatin untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Asuhan penerapan nilai Islam bermula dari peringkat pra sekolah hingga ke pengajian tinggi. Agensi kerajaan negeri seperti Yayasan Islam, Yayasan Terengganu, Sekolah Imtiaz, Institut Tahfiz dan kesemua IPT berfungsi untuk menjana Generasi Ulul-Albab yang mempunyai ciri-ciri ‘Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.’ Kejayaan awal program ini semakin terserlah. Anak-anak kecil tabika, tadika dan murid sekolah rendah menunjukkan minat membaca dan khatam Al-Quran. Dalam usia serendah 3 tahun telah mampu menghafal juzuk Amma. Semua ini bertolak daripada usaha dan kesedaran terhadap tanggungjawab melahirkan warga yang menghayati hak duniawi dan ukhrawi.

Melalui institusi pendidikan, warga bandaraya bakal melihat gerak kerja yang bersungguh-sungguh untuk mengimarahkan budaya ilmu. Terengganu sekarang memiliki empat buah pusat IPT, iaitu UDM, UMT, UiTM dan Kolej Universiti TATI. Pusat Sumber yang interaktif, kemudahan broadband dan Pusat Minda bakal menjana idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang baru.

Pembangunan dengan ciri-ciri masyarakat yang harmoni perlu dilaksanakan secara sedar, teratur dan bersepadu. Agenda pembangunan yang mampan untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang selesa, berkualiti, harmoni dan selamat perlu dokongan yang jelas.

Pembangunan lestari mesti menjadi dasar dalam agenda ‘the way forward’ Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya termuda ini perlu melakar sebuah pembangunan yang hebat supaya dalam masa yang sama tidak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan.

Menurut laporan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) lebih 15,000 peluang pekerjaan telah disediakan sejak tahun 2004. Sejumlah RM200 juta telah dibelanjakan untuk membantu golongan miskin menerusi pelbagai agensi dalam usaha peningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Satu cabaran yang jelas yang akan dihadapi KTBWPA ialah menangani masalah kemiskinan yang memerlukan satu pendekatan dan upaya yang tinggi. Memang banyak teori yang membicarakan tentang strategi pembasmian kemiskinan, tetapi dari segi realitinya banyak pula yang tidak kesampaian untuk mengatasinya, malah jurang pendapatan semakin meluas. Paradigma dan makna pembangunan itu sendiri perlu diteropong semula secara telus, wajar dan saksama.

Saya teruja dengan kajian, penulisan dan dialog di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Terkini ialah sebuah penulisan pakar ekonomi yang merumuskan bahawa meskipun padang permainan dapat diratakan, maksudnya longgokan dan agihan sumber dan pembangunan telah dilaksanakan dengan rata, tetapi ironinya jurang pendapatan semakin ketara. Penulisan Jomo K.S dan Jacques Baudot, “Flat World, Big Gaps”, 2007 membincangkan isu ini.

Prof. Diraja Ungku Aziz, menulis tentang impak Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-9, merujuk hal yang sama dengan kata kiasan, “Sepuluh jong masuk, anjing tetap bercawat ekornya.”

Penulisan dan kajian terkini yang dibuat oleh sarjana barat juga banyak menunjukkan “a misadventure of development,” betapa pembangunan hanya menghasilkan kekayaan kepada beberapa, memiskinkan majoriti dan mengancam planet Bumi!

Sebagai jawapan kepada persoalan ini, kita perlu memberi definisi baru terhadap pembangunan. Pembangunan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal bersifat kebendaan, tetapi kepada pembangunan modal manusia. Ini adalah anjakan yang bertumpu kepada siapa iaitu manusia bukan apa iaitu bangunan, binaan fizikal dan sebagainya. Memang, membina upaya manusia dari segi set minda, sahsiah, emosi, spiritual dan proses pengislahan manusia itu jauh memberi impak perubahan daripada dimensi luaran yang fizikal.

Memahat sejarah dan membina tamadun bukan terletak kepada bangunan dan prasarana tetapi kualiti pengislahan manusia. Faktor kualiti manusia adalah penentu dalam pembinaan Tamadun. Dunia Islam yang gemilang dahulu dan kemajuan dunia kontemporari adalah dijana oleh modal insan yang berkualiti yang juga disebut dengan istilah “creative class” oleh penulis barat seperti Robert Florida.

Sesungguhnya pandangan dan pendekatan di atas perlu dijadikan garis panduan dalam memacu pembangunan KTBWPA.

Persoalannya, dalam konteks menangani masalah kemiskinan dan pembangunan ini apakah setiap kerangka dan tindakan kerja akan membawa KTBWPA mara, statik atau mundur dalam mencapai misi kewujudannya?

Kepimpinan yang ada dan yang akan datang perlu mempunyai dimensi tersendiri tentang konsep pembangunan. Definisi pembangunan dari perspektif Islam semestinya berlandaskan perhitungan habuan dunia dan habuan akhirat. Dunia dicari dalam perhitungan akhirat. Daripada kacamata para sekulator barat, pembangunan tidak boleh berlaku dalam kerangka keagamaan dan ruang agama dipersempitkan. Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat, dunia ini adalah syurga dan segalanya.

Bertitik tolak daripada paradigma inilah mereka keliru membentuk konsepsi pembangunan dalam rangka mengisi dan mengejar kejayaan di alam maya, lantaran dunia ini dilihat sebagai segala-galanya: alpha dan omeganya, “kedisini-kinian,” “the beginning and the end, the first and the last” dan “this world is all and enough!”

Paradigma muslim adalah lebih jauh, dunia ini hanyalah suatu pengkalan dan sebuah ladang yang mesti diurus tadbir serta dimakmurkan di atas paksi tauhid dalam kita menuju kehidupan akhirat yang tiada hujungnya. Dunia ini adalah hakNya, manusia jangan pula memandai menggunakan kekayaan dan hakNya kemudian lupa untuk menyembahNya.

Inilah punca kekeliruan sekulator barat yang mendefinasikan pembangunan hanya dalam olahan persekitaran fizikal, ekonomi, politik dan kehidupan jasadi-indrawi semata-mata; hanya-sanya memenuhi tuntutan keseronokan jasmani tanpa pertimbangan rohani yang hakiki. Dalam kekeliruan ini juga mereka meminggirkan agama, sehingga pada satu tahap agama tergelonsor, terhakis begitu rupa, dan sekularisme muncul sebagai agama ganti dan idea pembangunan duniawi-khayali berkembang.

Ini adalah cabaran globalisasi dalam pembangunan yang menatijahkan kekeliruan ilmu yang memerlukan kita lebih perihatin dalam melakar sebuah pembangunan bandaraya yang menerapkan pendekatan Islam sebagai prinsip yang utama.

Nyatalah bahawa keghairahan pembangunan dengan penekanan kepada pencapaian kebendaan dan meminggirkan perhitungan adab, akhlak dan tatasusila hanya mengakibatkan kerosakkan, bukannya pembangunan! Nyatalah bahawa, pembangunan itu adalah suatu proses dan mutu pengislahan diri perseorangan dan masyarakat bangsa tersebut kepada amal perbuatan yang ikhlas, berhikmah, berani, serdahana dan adil.

Prinsip dan fahaman inilah yang akan meletakkan pembangunan dan manusia dalam keadaan bahagia, sa’adah tidak dirundung tragedi, kerosokkan, fasad atau sengsara; tiada ‘decadence’ kepada sifat manusiawi dan persekitarannya.

Sesungguhnya idealisma pendekatan Islam sebagai tunjang permbangunan untuk membangun sebuah bandaraya memerlukan tenaga yang hebat dari kalangan pemimpin intelektual-ulama – ‘ulul albab’ demi memasarkan, menjaja dan memasyarakatkan idea pembangunan Islam agar menjadi prinsip serta pedoman untuk bertindak, khususnya dalam kerangka pembinaan wilayah ekonomi negara (IRDA, NCER, dan ECER).

Awang Goneng pasti menaruh harapan untuk melihat pembangunan Bandaraya Kuala Terengganu dari dimensi yang menterjemahkan pendekatan Islam daripada sebuah idea yang ideal menjadi suatu realiti.

Suatu cabaran kepada rakyat negeri Terengganu untuk membuktikan bahawa “Gitulah! Orang Teganung buleh sokmo!”

Catatan:
Razali Ismail ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Amar Razali ialah anakanda ketiga dalam keluarga.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 1 April (Bernama) — Terengganu akan menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand bagi membimbing pasukan sepak takraw negeri dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata langkah tersebut selaras dengan matlamat pasukan berkenaan untuk membawa pulang pingat emas pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

“Kali pertama kita menggunakan khidmat jurulatih Thailand ialah pada Sukma di Terengganu tahun lepas dan berjaya meraih pingat gangsa. Matlamat kita tahun depan ialah untuk memenangi pingat emas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memilih jurulatih dari Thailand bagi mempersiapkan pasukan Terengganu kerana negara berkenaan mempunyai ramai jurulatih berkualiti serta berwibawa.

” Tambahan pula, mereka berminat untuk datang dan melatih pasukan Terengganu,” katanya.

Mohd Shapian berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut memberikan kerjasama dalam mengenalpasti jurulatih tersebut serta membiayai segala perbelanjaannya.

Mengikut perancangan, beliau berkata jurulatih berkenaan akan melatih pasukan Terengganu mulai Julai ini, sehingga berakhirnya Sukma tahun depan.

Katanya pegawai MSNT dan PSTNT akan berlepas ke Bangkok, Thailand dalam tempoh terdekat bagi mengenalpasti jurulatih tersebut.

“Kita turut mendapat kerjasama yang baik daripada pegawai-pegawai persatuan sepak takraw Thailand dalam mencari jurulatih yang diperlukan itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PSTNT akan menganjurkan Kejohanan Bawah 21 tahun, bulan depan bagi mencungkil bakat baru untuk mewakili Terengganu pada Sukma 2010.

“Walaupun kita sudah mempunyai barisan pemain Sukma lepas, kita perlu mencari beberapa pemain baru untuk memantapkan pasukan Terengganu bagi menghadapi temasya tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Polis meminta kerjasama mana-mana individu yang melihat kemalangan melibatkan sebuah motosikal dinaiki seorang gadis dan dua buah kereta di Jambatan Sultan Mahmud kelmarin, tampil membantu siasatan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kehadiran saksi itu adalah penting untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan membabitkan mangsa yang menunggang motosikal melawan arus sebelum kemalangan.

Menurutnya, dalam kemalangan yang berlaku jam 5 petang di Jambatan Sultan Mahmud itu, mangsa Nurul Fatimah Ali, 19, dari Kampung Pulau Ketam telah melanggar dua buah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa yang datang dari arah Batu Rakit menghala Kuala Terengganu secara melawan arus telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Savy secara bertentangan sebelum terbabas dan merempuh bahagian depan kereta jenis Proton Iswara.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan sekarang masih belum sedarkan diri (koma) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Nor Azmi, beliau berharap orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Read Full Post »