KUALA TERENGGANU, 18 April (Bernama)– Kamaruddin Maidin, 66, anak Terengganu pertama yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Rome 1960, kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat penyakit paru-paru.
Isterinya Rajemah Sheikh Ahmad, juga bekas atlet dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1966, berkata Kamaruddin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada pagi Jumaat lepas dan keadaannya pada ketika itu sudah pun tenat.
“Sekarang dia macam koma… doktor nasihatkan anak-anak supaya sentiasa berada di sisi,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Yayasan Kebangsaan Atlet Negara Datuk Mumtaz Jaafar di HSNZ di sini hari ini.
Rajemah berkata suaminya kini terpaksa menggunakan mesin dan ubat-ubatan untuk membantu pernafasannya.
Beliau berkata Kamaruddin menghidap penyakit paru-paru sejak tahun 2003 dan pernah mendapat rawatan di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada tahun yang sama.
Hasil perkongsian hidup Kamaruddin dengan Rajmah, iaitu seorang daripada kuartet 4×100 yang memenangi gangsa pada Sukan Asia 1966, pasangan itu mempunyai enam anak lelaki berumur antara 25 dan 41 tahun, kesemuanya mengikuti jejak langkahnya dengan menceburi sukan olahraga.
Di zaman kegemilangannya pada tahun 1960-an, Kamaruddin merupakan atlet pertama negara yang memenangi lima pingat emas dalam lima Sukan SEA berturut-turut bermula 1959 dalam acara lompat jauh dan dua pingat emas dalam acara lompat kijang.
Rajmah yang juga Setiausaha Persatuan Olahraga Negeri Terengganu (POAT) berkata setakat hari ini, belum ada sesiapa pun dari Majlis Sukan Negeri (MSN) atau dari Terengganu yang melawat Kamaruddin.
“Saya tidak kisah sebab kita buat kerja dengan ikhlas kerana itu bakat dalam bidang olahraga turut mengalir dalam tubuh anak-beranak saya,” katanya.
Sementara itu, Mumtaz berkata beliau sangat terharu melihat Kamaruddin dan dalam lawatan itu beliau yang mewakili Yayasan Kebajikan Kebangsaan Atlet turut memberikan sedikit sumbangan kepada beliau.
“Insya-Allah kalau keluarganya perlu apa-apa yang lebih daripada itu boleh menghubungi kami… apa yang kita mampu kita akan bantu. Saya seru kepada kawan-kawan dia datanglah melawat jika ada kelapangan,” katanya.
— BERNAMA